Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Showing posts with label SEARCH "KONSERT FENOMENA 30 TAHUN". Show all posts
Showing posts with label SEARCH "KONSERT FENOMENA 30 TAHUN". Show all posts

Monday, December 26, 2011

Aktiviti dan Pengisian Fiesta Sebelum berlangsungnya Konsert Fenomena 30 Search di Tawau

Hari begitu cepat berlalu, pejam celik sudah menghampiri minggu terakhir sebelum berlangsungnya konsert fenomena Search 30 yang akan berlangsung pada 24 Disember 2011 yang bertempat di kompleks Sukan Tawau.Dimana-mana sahaja dipelusuk bandar Tawau pasti akan ada kelihatan sepanduk atau bunting berkenaan dengan konsert tersebut.



{gambar diatas} Tiket Rasmi serta Baju T-shirt keluaran terhad sempena Konsert Fenomena Search 30 Di Tawau




{Gambar Diatas}Kelihatan petugas-petugas sedang giat memperomosikan konsert Fenomena Search di Pasar Takada

{Gambar Diatas} Selain daripada bunting dan banner petugas-petugas juga giat mengedarkan flyers untuk memberikan info tentang perjalanan konsert tersebut



Berbalik kepada Aktiviti dan pengisian fiesta sebelum berlangsungnya acara kemuncak konsert tersebut, dibawah ini adalah antara pengisian yang telah dirancang oleh pihak pengajur
Aktiviti sebelah siang.
Fiesta Tawau Gemilang 2011
Lokasi : Perkarangan Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau.
Tarikh : 24 Disember 2011.
Hari : Sabtu.
Masa : 9 Pagi hingga 5 Petang.
Aktiviti : Search Idol, Tiru Gaya Search, Autoshow (Kereta, Motosikal, Lori, Basikal), Sound Blast, Persembahan Kebudayaan dan Tarian Moden, Pameran dan Jualan Produk Tempatan.

Acara kemuncak yang ditunggu-tunggu adalah seperti berikut
Konsert Fenomena 30 Tahun Search
Lokasi : Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau.
Tarikh : 24 Disember 2011.
Hari : Sabtu
Masa : 7 Malam hingga 11 Malam.
Artis : Stacy dan artis penari (artis persembahan pembukaan). Kumpulan Search.

Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri konsert tersebut, kerana antara banyak-banyak tempat di negeri Sabah hanya Tawau yang terpilih untuk menganjurkan konsert tersebut, jadi tunjukkan sokongan anda! dan jangan lupa Sholat sebelum ke konsert tersebut.

ohsensasi.com

Konsert Fenomena Search 30 Tahun di Kompleks Stadium Tawau konsert Terbaik yang pernah diadakan di Tawau

Majoriti penonton yang membanjiri kompleks Stadium Tawau untuk menyaksikan konsert tersebut melahirkan rasa puas hati dan tidak sia-sia membeli tiket semata-mata ingin melihat persembahan secara live artis kegemaran mereka.


Konsert ini juga pasti memberikan memori terindah buat kumpulan search kerana ini merupakan kali pertama konsert yang pernah diadakan di Tawau, penonton begitu ramai yang hadir, selain dari itu konsert ini adalah konsert yang terbaik dari segi pengurusan sistem kawalan keselamatan, promosi dan perjalanan konsert dari mula hingga ke akhir. Dianggarkan penonton yang hadir di konsert ini mencecah sehingga 15 hingga 18 ribu orang, ini merupakan pencapaian terbaik kerana beberapa kali konsert pernah berlangsung ditempat yang sama penonton dicatatkan paling ramai cuma 7 hingga 10 ribu orang sahaja.

Mungkin Anda tidak percaya jika ada konsert yang melarang para penonton merokok, tetapi itulah yang dilakukan di konsert ini, bukan sahaja rokok tidak dibenarkan beberapa alatan lain juga dilarang seperti minuman air mineral dalam botol, minuman dalam tin, kamera dan beberapa alatan lain.

Pintu masuk yang dikawal rapi oleh pihak berkuasa Polis dan Rela untuk memastikan tidak seorangpun penonton yang melanggar peraturan yang telah ditetapkan

Dibawah ini beberapa gambar yang sempat kami rakamkan untuk tatapan pembaca ohsensasi dengan pelbagai telatah ketika konsert fenomena search 30 tahun berlangsung.


