
 Nama Aqasha dan Ayu Raudhah bukan lagi asing dalam industri seni.  Peluang digandingkan menerusi drama Gemersik Kalbu yang diadaptasi dari  novel bertajuk sama, memberi peluang untuk Aqasha dan Ayu untuk  bekerjasama buat kali kedua.
 Biarpun kedua-duanya sudah mendirikan rumah tangga, namun status  sebagai suami dan isteri orang diletak ke tepi demi memberi komitmen  penuh terhadap drama ini.
 Menurut Aqasha, dia dan Ayu mengekalkan hubungan profesional  sepanjang penggambaran agar babak yang melibatkan mereka berdua dapat  diselesaikan mengikut kehendak pengarah.
“Saya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan Ayu kerana dia  seorang yang berbakat dan komited dengan kerjanya. Alhamdulillah, kami  mudah mendapatkan keserasian dan kami banyak berbincang bagaimana untuk  menjayakan sesuatu babak yang melibatkan kami berdua.
 “Lagipun bila dalam set penggambaran, saya dan Ayu tidak membawakan  karakter kami, tetapi kami membawakan karakter Sufian dan Raihana. Jadi  apabila perlu menjayakan babak romantis, yang romantis itu bukan Ayu dan  Aqasha tetapi Suffian dan Raihana,” katanya selepas pelancaran drama  Gemersik Kalbu di Sri Pentas, baru-baru ini.
 Ayu pula berkata, sebagai seorang isteri, ada juga beberapa babak  romantis yang sukar untuk dilakukan. Namun setelah mendapat bimbingan  dan sokongan dari pengarah, Heykal Hanfiah dan Aqasha sendiri, dia  akhirnya dapat menjayakan watak itu.
 “Memandangkan kami sama-sama dah berkahwin, jadi bila perlu melakukan  babak romantis, saya agak segan juga. Walaupun ini kali kedua kami  bekerjasama, saya tetap rasa kekok kerana ketika kali pertama dulu tidak  banyak babak melibatkan saya dan Aqasha.
 “Tapi mujur Raihana tidak menyukai Sufian, jadi tidak banyak babak romantis sepanjang penggambaran ini,” katanya.
 Ayu akui Zaquan cemburu
 Tatkala ditanya mengenai reaksi suaminya, Zaquan Adha apabila melihat  lakonannya bersama lelaki lain, Ayu mengakui Zaquan kadangkala cemburu,  namun tidak sampai menghalangnya dari terus bergelar pelakon.
 “Apabila ada babak dia kurang suka, dia akan terus tutup televisyen.  Yalah, suami mana tidak cemburu apabila melihat isterinya bersama lelaki  lain padahal ianya sekadar lakonan.
 “Namun dia bukanlah cemburu sehingga tidak membenarkan saya berlakon.  Biasalah dia cuma cemburu manja sahaja. Saya pun tahu tahap atau batas  sebagai seorang isteri bila berlakon bersama lelaki lain,“ katanya.
 Selepas disatukan pada 20 Januari lalu, Ayu Raudah akui hidupnya kini  lebih bermakna dan terlalu bahagia dapat bersama orang paling  dicintainya.
“Sukar untuk saya ungkapkan, begitu nikmat dan bahagianya menjadi  seorang isteri. Lebih-lebih lagi bersama orang yang kita sayangi. Saya  rasa seperti orang yang baru bercinta.
 “Setiap hari saya rasa teruja apabila bangun melihat wajah orang yang  kita sayang bersama. Kami masing-masing kini lebih suka luahkan  perasaan cinta berbanding waktu sebelum kahwin,” luahnya yang akui  bahagia.
 Bulan madu dan cahaya mata
 Walaupun usia perkahwinannya hampir menginjak ke setahun, tetapi Ayu  mengakui dia dan suami, masih belum berkesempatan untuk berbulan madu.
Jelas Ayu, bukan masing-masing tidak cuba mencari masa, tetapi tuntutan tugas perlu diutamakan.
 “Memang sampai sekarang Ayu dan suami tidak sempat berbulan madu.  Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan. Sebaik sahaja majlis  persandingan di kedua-dua belah pihak tempoh hari, Ayu dan Zaquan sudah  terikat dengan komitmen kerja. Jadi, kami terpaksa lupakan tentang bulan  madu buat seketika.
 “Bagaimanapun, Ramadan baru-baru ini Ayu dan suami sempat menunaikan  Umrah bersama. Rasanya kunjungan ke Tanah Suci itu lebih bermakna. Tak  mengapalah tak dapat bulan madu pun, Ayu anggap hari-hari yang kami  lalui bersama ketika ini adalah bulan madu, “ ujar Ayu.
 Menjawab persoalan tentang tahap kesihatannya ketika ini, Ayu  memberitahu selepas keguguran Oktober lalu, dia tidak menghadapi  sebarang masalah kesihatan lain. Namun mengakui dia tidak mendapat rehat  yang cukup kerana jadual penggambaran yang terlalu ketat.
