Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Tuesday, July 26, 2011

Ribuan penyokong Harimau Malaya serbu kaunter tiket


Ribuan penyokong tegar pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, menyerbu kaunter tiket untuk mendapatkan tiket masing-masing bagi menyaksikan perlawanan timbal balik pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 antara Malaysia dan Singapura, Khamis ini. Seawal pukul 8 pagi peminat-peminat bola sepak tempatan mula berbaris di kaunter tiket Pintu Kuning Stadium Nasional di Bukit Jalil. Selain Stadium Nasional, Bukit Jalil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut membuka kaunter tiket di Pintu Utama, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pintu A, Stadium Shah Alam. Tiket-tiket dijual pada harga RM50 untuk tempat duduk utama, RM30 (terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Selain itu, peminat-peminat boleh membeli tiket secara dalam talian melalui laman web www.tickethotline.com.my. Bernama juga melaporkan sehingga berita ini ditulis, sejumlah 60,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan kedua pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 itu telah dijual. Semua 60,000 tiket telah dibeli pada hari pertama tiket perlawanan itu mula dijual di tiga stadium yang dipilih. "Kita (FAM) memang menjangkakan sambutan begitu menggalakkan khususnya di kalangan peminat tempatan," kata pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk S Sivasundaram kepada Bernama. Menurut beliau sebanyak 25,000 tiket telah diagih-agihkan untuk jualan di Stadium Nasional Bukit Jalil dan masing-masing 12,500 tiket lagi untuk dijual di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Shah Alam. Katanya, semua tiket yang diperuntukkan untuk jualan di Stadium Nasional habis dijual setakat pukul 3.30 petang manakala di dua lagi stadium pada pukul 5 petang. Mengikut jadual asal, kaunter-kaunter tiket di ketiga-tiga stadium beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 7 malam dan akibat sambutan yang di luar jangkaan, kaunter ditutup lebih awal. Selain jualan terus tiket di kaunter-kaunter tiket, Sivasundaram berkata sebanyak 10,000 tiket telah ditempah dan dibeli melalui dalam talian iaitu di laman web www.tickethotline.com.my. Daripada jumlah 60,000 tiket itu, 2,000 adalah daripada penyokong Singapura. "Baki 25,000 tiket yang ada akan dijual esok di ketiga-tiga stadium bermula pukul 9 pagi," katanya. Mengenai rungutan sesetengah penyokong yang tidak dapat membeli tiket hari ini, Sivasundaram berkata: "Terdahulu sebelum ini kita telah umumkan yang kita akan menjual tiket-tiket berkenaan selama tiga hari bermula hari ini. "Kalau kita jual habis semua tiket hari ini, macam mana pula bagi pembeli yang merancang untuk membelinya esok atau lusa. Kita tidak boleh puaskan hati semua pihak," tambah beliau. Pada pusingan pertama minggu lalu, skuad Hariamau Malaya tunduk 3-5 kepada Singapura digelanggang lawan.

No comments:

Post a Comment