Pages

Sunday, May 23, 2010

Double Trouble Ke Johor Bahru



1 Mei 2010 adalah hari yang cukup bermakna kepada dua gergasi rock negara, Search dan Wings kerana pada tarikh itu mereka bagaikan mengulangi kejayaan konsert ‘Double Trouble’ yang diadakan di Stadium Merdeka pada tahun 1993.

Walaupun sudah lama tidak hadir dengan sebarang single atau album baru, keunggulan Search dan Wings sukar disangkal. Konsert Double Trouble 2 (DT2) yang berlangsung di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort pada 1 Mei lalu dibanjiri oleh lebih 20,000 peminat. Malah, lebih 3,000 orang kecewa apabila gagal mendapatkan tiket dan terpaksa menunggu di luar dewan.

Kejayaan yang diraih oleh DT2 ini membuatkan pihak penganjur, Adepnet Sdn Bhd terpanggil untuk membawakan konsert ke beberapa lokasi lain. Sebagai persinggahan pertama di luar Kuala Lumpur, Double Trouble akan menggegarkan Stadium Larkin, Johor Bahru pada 5 Jun ini.

GUA yakin ramai peminat di selatan tanah air sudah tidak sabar-sabar untuk menyaksikan persembahan bertenaga Search dan Wings. Malah, tidak mustahil peminat Singapura juga akan turun ke Johor Bahru.

Dalam satu sidang media baru-baru, Amy dan Awie meluahkan kegembiraan mereka kerana pihak penganjur sudi membawa Double Trouble ke luar Kuala Lumpur. Mereka juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat yang tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada Search dan Wings selama ini.

“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada peminat Search dan Wings sebab bagi sokongan pada konsert tempoh hari. Terima kasih juga kepada semua penaja untuk konsert di Johor Bahru nanti. Saya harap konsert di sana nanti akan lebih bagus dan peminat yang datang lebih ramai,” ujar Amy.

Menjawab tentang perancangan konsert itu pula, Awie memberitahu kumpulannya sudah berkira-kira untuk melakukan susunan muzik baru untuk beberapa buah lagu yang akan disampaikan nanti. Ini kerana mereka berpendapat, peminat di selatan citarasanya berbeza dengan peminat di Kuala Lumpur.

Manakala Amy hanya mengulas ringkas tentang perancangan Search. Menurut Amy, mereka akan memberi sesuatu yang lebih hebat dan impak yang lebih besar daripada konsert sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Amy sempat memberitahu yang Search dan Wings kini dalam perancangan untuk menerbitkan album atau single terbaru buat peminat mereka.

“Sebenarnya kami memang sedang merancang untuk terbitkan album atau single terbaru untuk peminat kami. Untuk konsert di JB nanti rasanya tidak ada lagu baru, tetapi akan ada susunan muzik baru untuk beberapa lagu,” ujar Amy yang mengakui dia sangat teruja untuk menemui peminat di sebelah selatan.

“Kami tengah tunggu masa yang sesuai untuk buat album Double Trouble. Bukan tidak mahu hadiahkan sesuatu kepada peminat, tetapi semuanya masih dalam perancangan. Yang pasti kami akan muncul dengan sesuatu yang baru tidak lama lagi,” ujar vokalis kumpulan yang popular dengan lagu “Sejati” ini.

Kepada peminat yang ingin menyaksikan konsert Double Trouble di Johor Bahru nanti, tiket-tiket sudah pun mula dijual pada harga RM70. Untuk keterangan lanjut, anda boleh menghubungi talian 012-2166873 (Aida).


No comments:

Post a Comment