SAAT kaki mereka melangkah ke dalam dewan, pandangan tetamu tertumpu pada mereka. Bukan saja terpaku melihat kejelitaan mereka, tetapi teruja melihat tubuh mereka yang kekal langsing walaupun sudah bergelar ibu.
Sebagai selebriti, bukan saja bakat tetapi kecantikan juga adalah aset yang perlu dijaga. Justeru tidak hairanlah andai mereka ini dengan rela hati melalui rejim pemakanan yang agak ekstrem semata-mata untuk kurus dan kelihatan cantik pada mata khalayak.Bertemu empat ibu jelita ini iaitu Ziana Zain, Erra Fazira, Wardina Saffiyah Fadhullah dan Lisdawati ketika mereka menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya Slim World yang berlangsung di Hotel Berjaya Times Square pada petang Selasa lalu, banyak cerita menarik yang boleh dikongsi bersama daripada duta program pelangsingan ini.Namun paling penting, bukan mudah untuk menyatukan empat ibu jelita lagi bergaya ini dalam satu sesi bergambar seperti ini. Mereka bukan saja cantik, tetapi juga aktif dengan kerjaya masing-masing iaitu sebagai pelakon, penyanyi atau personaliti TV. Bagaimanapun, tugas dan tanggungjawab hakiki sebagai ibu dan isteri memang tidak diabaikan.
Bahkan, mereka juga masih mempunyai masa untuk sentiasa menjaga penampilan diri. Maklumlah, dalam bidang yang mereka ceburi, kecantikan dan penampilan diri adalah penting. Itulah harta yang sangat bernilai. Orang kata untuk cari makan kenalah pandai jaga badan.
Ada cerita suka dan tak kurang juga khabar duka yang mewarnai kehidupan mereka.
Ziana dan Erra terkilan?
KATA orang penantian itu penyeksaan. Lebih-lebih lagi jika yang dinantikan itu adalah sesuatu yang memang ditunggu-tunggu. Pastinya perit yang dirasakan. Itulah yang dirasakan penyanyi memiliki vokal nyaring, Ziana Zain apabila memperkatakan mengenai album terbarunya. Sudah hampir sedekad menanti buah tangan terbaru, namun semuanya sia-sia.
Walaupun penyanyi yang terkenal dengan imej kening terangkat ini pernah muncul dengan single berjudul Dingin, namun itu masih belum mampu mengubat kerinduan peminat yang dahagakan album terbarunya.
Diajukan pertanyaan ini, Ziana berkata dia ada sebab kukuh mengapa album terbarunya tidak dihasilkan.
Saya masih lagi menunggu surat rasmi dari EMI yang mengatakan kontrak sudah tamat. Sudah lebih setahun, saya masih belum menerima apa-apa daripada mereka.
Memanglah secara dasarnya, kontrak saya dengan mereka sudah tamat, tetapi tetap mahukan surat pengesahan supaya tidak berlaku sesuatu yang buruk di kemudian hari.
Setiap kali merujuk pada mereka berhubung perkara ini, mereka meminta bersabar. Sehingga kini, perkara itu senyap saja. Kalau hendak diikutkan, saya bosan menyanyikan lagu sama. Bila nyanyi single baru, peminat masih belum dapat menerima sepenuhnya.
Itulah yang membuatkan saya terkilan dan mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin, katanya yang anggun mengenakan busana milik Rizman Ruzaini.
Menurut penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Madah Berhelah, jika tahun depan surat pelepasan masih belum diterima, dia nekad meneruskan projek album itu.
Saya tidak mahu menunggu lebih lama. Buat masa ini sudah ada tiga single sudah disiapkan. Insya-Allah, jika tahun depan masih tiada perkembangan surat pelepasan), saya akan teruskan juga penghasilan album itu. Saya tak mahu peminat saya terus menanti, katanya.
Jika Ziana kecewa menunggu album terbarunya itu dapat disiapkan, Erra pula ternanti-nanti bila pula filem lakonannya dapat ditayangkan kepada khalayak.
