Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Showing posts with label WINGS. Show all posts
Showing posts with label WINGS. Show all posts

Thursday, July 19, 2012

Wings kini milik KRU Studios

Kumpulan lagenda rock tanah air Wings kini adalah milik syarikat hiburan tersohor KRU Studios.
Wings Kini Milik KRU Studios
Kumpulan lagenda rock terkenal Malaysia, Wings secara rasminya kini bernaung di bawah label syarikat rakaman tersohor, KRU Studios. Mereka bakal muncul dengan sebuah album baru berjudul ‘Menakluk Kosmos’. KRU Studios meneruskan lagi jajahan penguasaan mereka dalam industri muzik Malaysia selepas berjaya mengikat Biduanita Datuk Sharifah Aini dan Jaclyn Victor.
Sebentar tadi berlangsungnya majlis menandatangani kontrak di antara kumpulan Wings dan Norman Abdul Halim, merangkap Pengarah KRU Studios bertempat di Hard Rock Cafe. KRU Studios menyifatkan peluang bekerjasama dengan kumpulan Wings adalah umpama mimpi indah yang kini menjadi realiti.
“Pihak KRU Studios berbesar hati apabila kumpulan WINGS menerima tawaran dari kami. Kata putus kerjasama ini baru sahaja dicapai 10 hari yang lalu. Kami tidak akan campur tangan dalam urusan pembikinan lagu-lagu dalam album ini kerana kami percaya mereka lebih tahu apa yang mereka mahukan.”
“Namun kami akan bantu dari segi teknikal dan strategi pemasaran. Pihak KRU Studios akan hasilkan dua buah video muzik untuk bantu promosikan album baru mereka nanti. Dari sudut teknikal pula, kami akan hantar album ini untuk mastering di Australia bagi menghasilkan album yang berkualiti,” ujar Norman KRU.
Norman juga menambah, pihak KRU Studios tidak akan mensia-siakan peluang ini. Mengakui impak kumpulan yang dianggotai Awie, Joe, Eddie dan Black ini besar dalam pengaruh muzik tempatan, kerjasama ini diharapkan membawa kejayaan buat kedua-dua pihak khususnya bagi memartabatkan citra muzik tempatan.
‘Menakluk Kosmos’, album studio Wings yang ke-14, bakal dihasilkan mengikut kehendak pasaran semasa tanpa menghilangkan identiti serta konsep Wings sendiri. Dijangka akan siap sepenuhnya pada September ini, album ini bakal menjadi titik tolak sebuah lagi gabungan hebat dua entiti muzik Malaysia.

Buat peminat Wings di luar sana, selain ‘Menakluk Kosmos’ sebuah album kompilasi yang bakal memuatkan 30 lagu terbaik Wings juga bakal menemui penggemar muzik Wings di luar sana.

