Pages

Saturday, April 2, 2011

Amy Search Pengetua AF9

AmySearch

Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search dinobatkan sebagai Pengetua Akademi Fantasia ke-9 merangkap musim terakhir program realiti televisyen yang melahirkan banyak bintang antaranya Mawi, Stacy, Adam, Mila, Nubhan, Bob dan Hafiz yang membarisi dunia nyanyian tempatan pada masa ini.

Pemilihan Amy itu sekaligus menutup khabar-khabar angin yang bertiup kencang dan mencetuskan kontroversi mengenai pelantikan ketua kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani yang mendapat bantahan banyak pihak di negara ini.

Selain Ahmad Dhani, nama-nama lain yang turut disebut-sebut sebagai Pengetua AF9 ialah komposer, penerbit dan maestro muzik tersohor Indonesia, Erwin Gutawa, Park Jin Young yang merupakan pemilik syarikat JYP Entertainment dari Korea Selatan, Ramli Sarip dan ramai lagi.

Program yang mula diperkenalkan pada 2003 menyaksikan Datuk Freddie Fernandez dipilih sebagai pengetua AF1, diikuti dengan Datuk Ramli M.S. (AF2), M. Nasir (AF3), Ramli Sarip (AF4) dan Roslan Aziz (AF5).

Ramli M.S. kemudiannya sekali lagi dipilih sebagai pengetua untuk musim keenam diikuti Datin Seri Tiara Jacquelina (AF7) manakala Norman Abdul Halim (AF8).

Dilahirkan pada 28 Julai 1958 di Johor Baru, Amy Search mempunyai pengalaman tiga dekad dalam dunia seni tanahir dengan pernah merakamkan puluhan album antaranya Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit Dan Bumi (1986), Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987), Fenomena (1989), Karisma (1990), Gema Di Timur Jauh (1995) dan Gothik Malam Edan (2006) di samping pernah menjadi penyanyi solo buat seketika.

Selain menyanyi dengan pengalaman cukup tinggi dalam pembikinan konsert, Amy juga pernah membintangi banyak filem antaranya sebagai pelakon undangan dalam Kembara… Seniman Jalanan (1986), Rozana Cinta ’87 (1987), Sayang (1987), Fenomena (1990), Isabella (1990) dan Rock (2005).

Selain penglibatan beliau dalam bidang seni, Amy turut menunjukkan bakat keusahawanan dengan membuka Restoran Cheng Ho di Wangsa Maju berkonsepkan Chinese Islamic Seafood dan menggemparkan negara setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Sony Music Entertainment (M) Sdn. Bhd. membayar ganti rugi RM2 juta kepada Amy kerana didakwa melanggar Perjanjian Pengedaran Bersyarat (PDA) pada 1998 dengan syarikat milik Amy, Art-Is At Work Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment