MELIHAT raut wajah gadis berketurunan Melayu-Inggeris ini, ramai yang percaya bahawa watak yang dilakonkan sebagai penggoda adalah gambaran dirinya yang sebenar. Tapi hakikatnya diri wanita bernama Farahdhiya Mohd Amin (gambar) ini tidaklah seperti itu.
Wanita berusia 26 tahun ini mengakui sudah muak dilabel sebagai perempuan jahat tetapi sesekali dia mahu diuji dengan watak-watak lain yang lebih melambangkan sudut sebenar dirinya.
Keinginan itu mendatangkan hasil apabila Farah ditawarkan untuk melakonkan peranan sebagai wanita bertudung bernama Saadatul Saadiah dalam drama terbaru berjudul Chinta terbitan TV3.
“Saya sudah biasa diberi watak-watak antagonis sehinggakan saya merasakan sudah terlalu pakar untuk melakonkan watak-watak begitu. Ya lah… bila kita sering buat kerja yang sama, sudah tentu perkara tersebut jadi mudah.
“Namun bila pertama kali ditawarkan watak perempuan baik dan bertudung dalam drama Chinta ini saya betul-betul gembira. Pada mulanya saya fikir ia pasti mudah, tapi hakikatnya ia adalah cabaran kepada saya untuk menukar persepsi yang sudah lama tertanam di minda penonton,” katanya.
Sering kali mendengar pujian dalam lakonannya sebagai wanita jahat, kali ini Farah ingin membuktikan kepada penonton bahawa dia juga mampu membawa peranan baik.
Namun dia berdebar dan tidak sabar menanti reaksi penonton terhadap lakonannya yang dijangka akan keluar pada minggu hadapan.
“Saya harap watak ini berjaya seimbangkan persepsi masyarakat pada saya. Saya mahu mereka kenali saya sebagai seorang yang boleh melakonkan pelbagai watak.
Kepercayaan pengarah juga penting kerana ini kali pertama mereka berani beri watak baik kepada saya, jadi saya tidak mahu dianggap gagal,” ujarnya. MSTAR
No comments:
Post a Comment