Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Tindakan memfailkan saman terhadap Petronas adalah atas dasar menjaga kehormatan harta rakyat negeri Kelantan yang telah dirampas oleh Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Menurutnya, sebagai ketua kerajaan bertanggungjawab, beliau perlu memastikan hak rakyat Kelantan dikembalikan walau terpaksa ke mahkamah.
"Wajib atas saya sebagai ketua kerajaan dan penolong-penolong saya menjaga harta Kelantan dengan apa cara sekalipun samaada dengan rundingan, termasuk juga melalui mahkamah.
"Kami hari ini datang kerana menunuaikan tugas agama menjaga harta rakyat Kelantan iaitu petroleum, gas dan sebagainya," kata Nik Aziz pada sidang media selepas selesai memfailkan saman berkenaan dan menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pagi tadi.
Mursyidul Am PAS itu turut berkata, dalam al-Quran ada dinyatakan mengenai lima perkara yang mesti dijaga iaitu akidah, nyawa, harta, nasab dan maruah.
Justeru, beliau dan exco kerajaan negeri memilih untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah sebagai jalan penyelesaian memandangkan tuntutan secara rundingan agar royalti petroleum dikembalikan kepada negeri tidak diendahkan Kerajaan Persekutuan.
"Kami datang ke mahkamah ini kerana saya sebagai ketua negeri dan rakan-rakan daripada exco mahu mempertahankan harta kami," katanya lagi.
Tambahnya, beliau bagi pihak kerajaan negeri yang mewakili rakyat Kelantan amat berharap agar mahkamah dapat mengadili kes itu seadil-adilnya kerana soal keadilan terkandung dalam al-Quran yang wajib diikuti oleh orang Islam.
"Kami berdoa kepada Allah S.W.T minta semua yang mengendalikan urusan harta kami ini iaitu peguam, hakim dan sebagainya supaya terbuka pintu hati mereka, ingat kepada keadilan. Keadilan ini wajib ditunai dan diseru dalam al-Quran sebelum ada PBB di muka bumi ini, sebelum ada apa-apa akta di dunia ini," katanya lagi.
Kira-kira jam 9.30 pagi tadi kerajaan Kelantan memfailkan saman di pejabat Pendaftaran Dagang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini.
Selepas itu, Tuan Guru Nik Aziz yang diiringi kepimpinan kerajaan negeri, ahli-ahli parlimen PAS, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 200 orang menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah.
Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, mereka yakin berada di pihak yang benar kerana segala fakta mengenai royalti petroleum termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974 jelas membuktikan Kelantan berhak mendapat royalti tersebut.
"Kita sebelum ini teleh menghubungi Petronas, Perdana Menteri dan membuat kenyataan yang menjelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana perjanjian petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974," katanya.
Menurutnya juga, tiada sebarang kekeliruan dalam perjanjian itu dan mendapat sokongan bekas pengerusi petronas pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani perjanjian tersbut bagi pihak Petronas dengan negeri-negeri termasuk Kelantan.
Dalam perjanjian tersebut dinyatakan bahawa jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ada di daratan atau di lautan sesuatu negeri, maka negeri tersebut berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus setahun.
Namun, royalti berkenaan tidak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kelantan sejak tahun 2004.
Manakala peguam kanan Tommy Thomas yang mewakili kerajaan Kelantan optimis untuk memnenagi kes tersebut berdasarkan pengalaman beliau berhadapan dengan Kerajaan Terengganu dalam kes yang sama.
"Kita yakin boleh menang kes ini dan kita sangat berharap dapat menang untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan," katanya.
No comments:
Post a Comment