Stacy turut membuat persembahan dalam konsert fenomena search 30 tahun dengan 4 buah lagu yang turut menggamatkan suasan kompleks sukan tawau.


Amy Search di hadapan ribuan penonton yang membanjiri tempat berlangsungnya konsert fenomena search 30 tahun





Diakhir persembahan konsert tersebut search telah menghadiahkan beberapa biji bola, poster, pick guitar, drumstick kepada para penonton yang telah ditandatangan oleh mereka.

Kesimpulan yang kami dapat berikan, konsert ini telah memenuhi syarat untuk dikategorikan konsert terbaik yang pernah ada di bumi Tawau dan ucapan Tahniah kepada Universal Credental Sdn. Bhd selaku pengajur konsert tersebut serta Rockstar entertainment selaku kordinator didaerah Tawau.

ohsensasi.com

Tuesday, December 20, 2011

Kuasa Sakti Search Tarik 15,000 Peminat, Terus Cetus Fenomena!

Biar sesesak mana pun kondisi jalan raya, seazab mana sekalipun tatkala berasak-asak dalam LRT hanya semata-mata ke Pusat Konvensyen dan Pameran MINES, malam sabtu lalu, namun ‘keazaban’ itu nyata berbayar ketika menyaksikan band lagenda Rock pujaan semalaya, Search beraksi menerusi konsert jelajah Fenomena 30 Tahun Search.

Apa lagi yang mampu diluah, konsert band ikonik negara ini nyata tidak pernah menghampakan ribuan peminatnya. Buktinya, seramai 15,000 penonton yang tidak henti-henti menyanyi bersama-sama dengan vokalis Search Amy pada setiap himpunan lagu yang dipersembahkan nyata memahat satu lagi nota aura fenomena Seach selama tiga dekad penuh gilang dan gemilang!!

Search memulakan konsert pada malam itu menerusi lagu pembukaan, ‘Panggung Khayalan’ diikuti dengan seleksi lagu seperti ‘Gothik Malam Edan, ‘Fenomena’, ‘Metropolitan’, ‘Melayar Bahtera’, ‘Serigala Segalanya’, Isabella, Melastik Ke Bintang’, ‘Isabella’, ‘Melastik Ke Bintang’, ‘Cakap Memang Meriah’, ‘Rozana’, ‘Pawana’, ‘Mentari Merah Di Ufuk Timur’, ‘Bisa serta beberapa buah lagi lagu’ berhantu’ Search.

Beraksi energetic tanpa henti selama hampir tiga jam, Search yang dianggotai Amy, Din, kid dan Yazid nyata punya injeksi ‘sakti’ yang membuat penonton tidak henti-henti menyanyi bersama-sama sepanjang 25 buah lagu yang dipersembahkan.

Apa yang menariknya, bukan saiz pentas yang mega jadi ukuran namun rekaan pentas yang dibina untuk konsert tersebut disifatkan sebagai pentas mesra penonton kerana membolehkan Amy berkomunikasi dan beraksi lebih dekat dengan penonton.

Selain himpunan lagu-lagu yang berjaya membuat penonton ‘sing along’ bersama Amy, yang pastinya memahat momen manis pada malam itu. Terdapat juga beberapa momen atas pentas yang tidak dapat dilupakan. Kelincahan Amy yang tetap all out beraksi di atas pentas ketika menyanyikan lagu ‘Isi dan Kulit’ membuatkan vokalis berusia 53 tahun itu hampir terjatuh.

Namun yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika Amy hampir menitiskan airmata apabila menyaksikan ribuan penonton menyanyi bersamanya ketika membawakan lagu terakhir, ‘Fantasia bulan Madu’. Gema suara nyanyian penonton yang hadir dari pelbagai ceruk kota dan desa mengiringi suara nyanyian Amy telah membuatkan Amy terduduk dan hampir mengalirkan air mata terharu dengan respon diberi.

Menurut Amy yang ditemui sejurus selepas konsert berakhir, menyifatkan konsert jelajah ini merupakan satu kepuasan buat dirinya terutamanya Search apabila mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Saya berasa bersyukur dan gembira dengan sambutan yang diterima di tiga lokasi iaitu Pulau Pinang yang mencatat jumlah penonton seramai 7,000 orang, di Johor pula seramai 10,000 orang dan Alhamdulillah konsert di Kuala Lumpur cukup sukses dan antara yang terbaik,” ujar Amy.

