Pages

Monday, April 19, 2010

‘Usah tengok Siti saja’

*bharian.com.my
2010/04/20

pix_gal0
Saida, Sairah akui tidak mudah menjadi adik dan kakak kepada Bintang Paling Popular Berita Harian 2009

LAMA mereka berdua menantikan saat-saat manis seperti ini. Jika sebelum ini mereka hanya menumpang bangga melihat darah daging sendiri menempa nama di persada seni tanah air, kini giliran mereka untuk merasai suasana seperti itu.

Tertunai juga impian Saida dan Sairah untuk bergelar penyanyi meskipun ada yang menyifatkan tindakan mereka untuk berada di arena hiburan adalah sia-sia dan tidak akan ke membawa mereka ke mana-mana hanya kerana mempunyai seorang adik dan juga kakak yang turut berkecimpung dalam bidang yang serupa.

Mengakui laluan mereka untuk menjadi penyanyi tidak semudah yang di sangka, Saida memohon kepada mereka di luar sana supaya memberi peluang untuk mereka mengetengahkan bakat yang ada dalam diri tanpa perlu membandingkannya dengan Siti.

"Saya akui memang bukan mudah apabila ramai yang mengetahui kami adik beradik. Pasti akan ada yang cuba membandingkan kami. Jadi, pinta Saida kepada mereka di luar sana, jangan tengok Siti, tapi pandanglah bakat yang Saida ada ini biarpun Saida tahu ia adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan," luah Saida mohon pengertian.

Biarpun muncul di persada seni agak lewat iaitu selepas mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu, namun menurut penyanyi yang pernah bergelar pelajar AF6 ini itu bukanlah halangan untuknya mencapai impiannya bergelar penyanyi.

"Ini adalah momen paling manis dalam hidup Saida apabila berjaya tampil dengan sebuah album selepas hampir dua tahun Saida keluar dari Akademi Fantasia. Biarpun sekadar berkongsi album dengan Sairah tetapi Saida puas hati kerana Saida sudah mencurahkan sepenuh usaha Saida dalam album ini.
"Biarpun sudah bergelar isteri namun Saida tak rasakan yang Saida sebenarnya agak lewat untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya memang serius untuk bergelar penyanyi kerana itulah cita-cita Saida sejak dulu lagi. Sekali Saida sudah melangkah, Saida tidak akan menoleh lagi," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini ketika ditemui pada majlis pelancaran album Apresiasi dan sambutan ulang tahun ke-15 Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang seni yang berlangsung di Penthouse, Suite 4, Cattleya Grand Ballroom, Wisma PKPS, Shah Alam malam Jumaat lalu.
Justeru, walaupun sesibuk mana pun Saida mengejar impian untuk bergelar penyanyi namun tanggungjawabnya sebagai ibu dan isteri tidak pernah diabaikannya.

"Tugas harian berjalan seperti biasa. Kalau ada undangan persembahan, Saida akan bawa bersama anak-anak Saida bersama. Mujurlah suami Saida juga amat memahami dan turut membantu Saida dalam pelbagai perkara," kata Saida yang semakin yakin berbanding dulu.

Dalam album ini juga terselit sebuah lagu yang didedikasikan khas buat arwah bapa mereka yang meninggal dunia Februari tahun lalu. Lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad itu diberi judul Kini Dikau Jauh.

"Pada mulanya hanya kami bertiga saja yang sepatutnya merakamkan lagu itu. Tetapi apabila sampai di studio, emak hendak kami berlima merakamkannya. Jadi itulah sebabnya abang Ayie dan adik saya Ali turut serta merakamkan lagu ini.

"Ia satu pengalaman menyeronokkan kerana kami adik beradik dapat muncul dalam sebuah album walaupun hanya untuk merakamkan sebuah lagu," cerita Saida lagi.
Seperti juga Saida, album ini adalah lambang kejayaan buat Sairah yang memang bercita-cita untuk bergelar penyanyi.

