Hotel Borobudur : Sentuhan Mewah ‘Borobudur di Jakarta’
oleh Shah Shamshiri
Sekali mendengar nama hotel ini, pasti ramai yang teringatkan kota Yogyakarta kerana kemasyhuran candi Borobudur yang terletak di kota Jawa itu. Namun Hotel Borobudur yang dipaparkan di sini hanya meminjam nama candi tersebut dan lokasinya masih lagi di ibu negara Indonesia, iaitu Jakarta.
Hotel mewah yang bertaraf lima bintang ini sudah berusia 37 tahun dan merupakan salah satu hotel tersohor di Jakarta. Terletak di pusat Jakarta di dalam sebuah kawasan taman yang luas, hotel ini juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana kedudukannya tidak jauh dari pusat perdagangan bandar tersebut. Ia juga mengambil masa lebih kurang 45 minit sahaja untuk sampai ke situ dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan sekitar 5 minit sahaja dari Istana Presiden.
Selain daripada itu, hotel ini juga tidak jauh dari Masjid Istiqlal dan gereja Katedral yang terkenal di Jakarta. Dengan 695 bilik-bilik indah dari pelbagai taraf, hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Hotel ini turut mempunyai sayap taman khas (Garden Wing) yang menyediakan 103 pangsapuri terkhidmat (serviced apartments).
Seperti hotel-hotel mewah lain, Hotel Borobudur juga dilengkapi dengan tingkat khas di tingkat 17 dan 18 di mana bilik-biliknya lebih eksklusif kerana terletak di bawah kategori Club Discovery. Semestinya, para penghuni bilik-bilik ini mempunyai ruang santai mereka tersendiri di Club Discovery Lounge yang terletak di tingkat 18.
Berkat keluasannya, Hotel Borobudur juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti sebuah kolam renang bersaiz olimpik, gymnasium serta pusat kesihatan, 8 gelanggang tenis, 3 gelanggang skuasy, padang bola sepak, sebuah gelanggang bola keranjang, dan juga Kids Club, sebuah kelab khas buat kanak-kanak. Berserta kemudahan-kemudahan hotel yang lain seperti ruang-ruang mesyuarat dan empat buah restoran, hotel ini memang sesuai buat anda yang menyenangi kemewahan dalam taman.
Tidak lengkap juga Hotel Borobudur sekiranya tiada langsung unsur candi Borobudur di sini. Untuk itu, terdapat sebuah replika kecil Candi Borobudur di kawasan taman hotel ini tidak jauh dari kolam renangnya. Selain itu, di setiap ruang dan bilik hotel terdapat hiasan serta arca yang menyelitkan ukiran-ukiran yang biasanya terlihat di candi penuh bersejarah itu.
Di samping keluasan serta keindahan hotel ini, ia juga terkenal dengan salah satu sajian tradisional Indonesianya iaitu ‘Sop Buntut’ (sup ekor lembu Jawa). Resipi sop Buntut hotel ini dikatakan masih sama dan dicipta khas oleh seorang penjual sop buntut yang mula-mula berniaga di situ. Ia dikatakan antara yang terbaik di Jakarta dan ramai yang cuba meniru rasanya. Lantas, tidak hairanlah sekiranya warga Jakarta sering mengunjungi Bogor Cafe hotel ini untuk menyicip rasa Sop Buntut khas mereka.
Jika anda ingin menikmati sekilas kemewahan dan melihat sedikit pengaruh Borobudur di ibunegara Indonesia, bermalamlah di Hotel Borobudur, Jakarta. Ia pasti satu pengalaman eksklusif yang tidak akan anda lupakan!
No comments:
Post a Comment