NANI, AYIM, ILA, SHAQ, ADI, THALIA:
6 Protégé Terpilih Semarakkan Mentor Musim Baru
Baru-baru ini, bertempat di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, 6 orang protege untuk Mentor musim baru telah diperkenalkan kepada media dan peminat. Budiey nak ucap tahniah kepada semua protege yang terpilih.
Biarpun telah melalui pebagai cabaran dan kesukaran, namun misi pencarian protégé yang bermula dari Sabah dan Sarawak dan berakhir di Kuala Lumpur pada bulan lalu nampaknya telahpun membuahkan hasil. Kini, tibalah masa kesemua Mentor musim ke-4, Azmeer, Mus (May), Joe Flizzow, Mas Idayu, Dayang Nurfaizah dan Ziana Zain untuk memperkenalkan protégé masing-masing iaitu Nani, Ayim, Ila, Shaq, Adi dan Thalia!
Serentak dengan majlis memperkenalkan protégé untuk musim ke-4 yang berlangsung di Berjaya Times Square pada hari ini, bermulalah peranan kesemua Mentor untuk memberikan tunjuk ajar kepada protégé masing-masing segala ilmu berkaitan dengan bidang nyanyian dan seni persembahan bagi memperlengkapkan diri sebagai penghibur.
Selain itu, Mentor juga bertindak sebagai idola yang memberi inspirasi kepada anak didik mereka. Mentor dan protege manakah yang bakal membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 kali ini?
Mengulas mengenai sesi ujibakat yang telah diadakan baru-baru ini, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Mentor musim ke-4, Mohamad Sufian Isa berkata, “Sejak diperkenalkan pada musim ke-3, pihak kami berpendapat pemilihan peserta Mentor kali ini lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani uji bakat berdasarkan penyanyi kegemaran pilihan masing-masing dan Mentor dapat melihat sejauh mana kebolehan dan kualiti yang dimiliki seseorang itu memandangkan mereka yang akan bertanggungjawab mengasah bakat protégé yang menjadi pilihan mereka. Jadi dengan pemilihan bakat-bakat baru seperti Nani, Ayim, Ila, Shaq, Adi dan Thalia, kami berharap agar hubungan antara mentor dan protégé akan lebih serasi setelah mengadili sesi saringan penilaian dan uji bakat yang dilakukan dari kacamata mereka sendiri.”
“Sudah pasti musim ke-4 bukan sahaja bakal menyerlahkan lagi daya kreativiti di antara Azmeer, Ziana, Joe Flizzow, Mas Idayu, Dayang dan Mus di samping memupuk persaingan sihat di antara mereka, malah, pihak kami juga teruja untuk menyaksikan pencapaian dan potensi ke enam-enam protege yang terpilih ini sama ada mampukah di antara mereka untuk mengikuti jejak langkah seperti juara-juara sebelum ini terutamanya Black.”
“Selain dari itu, musim ini turut mengekalkan format pemarkahan di mana markah akan diberikan kepada 3 bahagian iaitu 50% dari juri profesional, 30% melalui undian SMS dan 20% lagi melalui juri awam yang terdiri daripada pelajar-pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam bidang industri muzik. Mengikut format Mentor keenam-enam protege ini akan dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Ziana Zain bersama protegenya, Thalia
Mus May bersama protegenya, Ayim
Joe Flizzow bersama protegenya, Ila
Dayang Nurfaizah bersama anak didiknya.
Ehem ehem… Mas Idayu bersama anak didiknya…
Setiap protege akan diberi peluang membuat persembahan sebanyak 3 kali mengikut kumpulan masing-masing melalui konsert yang diadakan secara berselang-seli antara kumpulan A dan B. Markah dari ketiga-tiga persembahan ini akan digabungkan bagi menentukan 2 peserta yang mendapat markah tertinggi dari setiap kumpulan untuk ke semi-final. Protege yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkirkan. Kedudukan kumpulan akan diumumkan pada konsert pengenalan yang akan diadakan pada 2 Mei 2010. Pada peringkat separuh akhir, 2 protege dari kumpulan A dan B ini akan digabungkan semula untuk berentap selama 2 minggu dan selepas itu kita akan tentukan samada 2 atau 3 protege akan ke peringkat akhir,“ tambah Sufian lagi.
