Masih ingat lagi dengan XPDC? Kumpulan yang digelar ‘Raja Funfair’ ini cukup popular pada tahun 90-an. Namun, masalah dalaman yang melanda kumpulan ini membuatkan populariti mereka terjejas. Pertukaran ahli kumpulan yang kerap kali juga memberi impak yang tidak bagus.
Jika mahu diimbas kembali, perjalanan karier XPDC memang banyak onak dan durinya. Pengunduran Mael sebagai vokalis kumpulan adalah kontroversi paling hebat. Ketika itu, ramai peminat XPDC tidak boleh menerima keputusan itu kerana berpendapat XPDC akan hilang begitu sahaja jika Mael tidak bersama mereka.
Namun, ternyata cakap-cakap itu tidak benar. Walaupun anggota kumpulan ini silih-berganti, tetapi sehingga kini mereka masih mampu bertahan. Memang perpecahan berlaku, tetapi atas sebab-sebab tertentu XPDC kembali bergabung dengan anggota asalnya iaitu Mael, Izo, Zua dan Amy pada tahun 2006.
Penyatuan ini telah melahirkan album khas berjudul ‘Rock Union’ pada penghujung 2007. Album ini memuatkan 20 lagu-lagu hits XPDC, Real X, dan lagu-lagu dari album solo Mael serta dua lagu bonus baru berjudul “Curahan Rasa” dan “Menentang Arus”.
Pada November 2009, XPDC muncul pula dengan album baru berjudul ‘XPDC Reunion Rasopariso’. Selain memuatkan tujuh buah lagu baru, album ini juga disertai dengan dua lagu yang dipetik daripada album ‘Rock Union’ dan empat lagu lama XPDC berjudul “Raja Kertas”, “Talam Dua Muka”, “Bahalol” dan “Tak Nak Jadi Soh Chai” yang diadun semula dalam versi lebih keras. Malah, album ini turut menampilkan cakera video XPDC yang memaparkan kronologi mereka dari 1989 hingga 2010.
Bagaimanapun, album edaran Life Records ini tidak pernah dilancarkan secara rasmi. Malah, promosi di media cetak dan elektronik juga amat kurang. Sebab itulah, hanya pengikut setia kumpulan ini yang menyedari kewujudan album ini. Tambah memburukkan keadaan, lagu-lagu dalam album ini juga kurang dimainkan oleh stesen-stesen radio tempatan.
Apakah alasan XPDC mendiamkan kelahiran album baru mereka? Sedangkan album ini ditunggu-tunggu oleh peminat setelah mereka kembali bersatu.
Menjawab persoalan ini, Eksekutif Pemasaran dan Produksi Life Records, Zeezam Shah berkata, pihaknya tidak melancarkan album terbaru XPDC itu kerana yakin ia mendapat sambutan di kalangan peminat setia kumpulan ini.
“XPDC ini tidak seperti kumpulan-kumpulan muzik lain. Mereka sudah ada pengikut setia. Apa sahaja yang mereka lakukan, pasti pengikut mereka akan tahu. Kiranya, XPDC ini mampu berdiri dengan sendiri. Walaupun tiada pelancaran album, tetapi album mereka tetap boleh dijual.
“Memandangkan ada yang mengatakan ramai tidak tahu tentang album XPDC ini, jadi ingin saya nyatakan di sini bahawa selepas ‘reunion’, kumpulan ini telah ada lima produk iaitu ‘Rock Union’, ‘XPDC Reunion Rasopariso’, ‘Lagenda Hits XPDC’, ‘VCD Karaoke Rasopariso’ dan yang terbaru, ‘XPDC Reunion Rasopariso The Relaunch’. Semua produk ini kita hasilkan dalam masa lapan bulan sahaja.
“Selain itu, kami juga guna pendekatan ini sebagai salah satu strategi pemasaran. Sebenarnya, kami sedang merangka konsert XPDC secara besar-besaran. Ketika konsert itu nanti, barulah kami akan lancarkan album-album terbaru XPDC ini,” ulas Zeezam panjang lebar.
Ditanya tentang tarikh dan lokasi itu konsert itu pula, Zeezam memberitahu konsert itu akan diadakan pada November depan. Bagaimanapun, tarikh dan lokasi masih belum boleh diumumkan kerana masih dalam peringkat perbincangan.
“Konsert yang dinamakan ‘Konsert Reunion XPDC 2010 Kronologi’ ini kami akan buat pada November nanti. Tetapi belum boleh beritahu tarikh dan lokasinya kerana masih dalam perbincangan. Kami mencari lokasi yang boleh memuatkan 8,000 hingga 10,000 orang peminat. Mengikut perancangan, kami akan mengundang semua individu yang pernah menganggotai XPDC sebelum ini,” ujar Zeezam.
Sementara itu, ahli XPDC yang turut serta dalam sesi temubual itu turut ditanya tentang sejauh mana mereka akan bertahan bersama. Menurut Zua, mereka tidak berani berjanji, namun mereka akan cuba bertahan selama yang mungkin demi peminat.
“Kami tidak berani berjanji, tetapi kami akan cuba bertahan selama yang boleh. Setakat ini tidak ada sebarang masalah selepas kembali bersatu,” jelas Zua mewakili rakan-rakan yang lain. |
No comments:
Post a Comment