SEPANG - Terminal dan Kompleks Tetap Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) yang akan menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini bakal siap pada pertengahan tahun 2012.
Terminal baru itu yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion dibina bagi menampung pertumbuhan trafik penerbangan yang makin meningkat dan bakal menampung sehingga 30 juta penumpang setahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, KLIA 2 merupakan satu keperluan kerana kapasiti LCCT sekarang hanya mampu menampung sehingga 15 juta penumpang setahun.
Menurutnya, sasaran itu sudah hampir dicapai.
"Sejak 10 tahun kebelakangan ini penerbangan tambang murah semakin meningkat di KLIA dengan pertumbuhan sebanyak 37 peratus setahun," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah terminal KLIA 2 di tapak projek itu di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Berhad (MAB), Tan Sri Bashir Ahmad.
Najib memberitahu, pertumbuhan dalam industri penerbangan dijangka terus meningkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dan ia memerlukan terminal baru bagi menampung penumpang yang semakin meningkat.
No comments:
Post a Comment