Sunday, May 27, 2012

Sejarah Kumpulan Rock Wings




Permulaan
1985; Bermula dengan minat yang sama dalam dunia muzik, sebuah band yang dianggotai 4 anak muda ditubuh berteraskan irama rock n roll. Ahmad Azhar Othman@Awie, Rodzane Mohamed@Jojet, Syam dan Zul mula memberikan komitmen untuk haluan kerjaya mereka. Mereka giat mengadakan persembahan kecil di majlis perkahwinan dan di kelab sekitar ibukota. Dengan melantik Bob Lokman sebagai pengurus mereka, anak2 muda ini mula menetapkan hala tuju mereka untuk menjadi sebuah band yang memperjuangkan rock n roll di tanahair yang akan dikenali ramai. WINGS ~ nama yang dipilih mewakili wajah wajah keempat-empat anak muda ini sebagai nama band mereka.
Malangnya Jojet mengundurkan diri dari Wings untuk bersama dengan kumpulan Gersang. Zul juga berundur atas sebab-sebab peribadi. Kedua-dua posisi drum dan bass diganti oleh Azmi Hashim@Black dari kumpulan Babylon sebagai pemain drum dan Shamsaidi Ulong Idris@Eddie dari kumpulan K.B.Blade sebagai pemain bass.
Mula terbang
1987; Wings telah menerima banyak tawaran untuk menjadi artis syarikat rakaman selepas mula memberikan persembahan mantap disetiap show mereka. Namun mereka memilih Atlantic Sound Production (ASP) sebagai syarikat rakaman mereka atas alasan mahu sebuah syarikat rakaman yang tidak mempunyai artis rock ketika itu.
Maka terbitlah album Belenggu Irama dibawah label ASP. Diterbitkan oleh M.Nasir, album ini mendapat sambutan luar jangkaan dengan terjual lebih 120,000 unit sehingga kini. Sesuatu yang amat jarang dilakukan oleh sebuah band yang baru mengeluarkan album pertama ketika itu. Namun album ini telah digam penyiarannya oleh RTM atas sebab-sebab provokasi lagu-lagu dalam album itu sendiri. Ini tidak melemahkan semangat Wings untuk terus memperjuangkan irama rock n roll.
Wings mula mengorak langkah dengan menerima mana-mana jemputan pertunjukan di seluruh pelusuk negara. Syam, pemain gitar utama telah mengundurkan diri untuk mengembangkan kerjaya seninya dan telah diganti dengan seorang pemain gitar berbangsa cina, Tham Wing Kwan@Tham dari kumpulan H20.
Karma mereka berubah
1988; Tak lama bersama Wings, Tham mengundurkan diri dan Wings telah mengambil seorang pemain gitar kidal, Abdul Zamin Abdul Kadir@Joe dari kumpulan Scandals sebagai pemain gitar untuk mereka. Memenuhi syarat perjanjian kontrak dengan ASP dan juga ingin memberi sesuatu yang baru kepada peminat mereka, Wings ke King’s Studio untuk merakam album kedua mereka bersama-sama dengan pemain gitar baru mereka. Maka terbitlah album Hukum Karma yang telah disiapkan hanya dalam masa 2 minggu sahaja.
Dengan jualan yang telah mencecah ke angka 170,000 unit, Hukum Karma dianggap sebagai pemangkin untuk Wings terus melebarkan sayap kerjaya mereka. Undangan pertunjukan di seluruh negara cukup padat. Wings sudah mempunyai nama yang cukup kukuh ketika itu walaupun album Hukum Karma ini juga telah digamkan penyiarannya. Semangat untuk mempromosikan diri secara total melalui pertunjukan terus membakar.
Teori penguasaan yang berjaya
1989; Sekali lagi, Wings telah masuk ke studio untuk mengeluarkan album ketiga mereka yang berjudul Teori Domino. Dibawah label yang baru bersama BMG Pasifik, kreativiti 4 anak muda ini terus diperah dalam menghasilkan yang terbaik untuk album mereka. Jarang berlaku didalam sejarah sesebuah lagu itu dirakam secara live dan bukan secara track by track. Dan pertama kalinya 3 buah lagu dirakam secara live dan terus menerus melalui album ini. Lagu Potret Monalisa, Insaf dan Midnight Blues dirakam secara terus menerus secara live. Sesuatu yang diluar jangkaan apabila album ini telah mendapat sambutan hangat sehingga berjaya terjual sebanyak 220,000 unit sehingga kini. Diterbitkan sekali lagi oleh M.Nasir, Wings benar-benar mencapai satu standard yang jarang dicapai oleh mana-mana band di Malaysia. Walaupun terus menerus digam penyiarannya oleh RTM, Wings tidak pernah putus dari menerima undangan pertunjukan di seluruh pelusuk negara
