Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Monday, May 28, 2012

Gabungan 4 Lagenda – Stadium Merdeka 30 Jun Ini

Afro Zapin Venture Sdn. Bhd. telah menggabungkan empat lagenda hiburan tanahair Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search untuk membuat persembahan di bawah satu bumbung dalam The Legendary Concert 2012-Dulu, Kini dan Selamanya.
Sememangnya bukan mudah menggabungkan kempat-empat mereka kerana faktor masa yang tidak menentu di kalangan mereka. Akan tetapi usaha Afro Zapin ini telah berjaya menggabungkan lagenda-lagenda ini di konsert pertama mereka di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 5 Mei yang lalu. Walaupun hanya 2,000 penonton hadir, persembahan mereka amat memuaskan hati setiap penonton. Maklumlah otai!
Bertolak dari konsert pertama, pada 19 Mei lalu pula, konsert diteruskan di Stadium Pisa Pulau Pinang yang dihadiri lebih 5,000 penonton dan Johor Bahru pada 26 Mei ini.
Sebagai penutup tirai, empat figura berwibawa ini akan menggamatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini. Bukan mudah untuk mengumpulkan empat nama besar dalam industri muzik tanah air di bawah satu bumbung dan pentas yang sama. Jadi jangan lepaskan peluang ini.
Zainal Abidin melahirkan rasa terujanya kerana sudah lama tidak muncul di konsert besar seperti ini.
“Selain bertujuan untuk menggabungkan empat legenda, saya juga ingin kembalikan nostalgia konsert berbayar yang sudah jarang dilakukan artis tanah air. Sebagai konsert berbayar, sudah pastinya banyak perkara akan dilakukan dan gabungan sebegini bakal memberi kepuasan dan pulangan yang berbaloi kepada peminat.
“Malah paduan tenaga empat legenda ini dapat mengumpulkan setiap peminat masing-masing yang tentunya sudah lama menunggu kami untuk bergabung di atas satu pentas,” katanya sambil memberitahu sambutan yang diterima cukup menggalakkan.
Menurut Ratu Jazz, Sheila Majid, dia menerima pelawaan tersebut kerana diberitahu, sebahagian daripada hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada rumah kebajikan.
Biarpun sering melakukan konsert-konsert solo, namun Jamal tidak dapat menyangkal keterujaannya untuk bergabung dengan legenda yang cukup disegani.
“Peluang untuk menyanyi bersama dengan tiga lagi legenda yang masing-masing cukup hebat membawakan genre mereka sendiri tidak harus saya lepaskan.” – Jamal
Seorang lagi legenda yang cukup terkenal, Amy pula merumuskan gabungan keempat-empat mereka bakal mencipta fenomena memandangkan masing-masing adalah daripada latar belakang muzik yang berbeza.
“Saya percaya kami masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang memang menunggu kami untuk bersama di atas satu pentas.”
Peminat-peminat boleh mendapatkan tiket-tiket yang sudah mula dijual pada harga RM100, RM200, RM300 dan RM600. Untuk maklumat lanjut tentang konsert ini, sila layari www.legendary.my.

No comments:

Post a Comment