Pages

Monday, October 10, 2011

Search Guna Yamaguchi Untuk Konsert 30 Tahun

Search Guna Yamaguchi Untuk Konsert 30 Tahun

Foto: Mazlan Photography

KUALA LUMPUR, 7 OKT 2011: Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh kumpulan rock gergasi seperti Search setiap kali mengadakan konsert buat peminat dan pengikut mereka. Selain mendapatkan penajaan daripada syarikat korporat yang besar, masalah yang lain adalah memastikan peralatan dan sistem bunyi yang digunakan tidak meminggirkan kualiti serta memuaskan hati audiens.

Barangkali itu adalah antara syarat yang diketengahkan oleh Search apabila mereka didatangi oleh pihak Oracle Accord yang berminat untuk menganjurkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search.

Atas sebab itu, Konsert Fenomena 30 Tahun Search yang akan mula menggegarkan negara di 3 lokasi utama iaitu Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 19 November 2011 diikuti dengan Stadium Yunos Larkin Johor Bahru (3 Disember 2011) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember 2011) ini nanti akan mendapat khidmat daripada jurutera bunyi terkemuka dari Singapura iaitu Yamaguchi.

Pernah terlibat dengan konsert-konsert bertaraf antarabangsa seperti Black Eyed Peas, Yamaguchi sendiri bukanlah satu nama yang cukup asing buat Search yang masih dianggotai oleh Amy selaku vokalis, Kid (pemain gitar utama), Nasir (pemain gitar bass), Nordin (pemain gitar irama) dan Yazid (pemain dram).

Ketika diwawancara murai.com.my, Amy Search atau Suhaimi Abdul Rahman berkata, sejarah Search bersama Yamaguchi sebenarnya bermula sejak 1988.

"Waktu itu kami menyertai Bangkok Rock Roll yang diadakan di sana setiap kali menjelangnya tahun baru. Dari situ, bermulalah kolaborasi di antara Search dengan Yamaguchi.

"Yamaguchi banyak mengubah sound serta kerja-kerja production yang berkaitan dengan muzik dan pembikinan album Search. Antaranya ialah seperti album Karisma.

Jadi mendapatkan semula Yamaguchi di dalam konsert ini adalah satu feeling yang cukup mengujakan. Sebab, dia (Yamaguchi) faham dengan sound dan muzik Search," katanya.

Jelas Amy Search lagi, dia juga berterima kasih kepada pihak Oracle Accord yang sanggup menaja serta menganjurkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini.

"Dulu, kita nak buat Konsert 25 Tahun Search, tapi tak jadi. Tapi, yang jadi kenyataan adalah Konsert Fenomena 30 Tahun Search. Perasaan saya sangat bercampur baur. Rasa gembira ada dan sedih ada. Gembira kerana akhirnya konsert ini dapat direalisasikan dan yang sedihnya, sedar tak sedar, sudah 30 tahun rupa-rupanya, kami berada di sini.

"Alhamdulillah juga kerana Tuhan masih izinkan kami untuk berada di sini dan berkarya. Apa yang penting, konsert ini merupakan satu konsert yang penting. Kami tak mungkin punya 10 tahun lagi atau 20 tahun lagi untuk mengadakan konsert yang sebegini.

"Ini juga satu cara untuk kami menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada peminat serta pengikut yang dari dulu setia dan membesar bersama muzik dan lagu-lagu kami. Begitu juga di kalangan fans yang baru termasuklah pihak media yang dari dulu hingga sekarang banyak memebrikan sokongan terhadap kerjaya seni Search," katanya.

Sementara itu, Nasir atau Nasir Daud pula berkata, penganjuran Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini. Dengan adanya konsert ini, ia secara tidak langsung cuba untuk menyatakan satu kenyataan bahawa kami berjaya kekalkan Search hingga ke hari ini.

"Ia satu journey yang sangat panjang. Kalau nak cerita pasal perjalanan Search dari awal penubuhan hingga ke hari ini, mungkin 1 atau 2 buku pun tak habis. yang penting banyak faktor yang membawa kepada kejayaan Search hingga ke hari ini.

