Menurut Siti Nurdiana atau lebih selesa dipanggil Nana, penampilannya yang mengenakan gaun rekaan Hani Suraya itu sebagai tanda pembaharuan diri serta kemunculan baru dalam industri seni setelah lama menyepi.
"Sebenarnya saya tak rasa pun gaun itu seksi. Mungkin orang tidak pernah melihat saya berpakaian begitu, sebab itulah ramai yang terkejut sedangkan saya memakai gaun seperti itu mengikut kesesuaian majlis. Lagipun inilah kali pertama saya memakai gaun pendek di depan khalayak.
"Rasanya, gaun yang saya pakai itu tak seksi melampau. Takkan saya nak berimej yang sama saja, nanti orang bosan pula.
"Penampilan baru ini juga merupakan imej sempena dengan keluaran single lagu terbaru saya yang berjudul 'Tak Tahan'. Apapun, saya tak kisah dengan tanggapan orang kerana mereka mempunyai hak untuk memberikan pandangan dan saya terima itu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Beritahu Nana, pembaharuan bukan sahaja dilakukan terhadap imejnya malah muzik yang dibawakan turut berbeza berbanding nyanyiannya dulu yang kini tampil dengan muzik alternatif rock dalam lagu barunya itu.
"Lagu 'Tak Tahan' adalah projek solo pertama saya setelah dua tahun menyepi dan saya tampilkan muzik yang lain kepada peminat-peminat.
"Kalau saya tampilkan lagu baru dengan konsep balada seperti dulu, orang akan tahu lagu tersebut saya yang nyanyi. Jadi saya nak ubah pandangan masayarakat bahawa saya juga mampu membawa muzik berbeza genre," ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
Sementara itu, Nana berkata dia telahpun berhenti kerja sebagai Kaunselor Pelajaran di City Universiti Kolej, Petaling Jaya, Selangor, kerana ingin memberi fokus pada karier seninya.
"Sebenarnya bila dah biasa bergelar anak seni, agak sukar untuk saya bekerja mengikut waktu pejabat. Bila ada apa-apa sesi fotografi, susah saya nak ambil cuti.
"Tambah pula sekarang ini saya perlu fokus dengan single baru saya dan kemudiannya album terbaru pula. jadi saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan naikkan karier saya semula sebaik mungkin.
"Sekarang ini saya juga menjinakkan diri dalam bidang lakonan. Buat masa ini saya baru sahaja habis sesi penggambaran bagi telefilem Nenas Dan Ikanku dan sebelum ini pula, saya berlakon bagi drama Aku Budak Minang 2.
"Sekarang ini fokus saya ialah saya mahu meniakkan nama saya semula tidak kira dalam apa jua bidang yang berkaitan dengan seni. Maklumlah saya dah tak bekerja lagi. Jadi kena kerja kuat demi anak," akhirinya.
No comments:
Post a Comment