KUALA LUMPUR, 22 Mac: Pakatan Rakyat tidak menolak pendedahan video seks yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang semalam merupakan konspirasi jahat pihak tertentu untuk kepentingan politik.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ianya memandangkan video itu ditimbulkan pada hari yang sama dengan pembubaran Dun Sarawak.
"Rakaman (video seks) timbul pada hari yang sama dengan Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan menunjukkan ada kepentingan politik tertentu.
"Pakatan Rakyat menggesa rakyat bersatu untuk menolak taktik kotor ini dan menentang usaha pihak tertentu yang menggunakan video lucah untuk menjatuhkan lawan," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang, bangunan Parlimen hari ini.
Beliau juga berharap rakyat khususnya umat Islam tidak cepat percaya dengan fitnah sedemikian.
Menganggap rakaman video itu sebagai drama, bahan rakaman seperti yang ditunjukkan kepada media tertentu itu tidak boleh dijadikan bukti untuk mendakwa seseorang.
"Dalam Islam ditekan jika menerima sebarang berita, hendaklah diselidiki dahulu berita itu.
"Sekadar rakaman video tidak boleh dijadikan bahan bukti. Kena hadirkan empat orang saksi, siapa jurukameranya.
"Di mana video itu ditayangkan? Di hotel. Jadi itu hanya drama," katanya.
Sementara itu, Anwar ketika menjawab pertanyaan wartawan samaada beliau akan bersumpah bahawa beliau bukan individu dalam video itu atau tidak,beliau berkata hanya mahkamah yang berhak menentukannya.
"Soal sumpah itu,mahkamah yang tentukan," jawabnya.
Turut bersama pada sidang media itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, Ketua AMK dan beberapa pimpinan lain.
No comments:
Post a Comment