Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Tuesday, August 30, 2011

Ulasan THE AMERICAN


Oleh: Ajami Hashim

BINTANG
Keseluruhan: 3.5
Plot: 3.5
Lakonan: 3.5
Efek Khas: 2.5
Sinematografi: 3.5

Tonton filem ini jika anda suka: "The Hitman", "The Day of the Jackal", "Assassins"

Filem ini seakan api dalam sekam yang perlahan-lahan membakar perasaan dari dalaman. Sebahagian besar latarnya sangat cantik tetapi kasar di perkampungan klasik pergunungan Castel del Monte, Abruzzo, Itali. Maka sudah tentulah perjalanan ceritanya juga begitu terasa ke-Eropah-an di tangan pengarah Anton Corbijn. Filem ini terasa seperti perlahan, kurang dialog dan begitu kerap memaparkan momen-momen yang sunyi tetapi penuh makna serta begitu mendebarkan.

Perwatakan Jack/Edward lakonan George Clooney sememangnya penggerak utama atau character driven untuk penceritaan filem ini. Dia ialah seorang pembunuh upahan yang kini hendak bersara dari karier berbahaya dan kejam itu untuk selama-lamanya. Sudah tentu cadangan tersebut bukan semudah yang disangka kerana kerja lampaunya telah mengundang musuh-musuh yang dia sendiri tidak pasti siapakah yang mengupah mereka?

Kegemaran Jack kepada rama-rama memberikan sedikit gambaran perwatakannya sebagai seorang yang inginkan kebebasan dari belenggu kepompong kerja kotornya. Dia juga mungkin seperti corak menarik pada sayap rama-rama yang kelihatan gentleman dari luaran tetapi penuh dengan tipu muslihat dan ganas dalamannya. Jack sangat berhati-hati, berpandangan tajam, perfectionist serta berfikiran jauh untuk setiap tindakan dan keputusannya seperti pemain catur. Dan yang paling penting Jack ialah seorang oportunis kerana latarnya sebagai seorang pembunuh upahan yang profesional.

Jack juga dipertembungkan dengan watak ironik seorang paderi, Father Benedetto lakonan Paolo Bonacelli yang mencabar self-esteem dirinya untuk mensucikan dosa-dosanya dahulu. Manakala watak pelacur, Clara lakonan Violante Placido pula buat pertama kalinya mencetuskan perasaan cinta kepadanya. Walaupun selama ini Jack sekadar melanggan wanita jalang sebegitu untuk memuaskan nafsu sahaja malah sanggup membunuh mereka jika terpaksa. Kedua-dua watak itu telah mengubah sedikit demi sedikit mengenai nilai kehidupan dan nyawa kepada Jack untuk menguatkan lagi keinginannya untuk bersara.

Namun begitu, tugasan terakhir dari majikannya selama ini iaitu Pavel lakonan Johan Leysen ialah sempadan penamat samada Jack akan berjaya bersara atau mati? Deskripsi arahan iaitu membikin sepucuk senapang otomatik buatan tangan Jack, disalurkan melalui seorang lagi pembunuh upahan profesional wanita bernama Mathilde lakonan Thekla Reuten. Bak kata pepatah hanya jauhari yang mengenal manikam, Jack dapat menghidu sesuatu yang tidak kena dengan tugasan itu. Permainan plot demi plot yang sentiasa menimbulkan prasangka kepada setiap watak yang ditemui oleh Jack akan menimbulkan suspens yang ketara serta mengujakan dalam filem ini. Penonton dan Jack akan serentak cuba meneka dan menyelesaikan setiap kronologi kejadian yang berlaku kepadanya.

Filem ini di antara lakonan watak one-man show terbaik George Clooney selepas “Michael Clayton” dan “Up In The Air”. “The American” berjaya menimbulkan persoalan samada semua yang berlaku kepada Jack adalah dirancang dengan teliti untuk membunuhnya atau dia yang mengundang kematiannya sendiri? Bak kata Clara kepada Jack “You are a good man but, you have a secret.”

* Kredit to tupai.com.my

No comments:

Post a Comment