Sebelum Kuala Lumpur, konsert jelajah Fenomena Search yang berlangsung sempena meraikan 20 tahun penubuhan kumpulan ini di persada seni muzih negara telah pun memulakan siri jelajahnya di Pulau Pinang dan Johor Bharu. Selepas ini, Search bakal meniup aura fenomena penuh sakti mereka ke Tawau, Sabah sebelum menuju ke Kuching, Sarawak.

Tempoh 3o tahun bukanlah satu tempoh yang mudah untuk terus mengukuhkan nama di persada seni apalagi bila pendatang baru silih berganti muncul bersama ‘ideologi’ seni baru. Namun itulah Search! Aura mereka mencetus fenomena, bukti mereka tanpa syak lagi adalah lagenda Rock terhebat, dekat di hati melangkaui tiap garisan generasi.

Foto: Terima kasih Joe Zakaria daripada The Zoe Zakaria Concept, www.thejoezakaria.com

Sunday, December 11, 2011

SEARCH 'Kotakan Janji' Di Pulau Pinang

Ramai dikalangan anak muda masakini mahupun terdahulu bercita-cita untuk menjadi seperti SEARCH, malah ada segelintir remaja sekarang yang mengganggap Search sudah tidak relevan lagi akibat ketaksuban muzik modenisasi masakini. Hakikatnya kumpulan ini adalah antara pelopor kebangkitan muzik rock di Malaysia.

Search yang telah ditubuhkan pada tahun 1981 kini sedang menyambut ulangtahunnya yang ke 30 tahun, istimewanya ialah mereka telah di beri penghormatan oleh Oracle Accord dengan mengadakan siri jelajah Malaysia dibawah lembayung “Konsert Fenomena 30 Tahun Search” yang turut meliputi 3 lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Pulau PinangTanggal 19 November 2011 merupakan tarikh keramat buat fanatika Search di Utara Semenanjung Malaysia umumnya dan Pulau Pinang khasnya. Sesungguhnya Search telah berjaya menghimpunkan lebih 5000 peminat muzik rock ‘kental’ yang telah membanjiri Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sejak dari awal petang lagi. Mereka bukan sahaja dihiburkan oleh Search, malah Bittersweet, Koffin Kanser, Pesawat dan Sofea turut membuat persembahan. Ternyata dengan hanya membayar RM59.00 peminat yang hadir pasti tersenyum puas dengan pengalaman yang mereka perolehi.

Sekitar jam 8.45 malam kumpulan SOFEA yang dibarisi oleh Amir (vokal), Man Rani (bass), Yus (dram) dan Sham (gitar) telah diberi penghormatan sebagai ‘opening band’. Biarpun hujan renyai-renyai sudah mula membasahi bumi namun pengikut tegar muzik rock tidak beralih tempat. Mereka seakan dahagakan sesuatu yang cukup bertenaga. Lantaran itu, “Anak Liar” dilontarkan bagi memanaskan lagi suasana yang dingin pada malam itu. Peminat yang sememangnya ketandusan persembahan dari Sofea turut melagukan mengikut irama yang sudah sebati dengan jiwa.

Amir selaku vokalis yang cukup kaya dengan pengalaman sewaktu bersama-sama dalam “Battle Of The Bands” mula berkongsi pengalaman beliau dan SYJ cuba mengimbas peristiwa di Sungai Nibong yang telah mencetuskan kontroversi. Bagi mengembalikan nostalgia tersebut “Hati Syaitan” yang turut berada dalam kompilasi album BattleOf The Bands” menjadi santapan.

Sofea mula memperlahankan corak permainan mereka dengan mendendangkan lagu “Boneka Pentas” yang juga menjadi judul album ketiga mereka. Rencah ‘rock n roll’ cukup jelas kedengaran dalam lagu ini. Hanya sebilangan kecil peminat yang kelihatan bernyanyi bersama, selebihnya seakan terpaku dek kelincahan band yang mendapat jolokan “Motley Crue”.

