Pages

Monday, November 1, 2010

Shila Jelaskan Hubungan Dengan Pemain Bola

Penyanyi Shila, 21, (gambar)mengakui sedang berkawan rapat dengan pemain bola sepak Harimau Muda negara, Haziq Zikri Elias dan sering digosipkan keluar bersama.


Namun begitu, Shila berkata, tiada sebarang hubungan istimewa antara mereka, malah memberitahu dia dan Zikri lebih senang menjadi kawan rapat.

"Saya dan Zikri hanya sekadar kawan baik sahaja, memang kami selalu keluar bersama-sama malah dia juga sering datang melepak di rumah saya.

"Persahabatan kami bukan berdua tapi kami ada lagi seorang rakan baik perempuan bernama Bella. Mereka berdua baru sahaja pulang dari United Kingdom dan tidak banyak kawan di sini," katanya.

Menurut Shila, dia sukakan dua rakannya itu kerana mereka berfikiran terbuka berbanding rakan-rakan yang kurang memahami kerjayanya sebagai artis.

"Saya senang berkawan dengan mereka sebab pemikiran mereka lain. Mereka lebih terbuka dan tidak cepat merajuk.

"Buat masa ini memang saya selalu keluar membeli belah atau menonton wayang bersama-sama, malah ibu bapa saya sudah percaya jika keluar dengan mereka," katanya.

Bercerita tentang pemain bola sepak, Shila sebelum ini juga dikaitkan dengan pelakon yang juga aktif sukan tersebut, Fizo Omar. Mereka bagaimanapun menafikan mempunyai hubungan.

Dalam pada itu, Shila turut memberitahu bakal memulakan proses rakaman album terbarunya sedikit masa lagi.

Kali ini dia berharap konsep yang bakal ditonjolkan lebih matang memandangkan usianya sudah menginjak ke alam dewasa.

No comments:

Post a Comment