Memasuki carta Muzik-Muzik 89 di TV3 merupakan suatu kejayaan untuk Wings dikenali melalui media elektronik. Dengan berbekalkan dua lagu Misteri Mimpi Syakila dan Taman Rashidah Utama, Wings berjaya masuk ke final pertandingan Juara Lagu 89. Dengan persembahan yang lain dari yang lain, Wings berjaya membolot tempat kedua dan ketiga untuk kategori Persembahan Terbaik pada malam itu.
Wings diberi penghormatan sebagai opening band untuk sebuah konsert di Singapura yang menampilkan kumpulan Europe yang ketika itu terkenal dengan lagu “Final Countdown”. Sambil memuji persembahan Wings, Europe juga tertarik dengan persembahan band tempatan yang mampu menarik perhatian penonton.
Namun berita pengunduran Black dari Wings sedikit sebanyak mengecewakan peminat Wings yang selama ini sudah sebati dengan pukulan drum yang padu darinya.
Antara gergasi rock
1990; Pengunduran Black telah memberi ruang kepada pemain drum asal Wings, Jojet untuk bersama Wings semula.
Sekali lagi berjaya memasuki Juara Lagu 90 melalui carta Muzik-Muzik, Wings berjaya menggondol kategori Persembahan Terbaik melalui lagu Sejati yang ber”hantu” ketika itu. Satu kejayaan yang amat manis buat Wings dan peminat-peminat mereka.
1991; Mereka terus ke studio rakaman untuk menerbitkan album keempat mereka yang berjudul Jerangkung Dalam Almari. Dengan satu penampilan idea yang segar, album ini lebih menunjukkan keagresifan Wings untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat mereka. Seolah-olah “bringing out the monster inside them”, album ini benar benar menepati citarasa muzik rock ketika itu. Dengan jualan mencecah 150,000 unit, Wings terus menerus mempromosikan diri mereka disetiap peluang yang ada.
1992; Pertama kali Wings membuat satu album kompilasi untuk peminat peminat mereka. Berjudul “Best of Wings”, mereka merakamkan semula lagu lagu dari dua album terawal mereka bersama ASP dan ditambah dengan sebuah lagu baru “Hutan Simpan”, Wings sekali lagi membuktikan yang mereka mempunyai semangat yang kuat didalam setiap penerbitan album mereka. Dengan jualan yang mencecah ke angka 80,000 unit, Best of Wings merupakan album kompilasi yang cukup berjaya ketika itu.
Namun arahan pengharaman artis lelaki berambut panjang untuk mendapat promosi di media elektronik sedikit sebanyak menjejaskan karier Wings untuk terus kukuh sebagai band rock ketika itu. Sehinggalah klimaks arahan pengharaman dimana mereka tidak dibenar mengadakan persembahan terbuka, Wings akhirnya akur dengan peraturan itu. Bersama-sama dengan kumpulan Search, kedua-dua band rock unggul di Malaysia ini akhirnya bersetuju untuk memotong rambut mereka hingga ke paras bahu seperti yang ditetapkan. Upacara memotong rambut ini ditayangkan secara langsung didalam rancangan Selamat Pagi Malaysia dengan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat sendiri telah memotong rambut mereka semua. Secara simboliknya, kedua-dua band ini telah mengumumkan untuk bersama-sama dalam menerbitkan sebuah album yang diberi nama “Double Trouble”.
Setelah hampir 6 bulan berkurung didalam studio akhirnya “Double Trouble” menemui peminat dengan hasil jualan sebanyak 180,000 unit. Siri konsert jelajah Wings dan Search menerusi album ini terus rancak diadakan diseluruh negara.
1993; Wings terus melebarkan sayap mereka dengan penerbitan album studio mereka yang kelima. Terbang ke Australia, Wings memgambil langkah berani untuk menerbitkan album mereka sendiri kali ini. “Bazooka Penaka” menemui peminat dengan sesuatu yang segar dari imej Wings sebelum ini. Kematangan mereka dalam setiap satu lagu terus ditonjolkan. Terjual lebih dari 200,000 unit telah membuktikan yang sokongan peminat mereka tidak pernah luntur.
Masih lagi meneruskan jelajah konsert bersama kumpulan Search untuk siri “Double Trouble”. Kemuncak jelajah mereka di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Dua hari selepas konsert tersebut, sesuatu yang mengejutkan apabila Awie mengundurkan diri sebagai pengarah urusan Fly Wings sekali gus sebagai penyanyi utama kumpulan Wings. Liputan meluas mengenai berita itu terus mengisi ruang media elektronik dan media cetak ketika itu. Dengan wajah-wajah yang muram setiap ahli anggota Wings di press conference itu, jelas menunjukkan kesedihan mereka semua atas apa yang berlaku.
