Pages

Saturday, February 11, 2012

ADELE Live At Royal Albert Hall Sebuah DVD Yang Mengasyikkan

adele

Adele Laurie Blue Adkinds atau lebih dikenali dengan nama ADELE adalah penyanyi kelahiran Tottenhem, England. Adele baru-baru ini telah membuat persembahan solonya dilokasi yang cukup eksklusif dan menjadi impian semua artis untuk mengadakan persembahan di Royal Albert Hall London. Persembahan yang cukup berprestij itu kemudiannya diabadikan ke dalam bentuk DVD+CD khas buat tatapan peminat beliau yang berada diseluruh dunia.

adeledvdDVD “Adele – Live At Royal Albert Hall”yang berdurasi selama 1 jam 45 minit ini menghimpunkan memori antara Adele dan peminat yang datang menyaksikan konsert beliau di situ , selain memaparkan kisah dibelakang tabir mengenai konsert tersebut dan memaparkan wajah keriangan beliau disebalik lagu-lagu sedih . Album yang dirakam secara langsung ini tertanya membuka ruang dan minda para peminat setianya, apatah lagi dalam kelantangan vokal yang tidak berketepian, lirik-lirik yang membawa maksud yang sangat terang dan di melodikan dengan penuh berkesan malah kepetahan berinteraksi dengan peminat seolah-olah menceritakan sesuatu mengenai kehidupan sebenar beliau.

"Hometown Glory"telah dipilih sebagai lagu untuk membuka tirai persembahan , membuktikan keupayaan vokal yang cukup menggegar minda kadangkala kedengaran ‘vibrator’ yang memberikan keistimewaan kepada Adele . Diiringi bunyian piano yang memberikan ‘moment’ indah dan menjelaskan bahwa lagu seterusnya cukup memberikan impak atmosphere yang syahdu . "Chasing Pavement" adalah klimaks kepada keseluruhan lagu yang dipersembahkan, dimana melalui lagu ini nama beliau mula meniti dari bibir ke bibir peminat seni suara. Adele juga telah memberi penghormatan buat Amy Winehouse dimana beliau telah mempersembahkan lagu yang berjudul “Make You Feel My Love”, lagu ini telah ditulis oleh Bob Dylan, Adele meminta penonton yang hadir untuk menyalakan telefon bimbit mereka sebagai tanda ingatan kepada mendiang Amy Winehouse. Dimasa yang sama juga kelihatan bola disko berputar malah sinar cahaya yang dipancarkan menggambarkan situasi pilu yang menyelubungi ruang Royal Albert Hall. Adele juga mengakui Amy Winehouse banyak mempengaruhi kerjaya beliau sebagai seorang insan seni.

Adele juga telah membawa sebuah lagu saduran dari Steeldrivers " If It Hadn’t Been For Love” dan juga sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Bonnie Raitt “I Can’t Make You Love Me”. Kedua-dua lagu tersebut mempunyai hubung kait diantara satu sama lain. Sekiranya anda adalah pemerhati setia , pastinya anda tidak akan berganjak dari terus memberi perhatian kepada apa yang dilontarkan oleh Adele. Bukan sekadar bercerita tetapi unsur humor yang diterapkan dalam konsert ini pastinya rasa bosan mungkin tidak akan berlaku.

“Someone Like You”pastinya menyentuh emosi anda selaku penonton atau pendengar. Apa yang menarik ialah Adele sendiri merasa tersentuh dengan lagu yang dipersembahkan malah emosi itu turut dikongsi dengan penonton yang tanpa diminta turut sama melontarkan suara mereka mengikuti bait-bait lagu tersebut. Adele sendiri tidak mampu membendung airmata dan melahirkan rasa terharu dalam melontarkan lirik yang ditulis oleh beliau sendiri mengenai kisah cinta yang lalu walaupun sebelum menyanyikan lagu ini beliau ceria dalam menjelaskan kisah bagaimana lirik ini dibentuk , antara sebuah lagu yang melonjakkan nama beliau di seluruh dunia.

Bagi peminat Adele di Malaysia DVD+CD yang ditampilkan dalam bentuk digipack ini telah mula berada dipasaran mulai 22 Disember 2011 dan pihak Warner Music Malaysia telah diberi hak sebagai pengedar. Harga yang ditawarkan hanya RM65.90 (bagi keluaran import), manakala bagi keluaran tempatan ianya hanya RM45.90. Kepada pencinta Blu ray “Adele Live At Royal Albert Hall” boleh didapati dengan hanya RM79.90.

No comments:

Post a Comment