Pages

Tuesday, March 8, 2011

Pengesanan Awal Barah Payudara Menyelamatkan Nyawa

breast+cancer Pengesanan Awal Barah Payudara Menyelamatkan NyawaSejauh manakah keintiman anda dengan mahkota kewanitaan anda, payudara? Andai ditanya bilakah kali terakhir anda melakukan pemeriksaan sendiri payudara (BSE – breast self examination), agaknya, apakah jawapan anda? Lupa kerana sudah lama tidak melakukannya atau sememangnya anda tidak pernah ambil peduli?

Kajian mendapati, 2 daripada 3 wanita Malaysia tidak melakukan BSE walaupun menyedari kanser payudara adalah pembunuh nombor satu wanita. Antara alasan popular yang seringkali disuarakan adalah kurang yakin, tidak tahu apa perlu dicari, takut menemui sesuatu tidak normal dan tidak kurang juga yang kurang selesa menyentuh payudara sendiri.

Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai kebarangkalian menghidap kanser payudara. Ia paling biasa menyerang kaum Cina (1:14 wanita) diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24). Sekalipun nisbah wanita Melayu yang paling kecil, ironinya, sering kali mereka adalah yang paling lambat didiagnosis. Antara 40 hingga 60 peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telahpun melewati tahap 3 atau 4, di mana tidak banyak boleh dilakukan. Semakin lewat kanser dikesan, semakin tipis peluang pesakit untuk sembuh.

Pengesanan Awal

Sebaik mencapai usia 20 tahun, setiap wanita terdedah dengan musuh utama ini. Anak gadis yang mencecah usia berkenaan amat digalakkan memulakan BSE setiap bulan terutamanya bagi yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser payudara. Risikonya juga semakin meningkat dengan peningkatan usia. Malah, kadar kejadian dikatakan terus meningkat dengan mendadak dari tahun ke tahun akibat gaya hidup moden.

Punca khusus kanser ini masih samar tetapi beberapa kaitan genetik dan persekitaran telah dikenalpasti. Memandangkan tiada penawar dan rawatan sedia ada belum berkesan 100%, yang ada cuma kata-kata keramat ‘pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa’.

Berbanding kanser-kanser lain, kanser payudara adalah antara yang paling mudah dikesan. Sekalipun pemeriksaan payudara klinikal dan mamografi diiktiraf sebagai standard emas dalam penyaringan kanser payudara, BSE kekal sebagai langkah perlindungan utama dalam regim pencegahan kanser payudara.

Pakar perubatan turut mengakui kebanyakan kes kanser payudara mula dikesan pesakit sendiri atau pasangan mereka melalui BSE rutin di rumah. Menurut Persatuan Kanser Amerika, pesakit mempunyai 95% kebarangkalian hidup 5 tahun akan datang sekiranya kanser payudara berjaya dikesan awal dan masih berada di sekitar payudara.

Pentingnya BSE

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tentang konsep kesedaran payudara iaitu bagaimana untuk menjadi akrab dan mesra dengan keadaan serta kesihatan payudara sendiri. BSE memberikan sumbangan besar dalam membantu wanita menjalinkan hubungan rapat ini supaya mereka mengenali rupa bentuk dan rasa payudara apabila disentuh. Permulaan BSE sendiri setiap bulan pada peringkat awalnya bukan hanya bertujuan mencari ketulan tetapi lebih utama untuk mengenal bentuk, saiz serta tekstur normalnya.

Mengetahui apa yang normal (dan tidak normal) pada payudara anda umpama menekan suis antara kematian dan kehidupan. Jika anda kenal dan arif dengannya, bukan satu masalah bagi anda untuk mengesan sebarang perbezaan yang tidak ketara, tetapi mungkin serius. Perubahan-perubahan yang berlaku mungkin boleh dilihat dengan mata kasar atau mungkin hanya jelas selepas beberapa bulan. Ia mungkin satu tanda awal kepada sesuatu yang lain di bawah permukaan payudara.