Tugas vokalis kini di serahkan kepada Man Rani, “Syurga Di Hujung Jarum” yang sarat dengan mesej dipertanggungjawabkan kepada beliau. Belum pun sempat lagu ini dihabiskan hujan yang sedari tadi renyai mulai lebat. Atas faktor keselamatan samada untuk pengunjung dan pemuzik, pihak penganjur terpaksa memberhentikan persembahan Sofea. Dari kaca mata saya, Sofea telah mempamerkan kehebatan mereka sebagai seorang pemuzik dan penghibur malah ‘rockers’ sejati.

Hujan semakin lebat, Search sepatutnya memulakan persembahan pada jam 9.30 malam terpaksa pasrah dengan hukum alam. Ada dikalangan peminat yang berlari menyelamatkan diri ke khemah-khemah yang telah disediakan oleh DEFINE. Sementara menunggu hujan berhenti, Burn dan Nana telah menjemput Yassin, Angah dan Azlee bagi menghiburkan para penonton. Bagi edisi Pulau Pinang, kereta Perodua Viva telah dimenangi oleh Azura, beliau telah mengalahkan 2 orang peserta lain dalam sebuah peraduan bagi menguji kepantasan minda.

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Pulau PinangSearch akhirnya muncul sekitar jam 10.45 malam,biarpun hujan renyai-renyai masih membasahi bumi ‘show must go on’. Peminat mula memberikan perhatian penuh pada pentas yang mula ditakluki oleh Yazit (dram), Nordin (gitar), Nasir (bass), Kid (gitar) dan Amy (vokal). Kuasa magis Search seakan tidak mampu memberikan tamparan pada suara-suara yang lantang melaungkan nama kumpulan yang menjadi ikon kepada rockers tempatan.

Suasana menjadi bening seketika lantaran cahaya lampu suram kelihatan, “Panggung Khayalan” menjadi pilihan dan ianya bersesuaian sebagai permulaan persembahan. Petikan gitar dan bass, dentuman drum dan vokal yang mantap mula mengasyikkan dan membuat para penonton mula mengikut rentak dan irama. Penat dan tubuh yang kebasahan seakan hilang dan tidak dirasai setelah Search mula beraksi dihadapan mata. Search terus beraksi tanpa memberi peluang kepada peminat untuk berhenti, “Gothic Malam Edan” yang dipetik dari album terbaru mereka di ‘tanam’ dalam minda peminat generasi lama agar dapat menerima evolusi muzik Search.

Tanpa membuang masa lagu “Mentari Merah Diufuk Timur” yang banyak mengumpul peminat Search mula dilagukan. Darah muda mula terasa deras mengalir dalam tubuh ketika lagu ini berkumandang. Suasana mula tidak terkawal apabila ada diantara penonton yang seakan histeria, namun semuanya telah ditenteramkan oleh pihak sekuriti yang bertugas. Antara lagu-lagu yang menjadi ‘set list’ dalam persembahan untuk set yang pertama itu adalah “No Way Jose”, “Habil Qabil”, “Balada Pemuzik Jalanan”, “Andai Ku Miliki Semalam”, “Melayar Bahtera”, “Musnah” dan “Honky Tong Kosong”.

Biarpun sudah 10 buah lagu dipersembahkan anggota kumpulan Search masih lagi bertenaga, mereka telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk memberikan komitmen pada muzik rock. Malah aksi-aksi mereka dilihat semakin ‘liar’, Kid yang tampil dengan imej ‘glam rock’ ala-ala Nikki Six, Amy pula tampil dengan seluar fit dan ber’buckle’ nyata mereka cuba menaikkan semangat rock tahun 80an biarpun sesekali imej punk rock jelas kelihatan pada beliau. Pujian harus diberikan kepada Yazit atau lebih mesra dengan panggilan ‘abang’ dikalangan anggota Search kerana mampu menyembunyikan kesakitan yang dialami, segalanya demi peminat. Nasir masih seperti apa yang kita pernah saksikan. Tampil ‘gerek’ dengan mini skirt Scotlandnya yang ditempah dengan fabrik kulit. Nordin yang semakin berisi seakan sudah lebih bersedia untuk konsert kali ini.

Buat julung kalinya video yang memaparkan ‘salute’ daripada penggemar search memberikan komen ikhlas mereka kepada ikon rock Malaysia dipertontonkan dalam konsert sebegini. Search ternyata mempunyai daya tarikan yang cukup kuat. Setiap lagu yang disampaikan pastinya akan membuat para penonton tidak boleh duduk diam, jika dilihat dari showmanship mereka, jelas sekali membuktikan mereka ini adalah ‘rock star’ yang digilai ramai.

