Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, November 12, 2011

Kewibawaan sultan lahir ramai ulama

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 12 Nov: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata rahsia kejayaan negeri Kelantan melahirkan ramai alim ulama di negeri ini adalah disebabkan kewibawaan sultan yang menaungi pemerintahan.

Menteri Besar berkata, ini terbukti apabila usaha dilakukan nenekanda Sultan Muhammad V iaitu Sultan Muhammad II dan Sultan Ahmad pada masa lalu dalam usaha mendaulatkan undang-undang Islam di negeri Kelantan.

“Sejarah mencatatkan bagaimana pada zaman pemerintahan nenenda Tuanku (Sultan Muhammad V) iaitu Sultan Muhammad II dan Sultan Ahmad telah berusaha untuk mendaulatkan undang-undang Islam di negeri ini,” katanya.

Sambil menyifatkan bumi Kelantan terkenal sebagai Serambi Mekah melahirkan ribuan ulama sejak ribuan tahun lalu, Menteri Besar berkata berdasarkan rekod, Kelantan telah mula menerima ‘gema syahadah’ Islam sebelum Abad ke-12 Masehi lagi.

Beliau berucap pada Istiadat Menyembah Ucapan Taat Setia bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat menyembah Ucapan Tahniah serta Taat Setia di Istana Balai Besar di sini tengah hari tadi.

Majlis itu sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-42 Sultan Muhammad V Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Menurut Menteri Besar, penemuan dinar di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan dekat sini lama dahulu juga membuktikan bahawa Islam diamalkan dalam pemerintahan negeri Kelantan pada masa lalu.

Beliau menegaskan Kelantan adalah di antara negeri mula-mula mewujudkan sistem pengajian Pondok di rantau ini bagi pengajian dan penyebaran Islam di mana Pondok pertama didirikan di Kelantan pada 1820 Masehi.

Pondok itu didirikan oleh Haji Abdul Samad Abdullah (Tuk Pulai Chondong) selain Pondok Tuk Bachok dan Pondok Kubang Pasu yang didirikan pada 1900.

Didirikan juga Pondok Haji Abdul Malik, Tumpat (1907), Pondok Haji Yusoff Pulau Ubi, Geting Tumpat(1908), Pondok Sungai Budur, Pondok Kg Banggol, Pondok Tuk Padang dan Pondok Tuk Semian yang antara lain dengan itu menampilkan kecemerlangan pengajian Islam di negeri ini.

Menteri Besar berkata usaha untuk mendaulatkan Islam di Kelantan telah diteruskan oleh Sultan Muhmmmad II (1890–1991).

“Baginda telah menguat kuasakan pelaksanaan undanng-undang syariah sama ada jenayah mahu pun mal.

“Dan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur (1890 –1900), undang-undang syariah dilaksanakan sepenuhnya di bumi Kelantan termasuklah Hukum Hudud ke atas pencuri dan Qisas ke atas pembunuh.

“Baginda juga menguat kuasakan Hukum Takzir bagi orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat,” katanya.

Lantaran itu, kata Menteri Besar, usaha Kerajan Kelantan kini untuk melaksanakan Undang-Undang Jenayah Syariah di ngeri ini bukanlah sesuatu yang baru.

“Bahkan ia adalah kesinambungan usaha yang telah dilakukan nenekanda Tuanku (Sultan Muhammad V) bagi melaksanakan undang-undang syariah di negeri ini secara menyeluruh,” katanya.

Justeru, Menteri Besar berharap dengan bersemayamnya Sultan Muhammad V serta pemilihan Tuanku sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, harapannya dan harapan rakyat seluruhnya agar Sultan Muhammad V diberikan kekuatan, taufik dan hidayah oleh Allah swt bagi menaungi rakyat dan negeri Kelantan serta seluruh negara nanti, dengan ruh syariah.

“Patik yakin, insya Allah, Kelantan yang dikenali sebagai Serambi Mekah ini akan terus dilimpahi keberkatan oleh Allah swt dan mencatat sejarah kegemilangan untuk Islam sebagaimana di masa lalu, di bawah naungan pemerintahan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Dari selat ke tengah kota, disulam selasih pohon berangan; Tuanku berdaulat di atas takhta, diringi kasih yang berpanjangan,’ katanya mengakhiri ucapan dengan berpantun.

No comments:

Post a Comment