Pages

Saturday, October 8, 2011

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Tidak Ada Medley


Lagenda rock industri muzik tanahair Search, menyambut ulangtahun yang ke-30 pada tahun ini. Untuk meraikan kejayaan ini, SEARCH bakal mengadakan siri konsert jelajah bagi menghargai peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan muzik mereka selama ini.

Konsert yang dinamakan Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini akan menggegarkan negara bermula 19 November hadapan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Ini diikuti dengan konsert di Stadium Larkin, Johor Bahru pada 3 Disember dan seterusnya sebagai penutup, di Padang Astaka, Kuala Lumpur pada 17 Disember hadapan.

Ketika ditemui di sidang media pengumuman konsert ini kelmarin, vokalis Search. Amy memberitahu yang dia berasa cukup terharu dengan sokongan peminat selama ini. Katanya tanpa sokongan ini tidak mungkin Search mampu bertahan sehingga 30 tahun.

“30 tahun berada dalam industri bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai jika tidak ada sokongan kuat daripada peminat. Saya anggap peminat adalah sangat penting. Saya ingin berterima kasih kepada semua peminat. Bukan hanya kepada generasi lama, tetapi juga generasi baru yang turut meminati lagu-lagu Search.

Saya kira konsert ini pasti sukar dilupakan kerana dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang, tidak tahu lagi sama ada kami masih berada dalam industri atau tidak. Mudah-mudahan, siri konsert kali ini akan mencipta kejayaan manis,” ujar Amy.

Diminta memberi sedikit gambaran tentang persembahan yang sedang dirancang, Amy menjelaskan, buat masa ini dia tidak dapat bercerita lanjut kerana Search masih berbincang dengan pihak penganjur, Oracle Accord.

Bagaimanapun, pemain gitar bass, Nasir mengumumkan Search tidak akan menyampaikan lagu secara medley seperti yang pernah mereka lakukan dalam konsert-konsert terdahulu.

“Kami mempunyai masa dua jam untuk konsert ini. Tetapi ini tidak bermakna kami akan persembahkan sehingga 30 lagu. Mungkin 15 – 20 lagu sahaja dan yang pasti tidak akan ada lagu yang disampaikan secara medley. Kami tidak mahu buat medley kerana kami mahu peminat puas mendengar setiap lagu. Bukan separuh-separuh,”ujar Nasir.

Konsert Fenomena 30 Tahun Search akan membariskan anggota Search yang sama ketika Konsert Double Trouble bersama Wings dahulu iaitu Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar irama) dan Yazit (dram).

Tujuh jam muzik rock tanpa henti

Sementara itu, Pengarah Oracle Accord, Jerome Lee, memberitahu peminat Search akan dihidangkan dengan produksi yang dijamin berkualiti. Ini kerana pihaknya telah pun mengimport jurutera bunyi terkemuka dari Singapura iaitu Yamaguchi yang pernah terlibat dengan konsert-konsert bertaraf antarabangsa seperti konsert Black Eyed Peas. Ujar Jerome lagi, perancangan dan persediaan rapi adalah prioriti utama untuk memastikan semua pihak bukan sahaja berpuas hati, malah menganggap ini adalah konsert terhebat tahun ini.

Selain itu, Konsert Fenomena Search 30 Tahun itu juga bakal berlangsung selama tujuh jam kerana ia turut dihangatkan dengan persembahan daripada beberapa kumpulan rock tanahair selama lima jam, iaitu sebelum Search mengambil-alih pentas. Bukan itu sahaja, peminat juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penaja.

Tiket-tiket sudah boleh dibeli di cawangan-cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my. Untuk konsert di Pulau Pinang dan Larkin, tiket dijual pada RM59, manakala harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur adalah RM69.

Sebagai promosi, pihak penganjur telah mengumumkan bahawa terdapat diskaun sebanyak 15 peratus bagi harga tiket-tiket yang dibeli secara online bermula 6 Oktober sehingga 13 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment