Pages

Sunday, July 4, 2010

Kekasih pakai buang....Hiburan 24 jam

KUALA LUMPUR: Sebilangan gadis yang gemar berhibur dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain selama 24 jam pada hujung minggu sanggup menyerahkan maruah mereka semata-mata untuk mendapatkan keseronokan dengan meneguk minuman keras dan mengambil pil khayal atau lebih popular dengan gelaran pil lendir oleh pengunjung kelab malam.

Dengan menggoyang kepala tanpa henti diiringi muzik bingit, mereka ternyata tidak mempedulikan ajaran agama yang melarang perbuatan maksiat.

Wartawan Metro Ahad berjaya menjejaki tiga kaki kelab malam yang mengakui pernah berhibur lebih 24 jam dengan bantuan pil lendir. Ikuti pengakuan mereka:

ZARINA, 27: “HIBURAN 24 jam bukan asing bagi saya kerana sudah melaluinya sejak tujuh tahun lalu. Dadah jenis pil juga sudah sebati. Saya sememangnya menggemari hiburan namun kerana tidak mahu mengeluarkan belanja sendiri, saya hanya menanti pelawaan daripada rakan lelaki.

Pengambilan dadah adalah perkara biasa. Biasanya, saya menerima pelawaan daripada rakan meskipun kenalan yang hanya dikenali dari kelab malam yang dikunjungi.

Saya juga sering diberi pil dan syabu sebelum minum minuman keras. Semua itu bertujuan memberi tenaga supaya kami boleh berparti daripada malam hingga ke malam esoknya tanpa penat.

Malah, tidak kurang juga yang mengajak saya melakukan hubungan seks, lebih-lebih lagi ketika masing-masing dalam keadaan ‘high’. Dalam keadaan di bawah pengaruh dadah dan arak, semua itu menjadi perkara biasa.

Bagaimanapun, hubungan seks yang dilakukan bersama pasangan menjadi perkara terakhir dilakukan. Bagi saya, berparti dan menari adalah agenda utama sebelum mengadakan hubungan seks.

Biasanya, saya akan mengunjungi sebuah kelab malam di sekitar ibu kota. Selepas ditutup pada jam 3 pagi, saya menuju pusat hiburan di sekitar Sunway yang beroperasi sehingga 8 pagi.

Tidak cukup dengan itu, saya dan pasangan serta rakan lain akan menyambung keseronokan itu di bilik hotel. Ia seolah-olah pesta buat kami sebelum masing-masing kepenatan.”

NABILA, 29: “KESERONOKAN tidak hanya setakat di ibu kota, malah saya turut mencari hiburan di luar negara. Di sana, saya bukan setakat berhibur di pusat hiburan tetapi turut bebas berpesta di tepi pantai hingga keesokan hari.

Pesta yang dianjurkan di luar negara lebih meriah, malah keseronokan yang dicapai lebih memuaskan daripada pusat hiburan di sini.

Di luar negara, kami dapat berhibur di kelab malam dan berpesta di pantai tanpa perlu rasa takut. Dalam masa sama, keadaan di sana seakan-akan membuat kami bebas melakukan apa saja, termasuk mengambil dadah ketika menari.

Jika di sini, saya hanya mengunjungi beberapa pusat hiburan yang dibuka hingga lewat pagi. Sukar untuk mencari premis yang dibuka 24 jam. Walaupun ada, saya tidak berani mengambil risiko.

Ada masanya, saya juga berpindah dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain. Ini kerana saya ingin menyambung keseronokan itu apabila premis lain ditutup awal.

Saya pernah tidur dua hari berturut-turut akibat kepenatan selepas menghabiskan tenaga di pusat hiburan lebih 24 jam. Tubuh berasa sakit tetapi tetap melakukannya lagi apabila ada peluang kerana ketagih dengan keseronokan berhibur.

Bagaimanapun, ia cerita dulu. Kini saya tidak lagi terbabit dengan gejala sosial dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya,” katanya yang berasal dari Selayang, Kuala Lumpur.”

KHAIRI, 26: “SAYA mula menjejak kaki ke pusat hiburan sejak berumur 20 tahun ketika mula berjauhan dengan keluarga di Johor Bahru kerana menyambung pelajaran di ibu kota. Saya kini menjadi jemu dengan berhibur di satu tempat saja.

Sebab itu saya mula mencari pusat hiburan yang dibuka hingga keesokan hari. Untuk mendapatkan tenaga, saya berjinak-jinak dengan dadah jenis pil seperti Ecstacy dan Eramin 5.

Setiap kali ada kelapangan, saya akan berhibur di satu pusat hiburan sebelum bertukar ke tempat lain hingga mencecah lima tempat dalam tempoh 24 jam.

