Pages

Tuesday, February 1, 2011

Lagu terakhir Shamrin Fotograf

Sekali Rindu Datang jadi penawar kerinduan peminat vokalis Fotograf

MASIH terngiang-ngiang di telinganya suara merdu milik Shamrin Abdul Samad atau Shamrin Fotograf ketika penyanyi yang meninggal dunia secara mengejut pada 11 November lalu itu merakamkan lagu yang diterbitkan olehnya tidak lama dulu.

Tentunya sukar untuk lelaki ini melupakan kenangan berkenaan, apatah lagi dialah komposer terakhir yang bekerjasama dengan penyanyi рοрυƖаr terbabit. Justeru, Nik Nizam Jaafar, 41, yang nyata masih terkilan dengan kehilangan berkenaan lebih bersemangat untuk memperkenalkan hasil kerjanya bersama Shamrin kepada peminat.

Bersama penyanyi yang turut menjadi idolanya itu, Nik Nizam menghasilkan album kompilasi berjudul Thе Best Of Shamrin & Fotograf, edaran Warner Music (M) Sdn Bhd.

"Kami pernah merancang untuk menghasilkan projek seterusnya selepas menyudahkan single berjudul Sekali Rindu Datang. Namun, Tuhan itu lebih berkuasa dan nampaknya, album inilah yang sedikit sebanyak dapat menjadi pengubat rindu buat peminat Shamrin," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Album yang mengandungi dua CD serta lagu yang melalui proses ‘mastering’ semula secara digital itu mula dipasarkan sejak 19 Januari lalu.

Menurut Nik Nizam, walaupun dia masih bersedih dan terkilan dengan pemergian penyanyi berbakat terbabit, namun jauh di sudut hatinya dia berbangga kerana dapat juga bekerjasama dengan vokalis hebat itu.
“Sejak dulu memang saya menyukai vokal arwah yang unik dan kompleks. Tidak ramai penyanyi yang mempunyai vokal serupa dengannya.

“Atas alasan itu saya cukup berbangga apabila saya dapat bekerjasama dengannya, dan tentu sekali saya tidak menyangka menjadi orang terakhir menghasilkan lagu untuknya. Saya juga tidak pernah berkira apabila melaburkan duit demi menghasilkan lagu untuknya,” kata Nik Nizam.

Menceritakan lebih lanjut proses merakamkan lagu bersama arwah, Nik Nizam mengakui kehebatan idolanya itu bukan saja kerana vokalnya tetapi ilmu muzik yang dimiliki.

“Bagi pemuzik lain, saya percaya mereka pasti menyedari keunikan vokal arwah sekiranya mereka pernah merakamkan lagu bersamanya. Apa yang ada padanya tidak ada pada penyanyi lain. Dengan keunikan vokal itu juga, kerja rakaman menjadi lebih mudah.

“Rakaman pertama Sekali Rindu Datang saja sudah cukup sempurna bagi saya. Begitu jugalah kesempurnaan yang kami dapat sewaktu merakamkannya buat kali kedua. Kerja rakaman memang berlangsung dengan cepat dan mudah dek bakat dan keupayaannya," katanya.

Bukan sekadar berbakat dari segi nyanyian, Shamrin juga katanya, mempunyai cita rasanya sendiri dalam penghasilan kulit album.

“Arwah pernah berangan untuk memasukkan gambar seekor burung yang seakan dalam kesejukan pada kulit albumnya. Saya tidak tahu apakah maksudnya, namun іԁеа itu saya ceritakan kepada Warner Music dan inilah hasilnya.

“Arwah juga pernah berkata kepada saya bahawa peminatnya tidak suka dengan lagu baru yang dihasilkan berbeza dengan lagu sebelum ini. Dia pernah menghasilkan lagu lain sebelum ini, akhirnya ia kurang mendapat sambutan.

“Jadi lagu yang saya hasilkan ini memang mempunyai rasa lagu nyanyiannya sebelum ini seperti Di Alam Fana Cinta dan Jangan Kau Ucap Selamat Tinggal,” katanya.

INFO

  • Sebanyak 24 lagu yang dimuatkan dalam album kompilasi ini, antaranya Janji Kekasih, Keliru Dalam Rindu, Kalimah Cinta, Nyata Kasihku, Pelangi, Di Alam Fana Cinta (duet dengan Datuk Sharifah Aini), Ke Pintu Kasihmu, Terlena Dalam Jaga dan Nafas Kekasih.
  • Nik Nizam yang juga pemuzik orkestra di Istana Budaya (IB) bukan saja berpengalaman menghasilkan lagu untuk artis malah turut menghasilkan lagu patriotik seperti Malaysiaku Gemilang.
  • Pada 11 November tahun lalu, industri seni tanah air dikejutkan dengan berita kematian vokalis kumpulan Fotograf, Shamrin, yang rebah tiba-tiba ketika bermain bola sepak bersama rakan artis lain.

1 comment:

  1. post ini baru saya temui. saya seorang peminat pemilik suara yang unik ini dan mengumpul lagu2nya, kecuali lagu asmara berduri. Mudah2an Allah ampuni dosa2nya dan kurniakan Jannah kepadanya.

    ReplyDelete