Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Showing posts with label khir toyo. Show all posts
Showing posts with label khir toyo. Show all posts

Friday, December 23, 2011

Mahkamah hukum Khir Toyo dipenjara 12 bulan

SHAH ALAM, 23 Dis: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bersalah atas tuduhan rasuah empat tahun lalu.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Ekoran itu, mahkamah menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara berkuatkuasa hari ini, serta memerintahkan harta terbabit dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Wednesday, December 8, 2010

Senarai Dakwaan Keatas Khir Toyo (bhg 2)

11. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20hb. November, 2000 dan 4hb. Julai, 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan mendapat tanah seluas 100 ekar setiap orang iaitu Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

12. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun iaitu Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah dan Azril Yusri. Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum EXCO meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

13. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu. Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

14. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat 50%.

15. Khir berbohong di DUN Selangor pada 31hb. Oktober, 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

16. Khir memberi sumbangan peribadi berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi dikawasannya di Sungai Panjang pada 25hb. Disember, 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau melalui akhbar Malay Mail pada 15hb. Januari, 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn. Bhd. sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan sahaja ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

17. Pada 17hb.-18hb. April, 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd. seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah seluas 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen Pilihan Raya 1999 dahulu.

18. Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km. yang bernilai RM82,385,182. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal yang tidak boleh melebihi RM40 juta dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

19. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua UMNO Tanjong Karang, JAKS Sdn. Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa keuntungan yang dikaut oleh JAKS?

20. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km) merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.

Senarai Dakwaan Keatas Khir Toyo (bhg 3)

21. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk menyelesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

22. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak) agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

23. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek Kerajaan Negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat aku-janji yang ditandatanganinya dihadapan Sultan Selangor.

24. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn. Bhd. melalui perjanjian konsesi pada 27hb. September, 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

25. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada EXCO Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat EXCO ke 25/2001 pada 26hb. September, 2001 tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya.

26. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Mercedes S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytiharan kepentingannya.

27. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat EXCO dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat EXCO yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh EXCO lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota EXCO sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap EXCO duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, “EXCO Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang.”

28. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn. Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

29. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang Kerajaan Negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1hb. Feb, 16hb. Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak buat kroni dan suku-sakatnya.

30. Mengeksploit Mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran EXCO lain. Mesyuarat EXCO esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas Penasihat Undang-Undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat EXCO.