"Selain peminat dan pengikut yang tidak pernah kenal erti jemu dan penat, kami juga banyak mendapat sokongan daripada pihak media cetak, elektronik dan online. Begitu juga dengan individu-individu yang pernah bekerja dengan Search.

"Signifikan kepada kejayaan Search ini adalah apabila kami dapat membawa genre rock ke persanda muzik Malaysia sekaligus memasuki pasaran arus perdana. Sebab pada sekitar 80-an dulu, band rock hanya dikenali sebagai band khemah yang bermain di kenduri kahwin.

"Waktu kita rakam album pertama dulu pun, ada di antara orang di dalam pihak label yang mempersoalkan tentang kemampuan kami sebagai penyanyi dan pemuzik rakaman. Tapi, bila kami setia dengan perjuangan kami, akhirnya muzik rock telah pun diterima.

"Saya harap dengan adanya Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini, ia akan memberikan nafas baru pada rock band baru di negara ini. Malah, saya harap apa yang kami lakukan di dalam konsert ini nanti akan dapat jadi legasi buat mereka," katanya.

Sementara itu, Activation Director Oracle Accord, Jerome Lee pula memberitahu, Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini ini diadakan sebagai satu penghargaan buat peminat Search yang telah pun mengikut kerjaya seni band rock tersebut sepanjang 3 dekad.

"Sebab itulah kita membawa jurutera bunyi, Yamaguchi di dalam konsert ini. Kami sedar Yamaguchi seseorang yang amat mementing kualiti. Dan, untuk menganjurkan konsert yang sebegini, ia haruslah memenuhi piawaiannya sebagai seorang yang cukup mementingkan kualiti sound, muzik dan persembahan secara keseluruhannya.

"Jadi, untuk memastikan wujudnya persefahaman dalam hal ini, kami memastikan kesemua peralatan yang digunakan nanti memenuhi tahap kualiti dan profesionalismenya sebagai seorang jurutera bunyi yang terbaik di rantau ini," katanya.

Menurut Jerome Lee lagi, untuk memastikan peminat akan mendapat kepuasan, pihaknya juga tidak akan sekali-kali membatalkan atau menangguhkan Konsert Fenomena 30 Tahun Search ini.

"Namun, penganjurannya nanti akan mempunyai feel sepertimana sebuah festival di mana penonton akan disajikan dengan kehangatan muzik rock selama 7 jam bermula 5 petang.

"Sebelum Search beraksi selama 2 jam dalam konsert tersebut, mereka akan diiringi oleh persembahan daripada beberapa band rock atau Indie yang sedang meningkat naik di tanah air. Peminat Search juga berpeluang memenangi hadiah menerusi hadiah-hadiah yang disediakan oleh oleh penaja konsert tersebut nanti.

"Untuk mendapatkan maklumat lanjut, peminat Search boleh melayari laman rasmi Konsert Fenomena 30 Tahun Search di http://www.facebook.com/SEARCH30. Jika anda klik butang Like, anda mungkin akan berpeluang untuk memenangi sepasang tiket untuk menyaksikan konsert ini. Tiket-tiket ini, boleh dimenangi pada setiap minggu," katanya.

Bagi anda yang ingin membeli tiket Konsert Fenomena 30 Tahun Search, anda boleh mendapatkannya di semua outlet cawangan Petronas, Rock Corners dan semua wakil jualan sah yang tersenarai dalam www.tickethotline.com.my.

Tiket untuk menyaksikan konsert di Larkin dan Pulau Pinang hanya dijual pada harga RM59, manakala tiket di Kuala Lumpur pula bernilai RM69. Namun, bagi anda yang membeli tiket bermula pada 6 Oktober hingga 13 Oktober 2011 ini, tiket-tiket di kesemua lokasi ini akan dijual dengan diskuan sebanyak 15 peratus.

No comments:

Post a Comment