1994; Pencarian penyanyi baru untuk menggantikan Awie bukanlah sesuatu yang mudah. Sebanyak 69 orang penyanyi yang kebanyakannya “Awie wanna-be” telah menghadiri audition, namun pencarian itu menemui jalan buntu. Untuk membuktikan keutuhan Wings tanpa Awie, Joe, Eddie dan Jojet membuat keputusan untuk membuat satu album double dengan menjemput penyanyi-penyanyi yang cukup gah ketika itu dengan menyanyikan semula lagu-lagu Wings yang telah dirakam sebelum ini dan beberapa lagu baru mereka.
Terlahirlah album “wings and Superfriends” dengan menampilkan 2 siri album yang mana penyanyi seperti M.NasirRamli SaripAmy SearchMus MayYantzen, Nike Ardilla, Hattan, Ito, Azul yang dicungkil bakat nyanyiannya dari audition dan sebagainya. Album yang paling rare ketika ini berjaya dipasaran dan membuktikan yang Wings masih berdiri teguh tanpa penyanyi utama
1995; Pengunduran Jojet mengejutkan lagi peminat peminat Wings ketika itu namun satu berita gembira apabila Black bersetuju untuk kembali ke pangkuan Wings yang masih lagi belum mempunyai penyanyi utama. Setelah diperkenalkan oleh A.Romzie, Wings telah menemui seorang penyanyi yang cukup baik untuk diangkat sebagai penyanyi utama Wings ketika itu. Ismail Zainuddin@Mel telah diserap sebagai penyanyi utama Wings.
Mereka kemudian masuk ke studio untuk merakamkan album mereka yang berjudul “Orang Asing”. Jelas sekali formula Wings berhasil apabila jualan album itu mencecah kepada 150,000 unit. Sesuatu yang lain dari yang lain dipersembahkan dalam album ini membuatkan ia begitu berjaya ketika itu. Namun jodoh Mel dengan Wings tidak lama apabila dia mengundurkan diri dari Wings atas sebab-sebab peribadi.
Tempat Mel diganti oleh Mus dari kumpulan May yang ketika itu juga sudah berpecah. Kemantapan vokal Mus memang cukup serasi dengan muzik Wings. Menjadikan Wings bertambah mantap dari setiap sudut.
1996; Allahyarham Andi Rahman telah memberikan sebuah lagu kepada Wings untuk dirakam pada album baru mereka. Tanpa di sangka, lagu tersbut telah menarik perhatian setiap anggota Wings lalu mereka menerbitkan sebuah album baru bersama Mus yang judul “Biru Mata Hitamku” sempena dengan tajuk lagu yang diberikan kepada mereka oleh Andi Rahman. Album tersebut berjaya terjual dengan jumlah 150,000 unit.
Wings juga berjaya memasuki Juara Lagu 97 juga dengan membawa lagu “Biru Mata Hitamku”. Dengan persembahan yang tidak pernah mengecewakan peminat mereka, lagu itu berjaya dibawa dengan cukup menarik sekali walaupun tidak memenangi apa-apa anugerah.
1997; Idea untuk menerbitkan album sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri telah dihasilkan Wings. “Puisi Aidilfitri” menemui peminat Wings dengan menampilkan lagu hari raya yang segar berlandaskan konsep muzik Wings. Tidak cukup dengan itu, Wings sekali lagi menerbitkan album kompilasi sempena mengenang jasa JS Kevin yang banyak menyumbang lagu kepada kumpulan Wings. Album yang bertajuk “Masterpiece” menemui peminat mereka ditambah pula dengan sebuah lagu baru yang bertajuk “Pesona Sanubari”.
Mengukuhkan kedudukan sebagai antara band terbaik di Malaysia
1998; Wing dan Search sekali lagi bersatu dalam sebuah album yang berjudul “Double Trouble 2″ dengan menampilkan lagu lagu lama yang diberi nafas baru sesuai dengan irama muzik mereka. Juga menampilkan beberapa lagu baru untuk peminat peminat kedua2 gergasi rock di Malaysia ini.
Wings juga telah masuk ke studio sekali lagi untuk menerbitkan album studio mereka yang ke sembilan berjudul “Mencari Asal Usul”. Sesuatu yang menarik ditampilkan didalam album ini hingga berjaya mendapat jualan lebih 100,000 unit.
2000; Wing menerbitkan album yang ke-10 berjudul “Mr. Barbarik”. Album terakhir Mus sebagai anggota Wings. Mus telah keluar untuk menyertai semula MAY.
Kembalinya Awie
2001, Album kompilasi ketiga Wings berjudul “Trilogi”
2002, Awie yang baru kembali ke Wings menghasilkan album ke-11 untuk Wings dan yang ke-5 buat Awie bersama Wings berjudul “Naga Keramat”
2003 sehingga sekarang; Wing masih mendapat tempat bukan sahaja pada peminatnya malah pada media massa.
Sumber: sayap2wings

