Pages
▼
Tuesday, August 30, 2011
Ulasan HANTU BONCENG
Bintang
Keseluruhan: 4.5
Pelakon: 4.5
Plot: 4
Efek Khas: 4
Sinematografi: 4
Tonton filem ini jika anda suka: “Ngangkung”, “Sini Ada Hantu”, “Hantu Kak Limah Balik Rumah, “Jangan Pandang Belakang Congkak”.
Terbaik! Memang best! Lawak giler! Itu antara perkataan yang pastinya akan terpacul dari mulut sebaik menonton filem komedi seram tahap maksimum, “Hantu Bonceng”. Penulis pasti semasa menulis ulasan ini, penulis berada dalam keadaan yang waras, tanpa disogok oleh pengarah atau mana-mana pelakon dalam filem ini kerana hakikatnya filem arahan pengarah dan penerbit versatil, Ahmad Idham ini sememangnya patut menerima pujian kerana berjaya menzahirkan filem ini sebagai sebuah naskah komedi seram tahap tidak kering gusi, kebas usus perut!
Tidak keterlaluan sekiranya filem komedi seram yang menyaksikan gandingan mantap kali pertama buat teraju utama “Hantu Bonceng” seperti Zizan Razak atau lebih dikenali sebagai Zizan Raja Lawak, Juliana Evans, Jue Aziz, Taiyuddin Bakar bekerja di bawah arahan Adham Idham antara filem bakal hit tahun ini! Kalau filem “Karak” terbitan arahan Yusry Abdul Halim boleh berdiri dengan penjenamaan sedia ada Jalam Karak, “Hantu Bonceng” yang bertemakan ‘Rempit & bohsia innocence’ ini mampu terpahat terus dalam minda dan hati penonton dek lawak segar filem yang digarap sempoi tapi teliti oleh Ahmad Idham ini.
Pujian juga harus diberikan kepada barisan pelakon yang menjayakan filem ini kerana hampir semua kesemua mereka berjaya melakonkan watak masing-masing dengan cemerlang. Variasi watak dari Amran delivery boy merangkap raja litar haram, Halimaton si jururawat brutal, Kunyit, kawan tiga suku tapi setia disisi Amran, hantu Maya yang tidak henti-henti menyakat Amram sehinggalah watak bomoh handsome (Eizlan Yusof), semuanya menggelikan hati.
TUPAI mengakui pada awal plot penceritaan filem ini, iaitu sewaktu babak Amran (Zizan) menang pertaruhan lumba haram diselangi dengan aksi lawak Zizan yang acapkali dlihat (maklumlah penulis ini peminat ‘Jozan’ sebenarnya) mengundang sekelumit rasa dalam hati berkata, “Alah mesti filem komedi seram tipikal! Nampak klise sangat…” sehinggalah kelibat ‘bohsia’ sopan dan ayu mengenakan baju kurung, Maya (Juliana Evans) muncul diikuti dengan keterujaan Amran yang baru saja hendak merasa nikmat syurga dunia terbantut apabila motor yang dinaikinya bersama Maya bertembung dengan lori memaksa Amran bingkas melompat dari motor meninggalkan Maya yang akhirnya meninggal dunia. Babak sempoi tersebut cukup membuatkan seisi panggung tergelak bagai nak rak sekaligus menyangkal tanggapan negatif penulis sebentar tadi.
Babak kering gusi dan mendebarkan diteruskan lagi apabila roh maya yang tidak dituntut keluarga sering menghantui Amran, menyebabkan hidupnya diselubungi ketakutan. Setiap kali babak Maya muncul menyakat Amran, setiap kali itulah babak-babak super duper kelakar muncul dan paling tak boleh tahan bila setiap kali itulah juga Amran pengsan sehingga beberapa kali tersadai di hospital dirawat oleh doktor anti-Mat Rempit (Zahid AF2). Nasib baik ada si baby bucuk, Halimaton yang setia menjaganya walaupun geram dan kecewa bila dapat tahu buah hati merempit dan hampir curang dengannya.
Lawak memang lawak tapi apalah ertinya genre ‘seram’ dan tajuk ‘Hantu Bonceng’ kalau tiada babak seram ‘menyeramkan’ filem ini. Babak lawak yang diterapkan nyata menjadi. Pengarah berjaya melatari seram dengan mood dan suasana tahap merinding bulu roma. Cuma sayangnya, sungguhpun lakonan Juliana Evans sebagai hantu berjaya dibawa dengan baik namun penataan efek mekap hantu kurang menyeramkan.
Bahkan penulis merasa hantu Maya ini masih boleh tahan hot hatta sudah jadi hantu. Kenapa boleh jadi begini? Mungkin juga kerana solekan, lebih-lebih lagi tang mata kurang menjadi menyebabkan mood ‘seram’ hanya berada pada tahap 65% sahaja walaupun sekali pandang macam hantu Ju On pun ada. TUPAI percaya, kalau kesan mekap dilakukan lagi ‘halus’ dan teliti sudah pasti kelibat hantu Maya mampu mengilai seperti hantu dalam ‘Thir13en Ghost’ paling tidak pun seperti hantu Suzana dalam filem Indonesia ‘Sundel Bolong’. Mujur kesan bunyi genius berjaya membuatkan penonton berdebar-debar sehingga ada yang menjerit terkejut.
Babak paling ‘memorable’ adalah sewaktu Amran memujukHalimahton dengan memanggil ‘baby’ berulang kali namun Halimahton yang naik angin itu selamba menyebut perkataan ‘babi’. Tabik dengan lakonan Jue Aziz, memang selamba!
Dari segi plot penceritaan, sejujurnya filem ini adalah sebuah filem ringan sarat dengan humor dan elemen seram berakal. Jalinan cerita juga tidaklah kompleks mana tidaklah tipikal seperti komedi seram lain yang kita sudah boleh jangkakan jalan cerita atau kesudahannya kerana apa yang dipaparkan dalam “Hantu Bonceng” memang sesuatu yang berbeza dan kreatif. Ibarat keluar dari kepompong selesa, olahan cerita bikinan Ahmad Idham kali ini tampak bereksperimentasi halus apabila banyak menekankan adengan serta dialog spontan tapi teliti. Kalau tidak, boleh jadi cerita ini melalut ke laut agaknya.
Secara keseluruhan, kelemahan tetap ada tapi tidak ketara sangat. Sejujurnya penulis tidak kisah sangat kerana kelebihan dan kekuatan filem ini lagi banyak. Syabas diucapkan buat Ahmad Idham dan barisan pelakon yang menjayakan filem ini. Chemistry bukan tidak hanya boleh dilihat antara Zizan dengan Juliana Evans (yang masing-masing mengakui teman tapi mesra) bahkan dapat dilihat pada seluruh ‘team’ Hantu Bonceng. Jaminan TUPAI, gamatkanlah lebaran anda pada 31 Ogos 2011 ini dengan menonton Hantu Bonceng, gerenti puas hati!
* Kredit to tupai.com.my
No comments:
Post a Comment