"Ini memang sesuatu yang Sairah idamkan sejak dulu lagi. Memang ini yang Sairah mahukan dan alhamdulillah, Tuhan makbulkan permintaan Sairah. Kehadiran album ini adalah satu kepuasan buat Sairah.

"Jadi Sairah harap peminat yang selama ini bertanyakan di mana album Sairah, inilah hasilnya dan Sairah juga berharap peminat dapat menerima kehadiran album ini dan menyukainya," katanya yang muncul dengan single pertama berjudul Hero Wayang.

Biarpun teruja apabila album yang dinantikan itu akhirnya berada di pasaran, namun pada masa yang sama perasaan berdebar tetap wujud di dalam hati.

"Album ini juga ibarat satu pertaruhan kami dalam bidang seni. Jika ia mendapat sambutan hangat, label kami Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd tidak teragak-agak untuk menghasilkan album solo penuh untuk kami berdua," katanya sambil mengakui berdebar menunggu reaksi peminat terhadap album itu.
Album ini memuatkan enam buah lagu termasuk album duet Sairah dan Saida berjudul Tinta Bukan Luka.

Idam album Inggeris, konsert tradisional

TURUT berkongsi kegembiraan malam itu adalah Siti yang mengambil kesempatan untuk meraikan hari bersejarahnya itu dengan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang kerjaya seninya seperti keluarga, penaja, komposer, penulis lirik, media dan juga peminat. Satu demi satu visual perjalanan seni Siti sepanjang 15 tahun bergelar anak seni dipertontonkan kepada tetamu.

Semua itu mengimbas memori manis buat penyanyi berdagu lekuk ini. Siapa sangka dari seorang anak kampung yang bukan sesiapa, kini nama Siti terus terpahat sebagai penyanyi nombor satu negara. Sepanjang pembabitan Siti dalam bidang ini, apa saja yang tidak dilakukannya. Bukan saja konsert di dalam negara, malah penyanyi ini pernah melakar sejarah apabila menjadi penyanyi Malaysia pertama membuat konsert di Royal Albert Hall, April empat tahun lalu.

Pun begitu, masih ada impian yang diinginkan penyanyi ini yang sehingga kini masih belum menjadi kenyataan.

"Siti menyimpan hasrat untuk merakamkan album Inggeris dan juga mengadakan sebuah konsert tradisional. Itulah impian Siti yang masih belum tertunai,"kata Siti ketika ditemui sejurus selepas acara itu berakhir.

Mengulas desas-desus yang mengatakan dia akan berehat seketika dalam bidang seni mulai pertengahan tahun ini, Siti berkata perkara itu dilakukan kerana mahu menumpukan perhatian dalam bidang bisnes kecantikan yang baru dijalankannya itu.

"Memang Siti akan berehat tetapi ia disebabkan Siti mahu tumpukan perhatian terhadap bisnes SimplySiti yang baru saja dilancarkan itu. Maklum sajalah, projek baru jadi Siti kena memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan ini. Bagaimanapun, bukanlah bermakna Siti meninggalkan terus bidang nyanyian. Jika ada kesempatan, Siti tetap akan muncul dalam mana-mana persembahan," kata Siti yang bakal muncul bersama Krisdayanti untuk persembahan Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) 27 dan 28 April ini.

Ditanya apakah peluangnya untuk mempertahankan gelaran Persembahan Vokal Terbaik Wanita menerusi AIM ke-17 yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 2 Mei depan, Siti seperti biasa menyerahkan perkara itu kepada juri yang bertugas.

"Mempunyai dua album dicalonkan untuk tahun ini termasuk album duet CTKD, itu sudah cukup membanggakan Siti. Bagi Siti kekalahan atau kemenangan, Siti tetap gembira kerana pencalonan album itu ibarat sejarah peribadi buat Siti," katanya yang juga akan membuat persembahan pada malam kemuncak itu.

No comments:

Post a Comment