SELEPAS enam bulan dilancarkan, album Inggeris sulung penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza berjudul All Your Love mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila terjual melebihi 20,000 unit.
Menurut Siti, dia menyifatkan kejayaan yang telah diraih album tersebut merupakan satu petanda bahawa para peminat dapat menerima pembaharuan yang dilakukan dengan menghasilkan album Inggeris.
“Sudah tentu saya sangat bersyukur kerana di sebalik penjualan album kebanyakan penyanyi tempatan yang agak perlahan ketika ini, album saya masih lagi mampu terjual dalam jumlah yang cukup banyak.
“Pada mulanya saya berasa agak gementar untuk menerima respons daripada peminat, tetapi melihat kepada sambutan yang diterima saya yakin peminat menggemari lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini,” ujarnya ketika ditemui di pejabat stesen radio Suria FM di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Siti, dengan kejayaan tersebut syarikat Whats Up Entertainment yang diasaskan oleh anak tirinya, Muhammad Adib Khalid sudah merancang untuk menghasilkan album Inggeris yang kedua.
Jelasnya, ketika ini syarikat berkenaan sudah mula mengorak langkah untuk pembikinan album baharunya itu dan berkemungkinan besar mereka akan mendapatkan khidmat komposer luar negara.
Siti menegaskan pihaknya kini sedang mengintai peluang untuk bekerjasama dengan dua nama besar industri muzik global iaitu Bruno Mars dan David Foster.
“Setakat ini apa yang boleh saya jelaskan pihak syarikat sudah cuba berbincang dengan dua orang artis terkenal antarabangsa iaitu Bruno Mars dan David Foster bagi menghasilkan lagu untuk album baharu saya nanti.
“Semasa berlangsungnya Anugerah Grammy di Amerika Syarikat pada bulan lalu, Adib berkesempatan bertemu dengan kedua-dua artis berkenaan untuk membincangkan perkara tersebut,” ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi berkenaan menjelaskan perbincangan berkenaan masih lagi di peringkat awal. Siti juga memberitahu, album Inggeris keduanya itu dijangka dihasilkan pada tahun hadapan.
“Buat masa ini saya tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut kerana ia masih di peringkat perbincangan sahaja. Sekiranya kerjasama dengan kedua-duanya berjaya saya akan membuat pengumuman mengenainya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai aktiviti terbarunya, Siti menjelaskan dia kini sedang sibuk mempromosikan single kedua berjudul Remember You yang dinyanyikan secara duet dengan Sean Kingston.
Walaupun jadual seninya cukup padat pada ketika ini, penyanyi berkenaan menyatakan dia turut meluangkan masa menjalankan aktiviti promosi lagu tersebut di beberapa buah stesen radio tempatan.
“Saya memilih Remember You sebagai single kedua kerana saya dapati lagu itu antara yang paling digemari ramai dan inilah peluang untuk saya mempromosikannya serta berharap ia akan lebih kerap diputarkan di radio,” ujarnya.
Menurutnya, buat masa ini dia juga sedang mencari masa yang sesuai untuk menghasilkan klip video lagu Remember You, sama ada melibatkan Sean Kingston atau dihasilkan secara berasingan.
Percubaan
Di sebalik kesibukan memberi tumpuan terhadap promosi lagu-lagu Inggeris nyanyiannya, Siti turut ditebak dengan soalan mengenai pembikinan album Melayu baharunya setelah kali terakhir menghasilkannya pada tahun 2009 menerusi album Tahajjud Cinta.
Siti menjelaskan dia lebih berminat untuk menghasilkan single sahaja. Buat masa ini tiada sebarang perancangan untuk menghasilkan album Melayu.
“Bukan tidak yakin atau takut kalau album yang dihasilkan nanti tidak terjual, tetapi sekarang ini saya ingin membuat percubaan dengan menilai sambutan peminat terhadap lagu-lagu baharu.
“Walaupun saya sudah bertapak kukuh dalam tempoh yang cukup lama dalam bidang ini, saya rasa sesebuah lagu itu perlu memiliki kekuatan dan keajaiban supaya dapat diterima oleh para pendengar,” jelasnya.
Menurut Siti, memandangkan kini dia lebih memberi tumpuan kepada album Inggerisnya, mungkin single baharu tersebut hanya dapat direalisasikan pada hujung tahun ini. - Kosmo Online
No comments:
Post a Comment