Tuesday, December 20, 2011

Provokasi Berunsur Kata-Kata Kesat Punca Awie Mengamuk Di Langkawi!

Siapa yang tidak kenal dengan pemilik nama bernama Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azham Othman. Kelibatnya di persada dunia hiburan baik sebagai penyanyi solo mahupun frontman kepada sebuah band Rock gergasi negara, Wings, sememangnya punya impak besar. Namun seiring dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakarnya, Awie juga tidak pernah surut dihempas badai kontroversi apalagi yang membabitkan kehidupan peribadinya.

Konotasi daripada pergaduhan demi pergaduhan melibatkan dirinya sedari kemuncak karier hingga kini membuatkan Awie dilabel sebagai ‘Artis kaki pukul’. Terbaru, sebuah blog hiburan telah melaporkan Awie terlibat dengan sebuah pergaduhan sehingga dipukul dengan teruk oleh 30 orang penduduk tempatan di sebuah kelab di Pulau Langkawi November lalu dan sekali lagi Awie dituduh dalang utama sehingga pergaduhan tercetus.

Susulan daripada dakwaan tersebut, OHBULAN! berjaya menemui Awie bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung insiden ‘dibelasah sampai lunyai’ tersebut.

“Selama ini saya berdiam diri, tapi semakin saya berdiam diri, semakin fitnah dan tuduhan yang bukan-bukan dilemparkan. Segala dakwaan yang tersiar di laman-laman hiburan mengatakan saya adalah punca pergaduhan, saya dibelasah sampai lunyai oleh 30 orang yang ada di antaranya guru silat adalah tidak benar dan fitnah semata,”

“Mereka mengatakan saya sengaja mencari gaduh dengan penduduk tempatan dan tunjuk besar kepala kepada mereka. Saya ada sebidang tanah di Langkawi, boleh jadi tempat untuk saya mencari rezeki dengan menjalankan perniagaan berunsur perlancongan, mengapa saya perlu berbuat demikian?” ujar Awie di awal perbualan.

Awie mengakui dirinya memang terlibat dalam pergaduhan yang berlaku pada 22 November lalu dan menjelaskan insiden tersebut terjadi bermula dengan ketidakpuasan hati seterusnya mengundang provokasi sehingga mencetus pergaduhan fizikal.

“Pergaduhan tersebut berlaku apabila saya tidak membenarkan beberapa pengunjung merakamkan gambar saya ketika saya berada di dalam kelab tersebut. Sebaik saya habis menyanyi, ada beberapa pengunjung yang meminta untuk merakamkan gambar bersama saya. Saya bersetuju namun meminta biarlah foto tersebut diambil di luar kelab. Dua, tiga orang daripada mereka bersetuju sehinggalah salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dan mulai tunjuk ‘langsi’ dengan menghamburkan kata-kata kesat menghina saya,”