Selain berhibur, saya mencari keseronokan seks dengan mana-mana wanita yang ditemui di pusat hiburan. Saya akui, dadah dan air kencing syaitan adalah umpan terbaik untuk mendapatkan nikmat seks.

Sebahagian besar wanita tidak mahu mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli arak atau pil khayal terbabit, sebaliknya menanti pelawaan lelaki.

Saya sering menggunakan umpan itu, malah tidak kurang juga segelintir wanita yang datang mengenalkan diri kepada saya apabila melihat pelbagai minuman keras terhidang di atas meja,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, ada juga yang meminta pil khayal untuk meningkatkan lagi keseronokan. Namun, selepas berada dalam keadaan ‘high’, mereka menawarkan tubuh sebagai ganjaran.

Dadah terbabit tidak sukar diperoleh kerana ramai menjualnya di dalam pusat hiburan. Bagi kaki kelab malam, mereka mengenali siapa penjual di kelab itu. Jadi, tidak sukar untuk memperolehnya walaupun kadangkala ia dijual dengan harga mahal.

Kerana itu saya gemar ‘melompat’ dari satu pusat hiburan ke pusat hiburan lain walaupun ia mengambil masa seharian kerana selain berhibur, dapat juga memuaskan nafsu.”


Trend remaja buru keseronokan membimbangkan

KUALA LUMPUR: Ghairah menikmati keseronokan di pusat hiburan melebihi 24 jam dan sanggup menggadai maruah diri untuk mendapatkan pil khayal adalah sesuatu yang sungguh menggerunkan.

Gejala tidak sihat ini menjadi petanda betapa remaja hari ini kian lemas dengan aktiviti yang tidak bermoral.

Perunding motivasi, Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata mungkin setakat ini ia hanya terjadi di bandar besar, tetapi tidak mustahil boleh berjangkit ke kawasan pinggiran jika tidak dibendung segera.

“Ada remaja pernah memaklumkan kepada saya, mereka terbabit dalam kegiatan tidak bermoral di pusat hiburan dan mahu mengubah tabiat buruk terbabit.

“Kerana itu saya katakan pola mencari keseronokan di pusat hiburan kini di tahap membimbangkan kerana ada yang tidak setakat minum minuman keras, malah mengambil bahan terlarang lain,” katanya.

Menurut beliau, ada pula yang sanggup menggadai tubuh untuk berseronok dan ia sebenarnya bukan saja mendatangkan keburukan ketika itu, malah untuk masa depan individu berkaitan.

Katanya, remaja atau pengunjung yang sanggup berhibur melebihi 24 jam di pusat hiburan sepatutnya bermuhasabah diri memikirkan apa sebenarnya yang mereka cari dalam hidup.

“Kita boleh tuding jari pada pemilik pusat hiburan kerana menyediakan pelbagai hiburan melampau, tetapi dalam masa sama kita juga perlu salahkan diri sendiri jika terbuai dengan keseronokan sementara di sana.

“Setiap individu perlu memikirkan masa depan dan tidak mensia-siakannya dengan merosakkan diri sendiri. Jika sudah berhibur 24 jam, bagaimana dengan komitmen kerja, pelajaran dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa atau keluarga supaya jangan mudah melepaskan anak masing-masing hingga ada yang tidak pulang ke rumah dengan alasan mereka sudah dewasa atau tahu apa yang dilakukan.

Ini kerana ibu bapa serta keluarga punya peranan penting dalam membentuk, mengawal atau membuat keputusan apa yang baik untuk anak.

“Jangan beri kebebasan penuh pada anak remaja. Jika tidak dikawal, mereka mungkin menyalahgunakannya. Sentiasa kawal atau awasi yang mereka lakukan.

“Selain itu, remaja perlu ada jati diri yang kuat. Dalami agama dan dekatkan diri dengan perkara kebaikan kerana jika kita hanyut, sukar untuk kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Pihak berkuasa juga digesa menggandakan usaha membanteras kegiatan pusat hiburan haram kerana jika dibiarkan, tidak mustahil lebih ramai lagi remaja yang bakal binasa.

Sementara itu, Pensyarah Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Sapora Sipon, berkata dalam teori psikologi, prinsip keseronokan dalam tubuh manusia menyebabkan seseorang itu mahukan perasaan terbabit pada bila-bila masa.

“Tidak mustahil bagi mana-mana individu untuk melakukannya hingga melampaui tempoh 24 jam kerana prinsip keseronokan terbabit menguasai dirinya.

“Kerana itu mereka sanggup melakukan apa saja hatta menggadai maruah diri sendiri. Mungkin ada yang sedar perkara itu salah tetapi tetap tidak kisah asalkan keseronokan yang dihajati tercapai,” katanya

No comments:

Post a Comment