Untuk makluman, seramai 400 peserta telah datang untuk menjalani uji bakat pada 21 Feb 2010 di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah manakala lebih kurang 300 peserta hadir ke lokasi ujibakat Sarawak, Merdeka Palace, Kuching pada 28 Feb. Sesi uji bakat tersebut telah dirakam dan dibawa pulang ke Kuala Lumpur untuk penilaian kesemua Mentor. Antara hampir 700 peserta di Malaysia Timur, hanya 2 calon yang dipilih untuk hadir ke sesi uji bakat di Kuala Lumpur yang masing-masing dikendalikan oleh Mus May, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan Azmeer.
Manakala, lokasi terakhir yang bertempat di Sri Pentas, Kuala Lumpur pula telah menerima sebanyak lebih 1,500 penyertaan dari peminat yang datang dari seluruh Semenanjung di sepanjang 3 minggu (6 – 21 Mac) berlangsungnya sesi ujibakat untuk kesemua Mentor yang terlibat.
Mentor 4 ini juga turut menampilkan pengacara terkenal, Ally Iskandar Mohd Mardzi sebagai pengacara program dan juga Jurnal Mentor. Selain dari itu, wartawan sensasi Nas Ahmad juga kembali dalam program sewaktu konsert mingguan bagi mencungkil kisah-kisah yang berlaku di sebalik tabir dan di belakang pentas.
Turut sama-sama memeriahkan Mentor 4 ialah penglibatan komposer terkenal Malaysia yang juga bekas Mentor musim ke-3, Faizal Maas atau Ajai yang bertindak sebagai Penasihat Vokal, Sazlan Mat Adnan sebagai Penasihat Persembahan dan Faizal Uzir (Loq-U) sebagai Pengarah Muzik. Mentor kali ini juga turut menjemput peserta-peserta yang pernah datang ke ujibakat dan dirasakan ‘unik’ untuk membuat persembahan pada setiap minggu.
Program realiti musim ke-4 ini turut mendapat sokongan dari Ribena dan Dequadin selaku penaja utama. “Mentor adalah gabungan yang paling sesuai dengan personaliti jenama Ribena iaitu keceriaan, kebaikan semula jadi, keriangan dinamik. Kombinasi blackcurrant dan lemon di dalam Ribena yang lazat ini boleh didapati dalam format sedia untuk diminum, membolehkan muda-mudi bandar dengan gaya hidup yang aktif seperti penyanyi terkemuka dan yang baru hendak bertapak, berasa segar ketika menjalani kehidupan seharian mereka yang sangat sibuk ke sana ke sini,” kata En. Raymond Khor, selaku Pengurus Kategori Ribena. Beliau juga menyatakan bahawa Ribena Lemon adalah kaya dengan Vitamin C dan mengandungi kurang daripada 25% gula, yang turut memenuhi keperluan mereka yang menjaga kesihatan.
Manakala Cik Junie H’ng, Pengurus Jenama untuk Dequadin pula berkata, “Selaras dengan fokus dan visi program Mentor yang mementingkan bakat dan suara, produk Dequadin pula sememangnya dapat membantu para peserta dalam mengekalkan kesegaran dan keselesaan tekak untuk melancarkan lagi lontaran vokal. Dengan Dequadin, pastinya masalah seperti kehilangan suara, tekak perit atau gatal-gatal dapat dikurangkan dengan kandungan mantap bahan-bahan seperti menthol, eucalyptol dan thymol yang akan bertindak mujarab terutama sekali kepada protege kita yang baru meningkat naik.”
Program Mentor ini telah menemui penonton TV3 mulai 11 April 2010 yang lalu dengan rangkuman sesi ujibakat, manakala, konsert Mentor akan bermula pada 2 Mei 2010 dengan konsert pengenalan bagi memperkenalkan protégé sebelum berentap pada minggu seterusnya (9 Mei 2010) dalam konsert mingguan. Program ini akan bersiaran setiap Ahad jam 9.00 hingga 10.30 malam siaran langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam.
Selain dari itu, penonton juga boleh menyaksikan sorotan persedian serta aktiviti-aktiviti protégé bersama mentor mereka melalui Jurnal Mentor, setiap Ahad bermula 25 April, jam 7.00 hingga 7.30 malam manakala, Jurnal protégé yang memaparkan diari harian protégé akan ditayangkan setiap hari Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam. Stesen radio popular HOT FM adalah stesen radio rasmi untuk Mentor 4. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Mentor 4, boleh melayari laman web di www.tv3.com.my/mentor4.
No comments:
Post a Comment