Suasana mula bertukar wajah, jika sebelumnya Search tampil dengan lagu-lagu ‘garang’ tetapi tidak untuk set yang kedua ini. Mereka mula mengajak penonton berkhayal dengan lagu-lagu cinta yang sarat dengan mesej romantik. Seleksi lagu-lagu seperti ‘Bisa”, “Rozana”, “Kau Pergi”, “Gadisku” dan “Fantasia Bulan Madu” mula menerjah minda pasangan yang sedang berkasih ketika itu. Malah mungkin ada yang tersenyum mengenang kembali nostalgia sewaktu mula-mula bertemu dahulu.

Kid dan Nordin mula beradu kekuatan dan kemahiran menguasai gitar yang mereka miliki. Penonton mula kagum dengan kehebatan serta kelincahan mereka dalam menguasi intrumen bertali itu. Pasangan adik beradik yang mempunyai kelebihan serta ‘skill’ tersendiri bisa membuatkan penonton terhibur dengan aksi bersahaja mereka.

Fenomena teruja mula bertukar wajah apabila lagu “Isi atau Kulit’ diikuti ‘Pelesit Kota” kembali mewarnai malam yang semakin gelap namun bagi peminat setia, search adalah segalanya. Tanpa lagu ‘Isabella’ mungkin ada peminat yang sanggup memberontak, lagu ini seolah-olah menjadi lagu ‘kebangsaan’ buat Search dan fanatikanya. Sebaik sahaja lagu ini dimainkan, kesemua penonton bukan sahaja menghayati lagu tersebut malah turut sama menyanyikan setiap rangkap yang terdapat pada lagu tersebut.

Setelah hampir 2 jam Search tampil dengan pelbagai lagu akhirnya “Pawana” ditinggalkan buat peminat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Biarpun ada dikalangan peminat yang masih mahu melihat Search beraksi, namun mereka terpaksa akur dengan terma dan syarat penganjuran sesebuah konsert. Diakhir persembahan semua anggota Search telah memberikan cenderamata khas buat peminat yang hadir pada malam itu. Antara barangan yang diberi termasuklah ‘guitar pick’, bola dan ‘drum stick’.

Search sememangnya berpegang pada janji kerana tidak membawakan lagu-lagu secara ‘medley’ dan memberikan persembahan terbaik biarpun dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Sistem bunyi paling baik yang pernah Search hasilkan, malah lebih bagus daripada apa yang telah mereka lakukan sebelum ini. Peminat Search di Johor Bahru (3 Disember) dan Kuala Lumpur (17 Disember) nantikan kehebatan “Konsert Fenomena 30 Tahun Search”. Tiket-tiket masih lagi boleh didapati, sekiranya anda ingin menyaksikannya di Johor Bahru harga tiket RM59.00 dan di Kuala Lumpur RM69.00. Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan melayari www.tickethotline.com.my atau www.facebook.com/SEARCH30

Kehebatan Search Terus Terserlah Pada "Konsert Search Fenomena 30 Tahun" Di Johor Bahru

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru

“Everyone had a good time out there!”… demikianlah ulasan Jarome Lee, pengarah Oracle Accord yang juga penganjur konsert jelajah Search Fenomena 30 Tahun pada sidang media sejurus berakhirnya siri konsert tersebut di Johor Bahru pada 3 Disember lalu. Kata-kata itu cukup untuk menggambarkan kepuasan semua yang terlibat pada konsert tersebut, dari pihak penganjur sendiri, kru-kru, media-media, kumpulan Search sendiri dan pastinya 10,000 peminat Search yang hadir pada malam itu.

Jika pada siri konsert tersebut di Pulau Pinang pada 19 November lalu hujan lebat menjadi faktor ketidak-puasan pelbagai pihak kerana tertundanya konsert sehingga lewat malam ianya bermula, ditambah pula dengan terpaksanya Search mengurangkan lagu-lagu yang patut dipersembahkan, hujan lebat yang turun seawal 6 petang di Johor Bahru dikhuatiri bakal menjejaskan konsert sekali lagi.

