Pages

Friday, November 11, 2011

KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH BAKAL CATAT SEJARAH INDUSTRI MUZIK NEGARA

KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH BAKAL CATAT SEJARAH INDUSTRI MUZIK NEGARA
- Konsert ulangtahun SEARCH hadiahkan 3 buah kereta Perodua Viva kepada peminat

Kumpulan SEARCH yang bakal menemui peminat-peminatnya dengan siri konsert jelajah KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH di tiga buah negeri iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur bermula bulan ini juga bakal mencatat pelbagai sejarah lain yang tersendiri. Di setiap lokasi konsert di tiga buah negeri, seorang peminat Search akan dipilih untuk memenangi sebuah kereta Perodua Viva 660 BXA bernilai RM25,300.00 (harga atas jalan termasuk aksesori) sumbangan daripada ORACLE ACCORD sebagai penganjur. Setiap seorang daripada peminat-peminat SEARCH yang mengunjungi konsert tersebut juga akan menerima sehelai T-shirt eksklusif sebagai cenderamata. Ini tentunya sesuatu yang tidak pernah dilakukan dalam mana-mana konsert artis tempatan mahupun antarabangsa di negara ini.

Selain daripada kemunculan SEARCH yang sudah tentu akan menggegarkan, impak siri konsert tersebut juga akan akan ditambah lagi dengan persembahan hebat daripada artis undangan seperti Dato’ M. Nasir di Kuala Lumpur, band pembuka Sofea (Pulau Pinang), Koffin Kanser (Johor) dan Projek Pistol (KL). Terdapat juga persembahan dari band-band undangan lain seperti Bittersweet dan Pesawat. Kehadiran Burn, Nana, Jehan Miskin dan alumni Raja Lawak seperti Nabil, Angah, Jep (Pulau Pinang) dan Johan (Johor dan KL) sebagai pengacara sampingan juga dijangka akan menjadikan siri konsert ini yang paling hebat pernah dianjurkan di negara ini. Ini diumumkan sendiri oleh Amy (vokalis) yang mewakili kumpulan SEARCH di sebuah sidang akhbar khas di Hard Rock CafĂ©, Kuala Lumpur semalam.

Selain daripada artis-artis undangan yang dianggap terbaik dan di dalam kelas mereka yang tersendiri, konsert tersebut yang dijamin kualitinya dari segi rekaan pentas dan sistem bunyi juga akan menyediakan pelbagai hadiah-hadiah sampingan lain yang menarik untuk semua yang menghadirinya hasil sumbangan para penaja. Pada sidang akhbar tersebut, senarai para penaja KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH telah diumumkan oleh ORACLE ACCORD selaku pihak penganjur. Penaja-penaja tersebut adalah Lipton, Red Bull, KFC, Pizza Hut, Walls, Garnier, Nut King dan Hard Rock Hotel Penang. Ticket Hotline bertindak sebagai pengedar tiket rasmi manakala Sinar.fm dan Era.fm pula merupakan saluran radio rasmi KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH.

“Sebagaimana yang telah dinyatakan, ini adalah sebuah konsert penghargaan kepada peminat-peminat setia kami. Oleh kerana itulah melalui perbincangan kami dengan pihak penganjur, kami bersetuju agar para peminat kami diberikan pelbagai hadiah sumbangan penaja-penaja. Kami juga menjanjikan satu pengalaman yang hebat kepada semua yang hadir di mana mereka bukan sahaja akan disajikan dengan persembahan-persembahan pembukaan bertenaga dari artis-artis dan band-band undangan, rekaan set pentas dan system bunyi yang hebat, tetapi sudah semestinya persembahan paling gempak daripada SEARCH” kata Nasir Daud (gitar bass) selaku ketua kumpulan. Beliau juga merasa amat bangga kerana Dato’ M. Nasir sendiri sudah bersetuju untuk menjadi artis undangan bagi konsert di Padang Astaka, Kuala Lumpur.

Bercakap di Sidang Akhbar tersebut, En. Jerome Lee, sebagai Pengarah Aktivasi ORACLE ACCORD menyatakan bahawa, “Tiket-tiket KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH adalah ditetapkan pada kadar yang sangat berpatutan bersesuaian dengan konsep penghargaan kepada peminat-peminat SEARCH. Selain daripada persembahan yang berkualiti, kami juga telah menyediakan pelbagai cenderamata menarik dan peluang membawa pulang hadiah-hadiah hebat seperti kereta Perodua Viva”.
Bakal mempersembahkan lebih daripada 20 buah lagu terbaik tanpa sebarang medley, SEARCH menjanjikan persembahan yang berlainan daripada konsertnya yang terdahulu. “Kami telahpun mula membuat latihan sebagai persediaan untuk menemui peminat-peminat yang amat kami rindui. Kami akan mempersembahkan hampir kesemua lagu-lagu hits yang telah melonjakkan nama kami di persada muzik Malaysia dan Asia. Jika anda adalah peminat SEARCH, anda tentu tidak mahu untuk melepaskan peluang keemasan ini untuk berhibur bersama kami” tambah Nasir lagi.

KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH akan bermula di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang (19 November 2011) diikuti dengan Stadium Larkin, Johor Bahru (3 Disember) dan konsert penutup di Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember). Tiket-tiket bagi KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH boleh mula dibeli di cawangan-cawangan Petronas yang mengambil bahagian, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my dan berharga RM59 untuk konsert di Pulau Pinang dan Larkin, manakala harga tiket bagi konsert di Kuala Lumpur adalah RM69. Peminat-peminat SEARCH juga boleh melayari laman rasmi KONSERT FENOMENA 30 TAHUN SEARCH di Facebook di www.facebook.com/SEARCH30


###
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Muhammad Nizam Hj. Khamis
Pengurus Perhubungan Awam, G2PR
Tel : +603 2178 0056
Fax : +603 2163 4001
Email : nizam.khamis@g2.com

FOTO-FOTO SIDANG AKHBAR DI HARD ROCK CAFE

IMG_0033.JPG

IMG_0016.JPG

IMG_9990.JPG

IMG_0061.JPG

IMG_0068.JPG

IMG_0040.JPG

No comments:

Post a Comment