Sekiranya anda telah biasa dengan rupa bentuk dan rasa sentuhan payudara sendiri, secara automatik mudah untuk mengetahui jika ada sesuatu yang tidak kena. Tanpa memori sentuhan daripada BSE berterusan setiap bulan, anda mungkin tidak akan perasan akan perbezaan kecil di peringkat awal. Sebarang perubahan hendaklah dibawa kepada perhatian doktor dengan segera.

Tanda-tanda yang perlu anda perhatikan :

- benjolan di payudara atau ketiak
- perubahan luarbiasa tekstur, bentuk dan saiz payudara
- kulit payudara bengkak, berkedut dan ke dalam
- puting susu tenggelam
- pendarahan atau lelehan luarbiasa dari puting
- kulit payudara berbintik seperti kulit limau

Usah takut dan panik sekiranya anda terjumpa ketulan kerana 9 daripada 10 benjolan yang ditemui tidak semestinya kanser. Sesetengah wanita berkecenderungan secara genetiknya untuk mewarisi benjolan pada payudara. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua gumpalan dalam payudara kerana kemungkinan kanser tetap ada dan hanya doktor yang boleh mengesahkannya.

Harus diingat bahawa BSE tidak boleh menggantikan pemeriksaan payudara klinikal tahunan (apabila mencecah usia 30-an) dan penyaringan mamogram berkala (apabila mencapai umur 40-an), bergantung kepada individu dan sejarah keluarga. Walaupun pemeriksaan fizikal oleh doktor mahupun mamografi dapat memastikan kesihatan payudara anda, BSE tetap penting bagi mengesan perubahan awal sebelum pemeriksaan doktor yang berikutnya.

Anda sepatutnya memeriksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dalam tempoh 3 hari selepas haid berakhir ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid, iaitu tempoh payudara paling kurang bengkak dan sakit. Jika anda telah menopaus, kedatangan haid tidak tetap atau telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payudara anda seelok-eloknya pada hari yang sama setiap bulan. Golongan lelaki juga tidak terkecuali kerana mereka juga berisiko menghidap kanser payudara.

Bantuan Pad BSE

Terdapat pelbagai teknik pemeriksaan payudara sama ada bajian (pasakan atau wedge), pusingan (bulatan) bse+pad Pengesanan Awal Barah Payudara Menyelamatkan Nyawaatau urutan menegak. Pilihlah kaedah yang dirasakan sesuai untuk anda dan guna kaedah yang sama setiap kali.

Kini, ada cara yang lebih mudah dan meyakinkan untuk melakukan BSE mengikut keselesaan di rumah. Pad BSE bukan sahaja untuk menggalakkan lebih ramai wanita memeriksa payudara sendiri secara berkala, malahan dapat memudahkan BSE bulanan mengesan sebarang perubahan dari peringkat awal lagi.

Produk yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) ini direka khusus untuk meningkatkan deria sentuhan jari anda ketika melakukan BSE. Ia terdiri daripada dua lapisan plastik poliuretana bebas lateks yang lembut dan tipis, berukuran kira-kira 20 sentimeter garis pusat dan diisikan dengan sejenis pelincir di dalamnya. Cecair khusus ini berperanan mengurangkan geseran di antara jari dan payudara sekaligus meningkatkan kepekaan deria sentuhan dengan ketara.

Lekapkan pad BSE ke atas payudara anda, kemudian tekan permukaan pad berkenaan menggunakan jari mengikut kaedah urutan BSE seperti biasa. Lapisan atas pad BSE akan bergerak dengan lancar di atas lapisan bawahnya yang melekap lembut pada kulit. Sekiranya terdapat sebarang gumpalan atau perubahan dalam tisu payudara, ia akan berasa seolah-olah timbul di permukaan. Pad BSE boleh diguna semula pada setiap bulan bersama panduan langkah demi langkah yang direka khusus oleh pakar bedah am serta pakar bedah kanser payudara.

Kenali payudara anda dengan lebih intim. Ingat! Kanser payudara boleh dirawat jika dikesan awal dan dirawat secepat mungkin. Meluangkan beberapa minit untuk BSE setiap bulan boleh menyelamatkan nyawa anda!

www.sihatselalu.com.my

No comments:

Post a Comment