Tentunya ramai peminat Erra masih ingat, pelakon ini pernah membintangi filem usaha Hollywood dan Bollywood berjudul Hidden terbitan N'Six Entertainment Limited & O'Zone Film Production Pvt Ltd pada tahun 2007.
Selepas tiga tahun, nampaknya bayang filem itu sendiri tidak kelihatan. Sebagai pelakon, pastinya Erra berasa terkilan apabila hasil keringatnya itu bagaikan terperap begitu saja.
Erra memang kecewa apabila filem ini belum masuk panggung. Erra dikhabarkan, penerbit filem ini menghadapi masalah untuk mencari pengedar menyebabkan filem ini terperap. Sebagai pelakon, Erra memang ingin sekali melihat hasilnya.
Erra pernah menonton filem ini tapi taklah sepenuhnya dan Erra rasa filem ini ada tarikannya yang tersendiri. Apapun, Erra berharap supaya filem ini dapat ditayangkan kepada khalayak. Sayang rasanya jika filem ini terperap begitu saja, luah Erra.
Mengulas lakonannya dalam teater muzikal Tun Mahathir, Erra mengharapkan penonton tidak bersikap skeptikal terhadap pengisian teater itu apabila dipentaskan kepada umum bermula Jumaat ini.
Saya harap, penonton faham bahawa ini adalah sebuah teater muzikal. Jadi, pastinya konsepnya sedikit berbeza. Saya harap peminat dapat menerima teater ini seadanya, tutur Erra yang memegang watak Tun Siti Hasmah sewaktu zaman anak dara.
Wardina pakar motivasi, Lisda lincah menari
HIDUPNYA banyak berubah jika mahu dibandingkan zaman remajanya. Sejak mengenakan tudung, pelakon, pengacara, penulis buku dan model, Wardina Safiyah kini sudah pun melalui pelbagai fasa kebahagiaan dalam kehidupannya.
Dia kini sudah bertemu apa yang dicarinya. Wardina yang baru saja pulang dari Australia kerana menyambut Aidilfitri di sana bersama ibu tercinta mengakui gembira dan teruja dengan kehidupannya ketika ini.
Saya gembira kerana berpeluang membuat sesuatu yang memang saya minati iaitu menjadi pengacara program Malaysia Hari Ini. Program itu banyak mengajar saya mengenai kehidupan dan memberi ilmu berguna sebagai persediaan mengejar cita-cita sebagai pakar motivasi.
Disebabkan itu, saya mengambil keputusan menyambung pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang psikologi. Saya akui, dalam keadaan sekarang, memang sungguh mencabar kerana terpaksa membahagikan banyak masa, tetapi demi cita-cita, saya teruskan juga. Memang cita-cita saya untuk belajar sehingga ke tahap yang tertinggi. Saya cemburu dengan mereka yang berjaya belajar sehingga mendapat gelaran PhD dan itu juga impian saya, tutur Wardina yang hadir ke majlis itu dengan ditemani anak sulungnya, Amna Nafeesa.
Sementara itu, pelakon drama bersiri Ular Emas, Lisdawati yang pernah menjuarai program Sehati Berdansa musim kedua bakal berkongsi pengalamannya menyertai program itu bersama peserta program realiti terbaru terbitan Astro berjudul Mari Menari.
Lisda yang mengenakan kebaya renda rona keemasan pada majlis itu berkata, dia bersama beberapa selebriti lain akan terbabit sebagai penasihat untuk program itu.
Saya, Erra, Zulhuzaimy dan Ferhad akan terbabit sebagai penasihat kepada peserta program realiti itu. Tugas kami memberikan panduan dan motivasi kepada mereka, katanya.
Dalam perkembangan lain, Lisda berkata, yang dia bakal ke Makkah untuk menjalani penggambaran drama bersiri terbitan Global Station.
Dalam drama berjudul Aku Bukan Mariam arahan Erma Fatima ini, saya digandingkan dengan Eja dan Ady Putra. Ia mengenai dua wanita yang berkongsi lelaki idamannya tanpa menyedari lelaki itu adalah orang yang sama, katanya.
No comments:
Post a Comment