Pages

Saturday, March 17, 2012

Mat Indera dan Bukit Kepong


Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasong Bukit Kepong. Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera.

Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Sambungan: Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

No comments:

Post a Comment