Gara-gara aksi ghairahnya di dalam filem Klip 3GP menjadi bualan hangat serta tersebar meluas di laman-laman blog, Mimi bukan sahaja mendapat kecaman hebat, tetapi difahamkan hubungan cintanya juga turut terjejas. Sumber memberitahu pasangan kekasih berpisah buat sementara kerana Jojo yang juga anggota One Nation Emcees tidak boleh menerima aksi-aksi yang dilakonkan oleh Mimi.
Mengulas tentang perkara ini, Mimi yang ditemui selepas sesi Starchat GUA memberitahu hubungannya dengan Jojo buat masa ini memang tidak seperti dahulu. Jelas penyanyi ini semuanya berlaku selepas mereka selesai melakukan proses memasukkan suara (dubbing).
“Ketika penggambaran diadakan, Jojo tidak berada di lokasi kerana hanya Mimi, pengarah dan jurukamera sahaja yang terlibat. Tetapi, Mimi sudah pun maklumkan kepada Jojo tentang adegan itu. Namun, selepas Jojo melihatnya sendiri ketika buat dubbing, Mimi lihat Jojo seolah-olah tidak boleh menerimanya. Bermula saat itu, hubungan kami tidak lagi seperti sedia kala.
Mimi pun tidak sangka boleh jadi macam ini. Bagaimanapun, Mimi tidak pernah menyesal melakonkan watak Maya. Semua yang dipaparkan dalam filem itu adalah lakonan semata-mata, bukan diri Mimi yang sebenar. Mimi harap semua pihak boleh menerimanya dan cuba fahami mesej yang hendak disampaikan.
Tentang Jojo, Mimi tidak menyalahkan dia dengan apa yang terjadi. Mimi sudah mengenali Jojo selama empat tahun. Baik Mimi mahupun Jojo, kami sudah saling mengenali. Mimi faham perasaannya dan tahu Jojo memerlukan masa untuk menerima semua ini. Mimi menghormati keputusannya untuk memikirkan semula tentang hubungan kami,” luah Mimi berterus-terang.
Sementara itu, Jojo yang juga turut serta dalam sesi temubual ini tidak menafikan tentang status hubungannya dengan Mimi. Jelas Jojo, sebagai seorang lelaki dia berasa agak terkilan dengan lakonan Mimi itu.
“Sukar untuk saya jelaskan dengan kata-kata. Tetapi saya akui yang saya berasa agak terkilan apabila melihat aksi-aksi panas Mimi dalam filem ini. Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini biarlah hubungan kami sekadar kawan. Saya memang perlukan masa untuk menilai semula perhubungan ini ” ujar Jojo.
Klip 3GP akan menemui penonton di pawagam bermula 13 Oktober hadapan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menilai sendiri adegan-adegan yang dipaparkan. Adakah ia benar-benar panas, atau sengaja diperbesar-beraskan untuk tujuan publisiti?
No comments:
Post a Comment