Pages

Tuesday, December 20, 2011

Provokasi Berunsur Kata-Kata Kesat Punca Awie Mengamuk Di Langkawi!

Siapa yang tidak kenal dengan pemilik nama bernama Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azham Othman. Kelibatnya di persada dunia hiburan baik sebagai penyanyi solo mahupun frontman kepada sebuah band Rock gergasi negara, Wings, sememangnya punya impak besar. Namun seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya, Awie juga tidak pernah surut dihempas badai kontroversi apalagi yang membabitkan kehidupan peribadinya.

Konotasi daripada pergaduhan demi pergaduhan melibatkan dirinya sedari kemuncak karier hingga kini membuatkan Awie dilabel sebagai ‘Artis kaki pukul’. Terbaru, sebuah blog hiburan telah melaporkan Awie terlibat dengan sebuah pergaduhan sehingga dipukul dengan teruk oleh 30 orang penduduk tempatan di sebuah kelab di Pulau Langkawi November lalu dan sekali lagi Awie dituduh dalang utama sehingga pergaduhan tercetus.

Susulan daripada dakwaan tersebut, OHBULAN! berjaya menemui Awie bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung insiden ‘dibelasah sampai lunyai’ tersebut.

“Selama ini saya berdiam diri, tapi semakin saya berdiam diri, semakin fitnah dan tuduhan yang bukan-bukan dilemparkan. Segala dakwaan yang tersiar di laman-laman hiburan mengatakan saya adalah punca pergaduhan, saya dibelasah sampai lunyai oleh 30 orang yang ada di antaranya guru silat adalah tidak benar dan fitnah semata,”

“Mereka mengatakan saya sengaja mencari gaduh dengan penduduk tempatan dan tunjuk besar kepala kepada mereka. Saya ada sebidang tanah di Langkawi, boleh jadi tempat untuk saya mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan berunsur perlancongan, mengapa saya perlu berbuat demikian?” ujar Awie di awal perbualan.

Awie mengakui dirinya memang terlibat dalam pergaduhan yang berlaku pada 22 November lalu dan menjelaskan insiden tersebut terjadi bermula dengan ketidakpuasan hati seterusnya mengundang provokasi sehingga mencetus pergaduhan fizikal.

“Pergaduhan tersebut berlaku apabila saya tidak membenarkan beberapa pengunjung merakamkan gambar saya ketika saya berada di dalam kelab tersebut. Sebaik saya habis menyanyi, ada beberapa pengunjung yang meminta untuk merakamkan gambar bersama saya. Saya bersetuju namun meminta biarlah foto tersebut diambil di luar kelab. Dua, tiga orang daripada mereka bersetuju sehinggalah salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dan mulai tunjuk ‘langsi’ dengan menghamburkan kata-kata kesat menghina saya,”

“Dia jerit pada saya, “Apa kau ingat kau besar sangatkah?” diikuti beberapa kata makian. Pada mulanya saya cuba bersabar dan tidak hiraukan perlakuannya. Tapi semakin saya bersabar, provokasi terhadap saya berulang-ulang dan semakin melampau, saya hilang sabar lalu bagi bagi ‘sebiji’ pada orang tersebut. Jadi jelaslah di sini, dakwaan yang mengatakan saya sengaja cari pasal di tempat orang sampai dibalun teruk adalah tidak benar,”

“Cuba tengok sendiri, tidak ada satu kesan lebam ‘singgah’ di badan atau muka saya. Kalau betul saya dibelasah sampai lunyai, saya tidak akan hadir pada majlis hari ini. Jadi dakwaan yang dilaporkan oleh laman hiburan tersebut tidak benar sama sekali,” ujar Awie lagi ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock di Istana Budaya petang semalam.

Tambah Awie lagi,dia berpendapat bahawa penduduk di sana, seakan-akan seperti menunggu kesilapannya waima kesilapan kecil di tempat mereka untuk dijadikan alasan bergaduh memandangkan dia dan tiga lagi rakannya dikepung hampir 30-40 orang kampung sebaik mereka keluar dari kelab tersebut.

“Sebaik saja saya dan tiga orang lagi kawan saya keluar dari kelab tersebut, terdapat lebih kurang 30 atau 40 orang kampung menunggu kami di luar kelab. Apa yang saya hairan,mengapa perlu sampai seramai itu untuk membelasah saya seolah-olah seperti sebuah temasya sedang berlaku? Saya tidak tahu apa motif mereka tetapi saya berpendapat mereka sengaja mencari kesempatan dengan orang luar,”

“Dalam ramai-ramai yang cuba memukul saya termasuklah ada di antaranya yang kononnya guru silat, tiada seorang pun yang berjaya menyentuh saya. Mungkin sebab itulah mereka naik angin sehingga ada salah seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin kereta milik kawan saya menggunakan kayu cangkul,” jelas Awie.

Tambah Awie lagi, kunjungnnya ke kelab tersebut adalah untuk bercuti menikmati muzik di samping memenuhi undangan pihak kelab yang menjemputnya menyanyi di kelab tersebut jauh sekali tunjuk lagak seperti didakwa.

“Saya tidak mengganggu sesiapa atau sengaja cari masalah di tempat orang? Apa yang saya lakukan adalah untuk membela diri saya dari terus dihina. Adakah mereka ingat artis ini binatang atau makhluk yang tidak punya perasaan? Artis juga manusia biasa, punya perasaan marah, bengang. Hanya sebab kerja kami mengiburkan orang ramai, maka orang di luar sana boleh sesuka hati membuli golongan artis,” tegas penyanyi dan pelakon berusia 43 tahun ini lagi.

Meskipun pergaduhan tersebut melibatkan pergaduhan berskala besar, namun kedua-dua pihak tidak membuat sebarang laporan polis. Menurut Awie, dia ada pergi ke balai polis, tetapi bukan untuk membuat laporan mengenai insiden tersebut sebaliknya berbincang menyelesaikan pergaduhan tersebut tanpa perlu diakhiri dengan sebarang laporan polis.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak melaporkan sebarang aduan, pihak polis juga bersetuju untuk tidak memperbesar-besarkan kes tersebut sehingga menjadi kes polis,”

“Sebelum balik, saya dan tiga orang lagi kawan saya tu sempat menghulurkan wang RM300 kepada mereka untuk membeli ubat-ubatan atau mendapatkan rawatan di klinik. Apa yang saya ingin tegaskan di sini adalah, pergaduhan tersebut bukanlah kehendak saya dan apa yang saya katakan ini adalah benar,”

Awie dalam masa yang sama juga memberi amaran kepada pihak-pihak yang menyebarkan fitnah mengenai insiden ini agar berhenti dari terus menyebarkan fitnah malah meminta pihak terbabit bersemuka cara baik sekiranya tidak berpuas hati.

“Kenapa Langkawi dulu disumpah oleh Mahsuri? Sebab Fitnah! Hentikan fitnah. Jangan sampai terkena sumpahan ‘MasAwie’,” seloroh Awie mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment