Ramai dikalangan anak muda masakini mahupun terdahulu bercita-cita untuk menjadi seperti SEARCH, malah ada segelintir remaja sekarang yang mengganggap Search sudah tidak relevan lagi akibat ketaksuban muzik modenisasi masakini. Hakikatnya kumpulan ini adalah antara pelopor kebangkitan muzik rock di Malaysia.
Search yang telah ditubuhkan pada tahun 1981 kini sedang menyambut ulangtahunnya yang ke 30 tahun, istimewanya ialah mereka telah di beri penghormatan oleh Oracle Accord dengan mengadakan siri jelajah Malaysia dibawah lembayung “Konsert Fenomena 30 Tahun Search” yang turut meliputi 3 lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
Tanggal 19 November 2011 merupakan tarikh keramat buat fanatika Search di Utara Semenanjung Malaysia umumnya dan Pulau Pinang khasnya. Sesungguhnya Search telah berjaya menghimpunkan lebih 5000 peminat muzik rock ‘kental’ yang telah membanjiri Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang sejak dari awal petang lagi. Mereka bukan sahaja dihiburkan oleh Search, malah Bittersweet, Koffin Kanser, Pesawat dan Sofea turut membuat persembahan. Ternyata dengan hanya membayar RM59.00 peminat yang hadir pasti tersenyum puas dengan pengalaman yang mereka perolehi.
Sekitar jam 8.45 malam kumpulan SOFEA yang dibarisi oleh Amir (vokal), Man Rani (bass), Yus (dram) dan Sham (gitar) telah diberi penghormatan sebagai ‘opening band’. Biarpun hujan renyai-renyai sudah mula membasahi bumi namun pengikut tegar muzik rock tidak beralih tempat. Mereka seakan dahagakan sesuatu yang cukup bertenaga. Lantaran itu, “Anak Liar” dilontarkan bagi memanaskan lagi suasana yang dingin pada malam itu. Peminat yang sememangnya ketandusan persembahan dari Sofea turut melagukan mengikut irama yang sudah sebati dengan jiwa.
Amir selaku vokalis yang cukup kaya dengan pengalaman sewaktu bersama-sama dalam “Battle Of The Bands” mula berkongsi pengalaman beliau dan SYJ cuba mengimbas peristiwa di Sungai Nibong yang telah mencetuskan kontroversi. Bagi mengembalikan nostalgia tersebut “Hati Syaitan” yang turut berada dalam kompilasi album “BattleOf The Bands” menjadi santapan.
Sofea mula memperlahankan corak permainan mereka dengan mendendangkan lagu “Boneka Pentas” yang juga menjadi judul album ketiga mereka. Rencah ‘rock n roll’ cukup jelas kedengaran dalam lagu ini. Hanya sebilangan kecil peminat yang kelihatan bernyanyi bersama, selebihnya seakan terpaku dek kelincahan band yang mendapat jolokan “Motley Crue”.
Tugas vokalis kini di serahkan kepada Man Rani, “Syurga Di Hujung Jarum” yang sarat dengan mesej dipertanggungjawabkan kepada beliau. Belum pun sempat lagu ini dihabiskan hujan yang sedari tadi renyai mulai lebat. Atas faktor keselamatan samada untuk pengunjung dan pemuzik, pihak penganjur terpaksa memberhentikan persembahan Sofea. Dari kaca mata saya, Sofea telah mempamerkan kehebatan mereka sebagai seorang pemuzik dan penghibur malah ‘rockers’ sejati.
Hujan semakin lebat, Search sepatutnya memulakan persembahan pada jam 9.30 malam terpaksa pasrah dengan hukum alam. Ada dikalangan peminat yang berlari menyelamatkan diri ke khemah-khemah yang telah disediakan oleh DEFINE. Sementara menunggu hujan berhenti, Burn dan Nana telah menjemput Yassin, Angah dan Azlee bagi menghiburkan para penonton. Bagi edisi Pulau Pinang, kereta Perodua Viva telah dimenangi oleh Azura, beliau telah mengalahkan 2 orang peserta lain dalam sebuah peraduan bagi menguji kepantasan minda.
Search akhirnya muncul sekitar jam 10.45 malam,biarpun hujan renyai-renyai masih membasahi bumi ‘show must go on’. Peminat mula memberikan perhatian penuh pada pentas yang mula ditakluki oleh Yazit (dram), Nordin (gitar), Nasir (bass), Kid (gitar) dan Amy (vokal). Kuasa magis Search seakan tidak mampu memberikan tamparan pada suara-suara yang lantang melaungkan nama kumpulan yang menjadi ikon kepada rockers tempatan.
Suasana menjadi bening seketika lantaran cahaya lampu suram kelihatan, “Panggung Khayalan” menjadi pilihan dan ianya bersesuaian sebagai permulaan persembahan. Petikan gitar dan bass, dentuman drum dan vokal yang mantap mula mengasyikkan dan membuat para penonton mula mengikut rentak dan irama. Penat dan tubuh yang kebasahan seakan hilang dan tidak dirasai setelah Search mula beraksi dihadapan mata. Search terus beraksi tanpa memberi peluang kepada peminat untuk berhenti, “Gothic Malam Edan” yang dipetik dari album terbaru mereka di ‘tanam’ dalam minda peminat generasi lama agar dapat menerima evolusi muzik Search.