Tinjauan kami di luar pintu masuk ke Stadium Larkin pada ketika itu, begitu ramainya peminat-peminat Search sedang beratur untuk masuk ke stadium. Mereka memberanikan diri meredah hujan yang kian mencurah beserta tiupan angin kencang. Di pentas persembahan, kumpulan Bittersweet pula baru sahaja selesai menjadi pemanas acara. Ini diikuti pula oleh acara-acara lain yang mana dua emcee jemputanpelakon Jehan Miskin dan penyanyi Burn AF telah berinteraksi dengan peminat-peminat Search yang mula mengisi ruang di hadapan pentas. Ruang di atas padang itu sudah pun becak akibat hujan lebat, namun ianya bukan penghalang bagi peminat-peminat Search untuk bersedia menanti kemunculan lagenda Rock mereka. Menjelang jam 9.00 malam, diumumkan pula bahawasanya lain-lain band pemanas acara pada malam tersebut tidak akan beraksi dan Search akan mengambil alih pentas tepat pada waktu mengikut aturcara. Ini disambut dengan sorakkan gemuruh para peminat. Hujan yang tadinya lebat, sudah pun mula reda pada ketika itu.

Tepat jam 9.00 malam, kedengaran intro syahdu dari keyboardistFirdaus, sessionist yang telah lama menabur khidmat bersama Search. Yazid pula menyusul dengan drums solo singkat. Kegarangan gitar-gitar distortion petikkan Din dan Kid serta dengungan bass Nasir pula memulakan “Panggung Khayalan”. 10,000 peminat, antaranya ada yang lecun dek hujan, bersorak kuat, mengiktiraf fenomena yang bakal mereka saksikan buat dua-tiga jam yang berikut. “Gothik Malam Edan” pula menyusul. Dua lagu pembuka konsert yang sesuai, rancak dan efektif dalam membakar semangat penonton. Search memperlahankan pula tempo pada lagu ke-3 dengan “Fenomena”. Amy mengajak peminat-peminat menyanyi bersama setiap kali tiba ke bait lirik “...Fenomena di jiwa, Fenomena kau cipta, Fenomena… indah amat mengasyikkan”. Pada permulaan lagu ke-4 barulah Amy berbicara dengan para peminat beliau dan Search. Menceritakan sedikit mengenai 30 tahun penglibatan Search dalam industri muzik dan begitu sinonimnya Johor Bahru dengan nama mereka. Betapa Johor Bahru itu adalah kampung mereka yang kuatnya nilai-nilai nostalgia dan sentimental buat mereka. Sebagai anak-anak jati Johor Bahru, di situlah penglibatan muzik Search bermula. Persembahan diteruskan dengan “Musnah” dan “Metropolitan”.

Amy Search tetap dengan trademark ungkapan “Peeweeet” beliau. Sebelum memulakan lagu “Melayar Bahtera”, beliau sempat menceritakan secara ringkas bagaimana ungkapan tersebut tercipta berzaman sudah di kampung beliau sendiri, iaitu di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru. Firdaus kemudiannya memulakan intro keyboard berserta sampling salakkan serigala. Peminat-peminat di bawah pentas sudah pun dapat mengagak lagu seterusnya, iaitu “Serigala Segalanya” – agak jarang Search memainkan lagu ini secara live. “Balada Pemuzik Jalanan” lagu yang Amy sifatkan sebagai ‘Negaraku versi Rock’ mengembalikan nostalgia album pertama mereka pada 1985. Kemudiannya, lagu yang amat ditunggu-tunggu majoriti mereka yang hadir, lagu yang pada ucapan Amy sendiri beliau sedari, pernah popular serantauan dan mempunyai pelbagai versi dari segi bahasa – “Isabella”. Sing-a-long peminat-peminat pada baris-baris awal lagu tersebut membuatkan Amy hanya mengacukan mikrofon beliau ke arah mereka. Sememangnya lirik “Isabella” bagaikan sudah tersedia melekat di bibir para peminat.

“Melastik Ke Bintang” dan “Cakap Memang Murah” menamatkan set pertama konsert tersebut. Ketika Search masuk berehat sementara, untuk 10 minit berikutnya peminat-peminat Search di Stadium Larkin disajikan dengan tayangan video mengenai pujian-pujian peminat dan rakan-rakan artis mengenai Search sepanjang 30 tahun penglibatan mereka di arena Rock tempatan. Pancaran video tersebut dilakukan melalui backdrop-projector – antara perkara menarik pada konsert malam itu. Backdrop projector tersebut turut memainkan peranan penting menghiasi pentas dengan tayangan-tayangan menarik sepanjang konsert, footage gambar-gambar yang selari dengan konsep setiap lagu dan lirikal yang dipersembahkan.

Set kedua dimulakan dengan 5 lagu balada hit sepanjang 30 tahun Search. Siapa yang tidak menghafal lirik-lirik “Rozana”, “Bisa”, Meniti Titian Usang”, “Kejora” dan “Gadisku”? Kesemua lagu dinyanyikan bersama oleh para peminat. Diantara lagu-lagu tersebut, sempat juga Amy menyanyikan “Setelah Hujan” tanpa bantuan muzik, menghargai mereka yang sanggup datang ke konsert dan membuktikan bahawa hujan yang turun pada petang tadi bukannya halangan bagi mereka sama-sama memeriahkan sambutan 30 tahun Search itu. 3 lagu keras pula menyusul selepas itu – “Isi Atau Kulit”, “Langit dan Bumi” dan “Menara Kesesatan” sebelum gandingan gitaris adik-beradik termashyur di Malaysia, Kid dan Din mempamerkan kehebatan masing-masing melalui solo-solo gitar berduet selama hampir 20 minit.

“Mentari Merah Di Ufuk Timur” memulakan set ketiga konsert sebelum “Pelesit Kota” dan “Pawana” kembali merancakkan acara. Dua lagu yang begitu berkesan bagi persembahan live yang menjadi kemestian bagi setiap konsert Search. Setelah hampir 3 jam dan 22 buah lagu yang disampaikan, Amy yang pada usia melebihi 50 tahun tetapi masih kelihatan ligat dan masih mengekalkan mutu suara beliau, memberikan penghargaan tidak ternilai buat semua yang hadir pada malam tersebut dan mengumumkan lagu penutup pada malam itu. “Fantasia Bulan Madu”, lagu balada yang telah menaikkan nama Search sekitar 1986 dahulu sememangnya satu finale yang sesuai. Berakhir sudah apa yang kita lihat bukan sahaja kehebatan band yang bertaraf lagenda, malah pengalaman 30 tahun itu sendiri. Sesuai dengan nama konsert tersebut, ianya sememangnya satu Fenomena!

Pada sidang media selepas konsert, Amy mewakili kumpulannya memberitahu bahawa beliau amat mengagumi sistem bunyi yang diberikan... “perfect!” kata beliau. Beliau turut membandingkan konsert di Pulau Pinang pada dua minggu sebelumnya. Jelas Amy, konsert pada malam itu di Johor Bahru tidak terganggu dengan ribut angin kencang, masalah teknikal dan setlist yang terpaksa disingkatkan. Beliau turut kagum dengan jumlah peminat-peminat yang hadir yang melebihi mereka yang hadir di Pulau Pinang sambil menceritakan mengenai zaman lampau di mana hujan menjadi antara faktor utama yang merunsingkan Search untuk membuat persembahan. Kerunsingan sedemikian tidak lagi wujud selepas ‘zaman Isabella’ kerana beliau tahu crowd Search itu sudah sedia ada walau dalam apa jua kondisi cuaca. Ketika diajukan pula soalan mengenai pemilihan lagu-lagu bagi siri konsert di Johor Bahru yang baru berakhir itu, Nasir yang menjawabnya memberitahu ianya adalah diatas permintaan peminat-peminat di Johor Bahru sendiri dan ianya adalah hasil homework mereka membaca permintaan peminat melalui facebook.

17 Disember nanti, siri konsert Search Fenomena 30 Tahun beralih ke Kuala Lumpur pula. Apakah ada keistimewaan lain yang bakal kita saksikan? Yang pasti, sifu mereka M.Nasir bakal tampil pada konsert itu nanti. Ini dinyatakan sendiri oleh Search pada sidang media tersebut. Buat masa ini, konsert Search Fenomena 30 Tahun di Johor Bahru masih segar pada ingatan semua yang hadir, memori indah sebuah konsert Rock yang unggul yang tidak akan mudah luput di ingatan. Search tetap berada di mercu arena Rock tempatan! Search adalah satu fenomena!

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru

Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru
Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru Konsert Fenomena 30 Tahun Search Di Johor Bahru