Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Showing posts with label Hukum hudud. Show all posts
Showing posts with label Hukum hudud. Show all posts

Tuesday, October 11, 2011

Pendirian rasmi PAS mengenai hudud


KUALA LUMPUR, 30 Sept: Selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat yang mengiktiraf Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu, PAS berpendirian kedua-dua negeri itu berhak memperkanunkan undang-undang tersebut.

Dalam satu kenyataan menyatakan pendirian rasmi parti itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, persoalan kini, sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran untuk melaksanakannya.

Menurutnya, perbezaan pandangan dengan DAP khususnya dalam soal penafsiran "bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan" adalah sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya.

"PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan," katanya.

Berikut adalah kenyataan rasmi berhubung pendirian PAS:

1. Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing, maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut. Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah. Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
30 September 2011

Thursday, August 19, 2010

Nik Aziz: Hukum hudud cara selesai isu buang bayi, jenayah

Nik Aziz berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup untuk mengawal manusia. — gambar fail
KOTA BARU, 19 Ogos: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nit Mat berkata kerajaan negeri berusaha melaksanakan Undang-Undang Hudud dan Qisas di Kelantan bagi mendidik umat Islam membendung kejadian buang bayi dan jenayah.

Beliau, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, undang-undang yang sedia di negara ini dilihat gagal menangani sebarang bentuk gejala jenayah dan sosial kerana ia tidak disertakan dengan didikan agama.

Katanya undang-undang bukanlah jawapan sebenar ke arah penyelesaian kepada jenayah dan gejala sosial, seperti kes rasuah, pembuangan bayi yang sedang melanda negara sekarang.

“Polis dan menggari pesalah adalah perkara kedua, yang penting dan utama ialah didikan agama supaya dapat ditanam roh takwa di kalangan umat manusia,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Hududullah dan Seminar Hukuman Sebat Syariah di Kompleks Balai Islam, di sini, hari ini.

Tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu, iaitu “Hukuman Sebat Daripada Perspektif Islam” oleh Felo Kanan Jabatan Undang-Undang Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Mohd Saleh Ahmad; “Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah; Realiti Pelaksanaan” oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohamad dan Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah” oleh Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa.

Kelantan dan Terengganu merupakan dua negeri yang sudah mempunyai Undang-Undang Hudud dan Qisas untuk orang Islam ketika di bawah pentadbiran PAS tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antara percanggahan itu termasuk pelaksanaan terhadap prosedur, kesalahan dan hukuman jenayah termasuk mencuri dan membunuh yang telah mempunyai peruntukan undang-undang Persekutuan di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup mengawal manusia tanpa disertai didikan dan tarbiyah syariat Islam dari peringkat ibu bapa, guru hingga pentadbir kerajaan negeri dan pusat.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri tetap berusaha untuk melaksanakan hukum hudud yang tidak harus dilihat sebagai suatu hukuman potong tangan terhadap pencuri semata-mata.

Hukum itu sendiri bertindak untuk mengajar umat manusia supaya tidak melanggar perkara yang dilarang tuhan kerana kelak ia akan membawa satu penyakit kanser moral kepada manusia, yang akhirnya menjatuhkan ketamadunan manusia sendiri, katanya.

“Hudud adalah garis sempadan yang ditentukan Allah menghadkan sesuatu yang termasuk dalam apa yang dilarang dan diperintah dan bukan semata-mata hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina,” tegas beliau.

-Bernama-