 “Selepas keguguran hari itu, Ayu tidak punya masalah kesihatan lain,  cuma tidak mendapat rehat yang cukup sebab sibuk sangat. Buat masa ini  doktor masih tidak benarkan Ayu hamil lagi.
 “Doktor nasihatkan kena tunggu selepas tiga bulan. Memang Ayu dan  Zaquan tidak merancang untuk dapatkan anak, tapi buat masa ini Ayu perlu  dengar nasihat doktor. Selepas tempoh tiga bulan ini berakhir, tak  kisahlah kalau hamil pun,” katanya.
 Aqasha seronok bergelar bapa
 Biarpun baru lebih 3 bulan bergelar ayah, namun Aqasha, 29, akui  sudah bijak menguruskan puteranya, Alehandra Ahmad Firdee Aqasha tanpa  bantuan sesiapa.
 Malah Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Aqasha Rosli berkata, rutin  hariannya kini juga sudah berubah sejak menerima kelahiran cahaya mata  sulungnya pada 6 September lalu.
 “Walaupun rutin harian saya tidak sama seperti dahulu, saya gembira  dengan kehidupan sekarang. Seronok jadi ayah kerana saya rasa macam  belajar mengenali diri sendiri. Saya sentiasa perhatikan sama ada anak  saya mewarisi perangai saya atau tidak.
 “Saya seronok melakukan kerja-kerja menjaga bayi. Tiada salahnya  bantu isteri kerana ia memberi peluang kepada saya untuk dekat dengan  anak. Sebab itu, saya tidak ambil orang gaji untuk jaga anak. Saya dan  isteri hendak tunggu sehingga dia berumur enam bulan. Kalau dua-dua  sibuk, saya minta tolong keluarga saya untuk jagakan,“ katanya.
 Aqasha telah mendirikan rumah tangga bersama isteri tersayang, Noor Baizura Mohd Sabri, 27, pada 10 Oktober tahun lalu.
 Kerjaya, keluarga seiring
 Menyentuh tentang karier seninya, Aqasha berkata, selain berlakon  dalam drama Gemersik Kalbu, dia juga turut menyumbangkan suara dan  lagunya dalam drama berkenaan.
 “Heykal tanya pada saya, jika saya ada lagu yang boleh saya nyanyikan  untuk drama berkenaan dan saya cadangkan lagu Obsesiku yang diambil  dari album saya, QashaNova,“ katanya.
 Tambahnya, sejak bergelar bapa dan suami, dia cuba memberi masa yang  terbaik buat keluarga dan kerjayanya agar ia bergerak seiring dan  seimbang.
 “Dari segi tawaran, Alhamdulillah. Selepas ini saya ada beberapa  projek lagi bersama Global Station yang juga penerbit drama ini. Saya  memang rasa beruntung kerana Global Station memberi kepercayaan kepada  saya untuk menjayakan drama terbitan mereka,“ ka-tanya.
 Mengulas mengenai drama lakonannya dalam Gemersik Kalbu, Aqasha  berkata, dia sebolehnya tidak mahu membaca novel kerana mahu membawa  watak Sufian mengikut acuannya sendiri.
 “Saya bimbang kalau saya baca novel, saya sudah ada bayangan saya  sendiri, bagaimana watak Sufian ini pada fahaman saya. Nanti jika  pengarah minta lain sikit, saya akan jadi keliru.
 “Jadi saya elakkan diri untuk membaca novel sehingga selesai  penggambaran ini nanti. Namun apa yang boleh saya katakan, jalan cerita  Gemersik Kalbu sangat menarik dan tidak rugi untuk menonton drama ini,“  katanya.
 Drama arahan Heykal Hanafiah ini akan disiarkan di slot Akasia  bermula 2 Januari hadapan dari jam 7 hingga 8 malam, setiap Isnin hingga  Khamis.
 Gemersik Kalbu mengisahkan kisah suka duka Raihana, seorang wanita  yang tabah mengharungi dugaan hidup sejak kecil selepas ditinggalkan  dalam jagaan neneknya. Raihana bagaikan terkontang-kanting mencari kasih  sayang dalam dunianya sendiri apabila neneknya meninggal dunia.
 Pertemuan dengan Wan Ariffin, yang mempunyai kerjaya sama dengannya  membenihkan bibit-bibit percintaan. Namun, setelah ikatan terjalin, Wan  Ariffin pula pergi menyahut panggilan Ilahi. Raihana bagai terpukul,  keliru dan terperangkap dalam kesengsaraan sendiri.
 Kehadiran Sufian tidak memberi makna dalam hidup Raihana kerana  baginya cinta bukan satu paksaan mahupun lahir atas rasa simpati. Sufian  yang begitu bersungguh memenangi hati Raihana telah berjaya menjerat si  gadis itu dalam satu ikatan perkahwinan. Namun, Raihana bersikap dingin  dengan membiarkan perkahwinan itu sepi tanpa cinta kerana Wan Ariffin  masih segar di hatinya.
 Mampukah Raihana menerima keikhlasan dan kasih sayang Sufian, suaminya yang sah dengan sepenuh hati?
 Sinar