“Dia jerit pada saya, “Apa kau ingat kau besar sangatkah?” diikuti beberapa kata makian. Pada mulanya saya cuba bersabar dan tidak hiraukan perlakuannya. Tapi semakin saya bersabar, provokasi terhadap saya berulang-ulang dan semakin melampau, saya hilang sabar lalu bagi bagi ‘sebiji’ pada orang tersebut. Jadi jelaslah di sini, dakwaan yang mengatakan saya sengaja cari pasal di tempat orang sampai dibalun teruk adalah tidak benar,”

“Cuba tengok sendiri, tidak ada satu kesan lebam ‘singgah’ di badan atau muka saya. Kalau betul saya dibelasah sampai lunyai, saya tidak akan hadir pada majlis hari ini. Jadi dakwaan yang dilaporkan oleh laman hiburan tersebut tidak benar sama sekali,” ujar Awie lagi ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Awie dan Ella, Raja dan Ratu Rock di Istana Budaya petang semalam.

Tambah Awie lagi,dia berpendapat bahawa penduduk di sana, seakan-akan seperti menunggu kesilapannya waima kesilapan kecil di tempat mereka untuk dijadikan alasan bergaduh memandangkan dia dan tiga lagi rakannya dikepung hampir 30-40 orang kampung sebaik mereka keluar dari kelab tersebut.

“Sebaik saja saya dan tiga orang lagi kawan saya keluar dari kelab tersebut, terdapat lebih kurang 30 atau 40 orang kampung menunggu kami di luar kelab. Apa yang saya hairan,mengapa perlu sampai seramai itu untuk membelasah saya seolah-olah seperti sebuah temasya sedang berlaku? Saya tidak tahu apa motif mereka tetapi saya berpendapat mereka sengaja mencari kesempatan dengan orang luar,”

“Dalam ramai-ramai yang cuba memukul saya termasuklah ada di antaranya yang kononnya guru silat, tiada seorang pun yang berjaya menyentuh saya. Mungkin sebab itulah mereka naik angin sehingga ada salah seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin kereta milik kawan saya menggunakan kayu cangkul,” jelas Awie.

Tambah Awie lagi, kunjungnnya ke kelab tersebut adalah untuk bercuti menikmati muzik di samping memenuhi undangan pihak kelab yang menjemputnya menyanyi di kelab tersebut jauh sekali tunjuk lagak seperti didakwa.

“Saya tidak mengganggu sesiapa atau sengaja cari masalah di tempat orang? Apa yang saya lakukan adalah untuk membela diri saya dari terus dihina. Adakah mereka ingat artis ini binatang atau makhluk yang tidak punya perasaan? Artis juga manusia biasa, punya perasaan marah, bengang. Hanya sebab kerja kami mengiburkan orang ramai, maka orang di luar sana boleh sesuka hati membuli golongan artis,” tegas penyanyi dan pelakon berusia 43 tahun ini lagi.

Meskipun pergaduhan tersebut melibatkan pergaduhan berskala besar, namun kedua-dua pihak tidak membuat sebarang laporan polis. Menurut Awie, dia ada pergi ke balai polis, tetapi bukan untuk membuat laporan mengenai insiden tersebut sebaliknya berbincang menyelesaikan pergaduhan tersebut tanpa perlu diakhiri dengan sebarang laporan polis.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak melaporkan sebarang aduan, pihak polis juga bersetuju untuk tidak memperbesar-besarkan kes tersebut sehingga menjadi kes polis,”

“Sebelum balik, saya dan tiga orang lagi kawan saya tu sempat menghulurkan wang RM300 kepada mereka untuk membeli ubat-ubatan atau mendapatkan rawatan di klinik. Apa yang saya ingin tegaskan di sini adalah, pergaduhan tersebut bukanlah kehendak saya dan apa yang saya katakan ini adalah benar,”

Awie dalam masa yang sama juga memberi amaran kepada pihak-pihak yang menyebarkan fitnah mengenai insiden ini agar berhenti dari terus menyebarkan fitnah malah meminta pihak terbabit bersemuka cara baik sekiranya tidak berpuas hati.

“Kenapa Langkawi dulu disumpah oleh Mahsuri? Sebab Fitnah! Hentikan fitnah. Jangan sampai terkena sumpahan ‘MasAwie’,” seloroh Awie mengakhiri perbualan.