Tanpa membuang masa lagu “Mentari Merah Diufuk Timur” yang banyak mengumpul peminat Search mula dilagukan. Darah muda mula terasa deras mengalir dalam tubuh ketika lagu ini berkumandang. Suasana mula tidak terkawal apabila ada diantara penonton yang seakan histeria, namun semuanya telah ditenteramkan oleh pihak sekuriti yang bertugas. Antara lagu-lagu yang menjadi ‘set list’ dalam persembahan untuk set yang pertama itu adalah “No Way Jose”, “Habil Qabil”, “Balada Pemuzik Jalanan”, “Andai Ku Miliki Semalam”, “Melayar Bahtera”, “Musnah” dan “Honky Tong Kosong”.
Biarpun sudah 10 buah lagu dipersembahkan anggota kumpulan Search masih lagi bertenaga, mereka telah membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk memberikan komitmen pada muzik rock. Malah aksi-aksi mereka dilihat semakin ‘liar’, Kid yang tampil dengan imej ‘glam rock’ ala-ala Nikki Six, Amy pula tampil dengan seluar fit dan ber’buckle’ nyata mereka cuba menaikkan semangat rock tahun 80an biarpun sesekali imej punk rock jelas kelihatan pada beliau. Pujian harus diberikan kepada Yazit atau lebih mesra dengan panggilan ‘abang’ dikalangan anggota Search kerana mampu menyembunyikan kesakitan yang dialami, segalanya demi peminat. Nasir masih seperti apa yang kita pernah saksikan. Tampil ‘gerek’ dengan mini skirt Scotlandnya yang ditempah dengan fabrik kulit. Nordin yang semakin berisi seakan sudah lebih bersedia untuk konsert kali ini.
Buat julung kalinya video yang memaparkan ‘salute’ daripada penggemar search memberikan komen ikhlas mereka kepada ikon rock Malaysia dipertontonkan dalam konsert sebegini. Search ternyata mempunyai daya tarikan yang cukup kuat. Setiap lagu yang disampaikan pastinya akan membuat para penonton tidak boleh duduk diam, jika dilihat dari showmanship mereka, jelas sekali membuktikan mereka ini adalah ‘rock star’ yang digilai ramai.
Suasana mula bertukar wajah, jika sebelumnya Search tampil dengan lagu-lagu ‘garang’ tetapi tidak untuk set yang kedua ini. Mereka mula mengajak penonton berkhayal dengan lagu-lagu cinta yang sarat dengan mesej romantik. Seleksi lagu-lagu seperti ‘Bisa”, “Rozana”, “Kau Pergi”, “Gadisku” dan “Fantasia Bulan Madu” mula menerjah minda pasangan yang sedang berkasih ketika itu. Malah mungkin ada yang tersenyum mengenang kembali nostalgia sewaktu mula-mula bertemu dahulu.
Kid dan Nordin mula beradu kekuatan dan kemahiran menguasai gitar yang mereka miliki. Penonton mula kagum dengan kehebatan serta kelincahan mereka dalam menguasi intrumen bertali itu. Pasangan adik beradik yang mempunyai kelebihan serta ‘skill’ tersendiri bisa membuatkan penonton terhibur dengan aksi bersahaja mereka.
Fenomena teruja mula bertukar wajah apabila lagu “Isi atau Kulit’ diikuti ‘Pelesit Kota” kembali mewarnai malam yang semakin gelap namun bagi peminat setia, search adalah segalanya. Tanpa lagu ‘Isabella’ mungkin ada peminat yang sanggup memberontak, lagu ini seolah-olah menjadi lagu ‘kebangsaan’ buat Search dan fanatikanya. Sebaik sahaja lagu ini dimainkan, kesemua penonton bukan sahaja menghayati lagu tersebut malah turut sama menyanyikan setiap rangkap yang terdapat pada lagu tersebut.
Setelah hampir 2 jam Search tampil dengan pelbagai lagu akhirnya “Pawana” ditinggalkan buat peminat di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang. Biarpun ada dikalangan peminat yang masih mahu melihat Search beraksi, namun mereka terpaksa akur dengan terma dan syarat penganjuran sesebuah konsert. Diakhir persembahan semua anggota Search telah memberikan cenderamata khas buat peminat yang hadir pada malam itu. Antara barangan yang diberi termasuklah ‘guitar pick’, bola dan ‘drum stick’.
Search sememangnya berpegang pada janji kerana tidak membawakan lagu-lagu secara ‘medley’ dan memberikan persembahan terbaik biarpun dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Sistem bunyi paling baik yang pernah Search hasilkan, malah lebih bagus daripada apa yang telah mereka lakukan sebelum ini. Peminat Search di Johor Bahru (3 Disember) dan Kuala Lumpur (17 Disember) nantikan kehebatan “Konsert Fenomena 30 Tahun Search”. Tiket-tiket masih lagi boleh didapati, sekiranya anda ingin menyaksikannya di Johor Bahru harga tiket RM59.00 dan di Kuala Lumpur RM69.00. Sebarang pertanyaan boleh dibuat dengan melayari www.tickethotline.com.my atau www.facebook.com/SEARCH30
No comments:
Post a Comment