KUALA TERENGGANU – T-Team perlu segera bangkit memperbaiki persembahan longlai mereka kebelakangan ini yang membawa pasukan itu antara pasukan tercorot dalam Liga Super.
Pengurus skuad T-Team, Rozi Mamat berkata ini bukan lagi masa untuk barisan skuad kendalian Yunus Alif itu “main-main”.
“Dari segi permainan, tak ada masalah, mungkin ia disebab kurang persefahaman antara pemain yang menyebabkan penyudahnya kurang menjadi.
“Saya harap jurulatih dapat ambil langkah untuk atasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kelab Penyokong T-Team yang disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Katanya prestasi setiap pemain T-Team akan dilihat khususnya pada perlawanan menentang Kedah Selasa ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pemain import bermain untuk kelab dan persatuan bola sepak negeri tahun depan adalah cadangan yang baik.
Jelasnya, dengan adanya pemain import, sekurang-kurangnya akan membawa perubahan kepada pemain tempatan terutama dari segi persaingan.
“Dengan adanya pemain import, pemain tempatan perlu bersaing untuk mendapat tempat. Cuma kita kena lihat adakah pemain kita sudah sedia (untuk bersaing) atau tidak,” kata Rozi. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment