KUALA LUMPUR, 11 Okt: Dunia seni tanahair hari ini dikejutkan dengan berita kematian seorang penyanyi veteran yang mempunyai kelas tersendiri, Datuk Mohd Jais Ahmad, 75, (gambar) ataupun dikenali dengan nama Ahmad Jais.
Beliau telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) jam 9.20 pagi tadi.
“Ahmad Jais yang kita kenali terkenal dengan alunan suara yang menusuk serta lenggokkan nada Melayu yang terlekat disetiap atur lirik lagunya membuatkan lagu-lagunya sentiasa terpahat dijiwa setiap rakyat,” kata Pengarah Department Art, Culture & Sports (DACS) Dewan Pemuda PAS Malaysia, A Halim Ahmad.
Beliau berkata, allahyarham tidak hanya mengalunkan lagu-lagu cinta malah sikapnya yang patriotik turut ‘diterjemahkan’ di dalam bentuk lagu seperti lagu Bahtera Merdeka.
Katanya, siapa yang tidak melalui Hari Raya Eidul Fitri tanpa terdengar ‘kelibat’ lagu dendangan beliau.
Beliau menambah, lagu dendangannya juga sentiasa mengingatkan kita kepada Yang Maha Kuasa dan yang pastinya lagu Iman Dan Taqwa adalah antara yang paling menyentuh jiwa nurani kita.
“Begitulah Ahmad Jais. Walaupun dalam berhibur namun sentiasa mengingatkan kita supaya jangan alpa terhadap Allah SWT.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat buat rohnya. Semoga Allah SWT memberikan keampunan kepada allahyarham dengan berlandaskan amalan dan niat beliau semasa di dunia ini,” ujarnya.
Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment