Selepas pertama kali menjejak kaki di Malaysia pada 19 Oktober 2010, Paramore yang diterajui oleh Hayley Williams, Jeremy Davis dan Taylor York bakal kembali untuk konsert The Return Of Paramore Live In Kuala Lumpur di Stadium Negara pada 17 Februari akan datang.
Pernah memberikan persembahan cukup mantap di Stadium Negara Bukit Jalil dengan kehadiran sebanyak 12,000 peminat sebelum ini, Paramore yang terkenal dengan lagu-lagu seperti "Misery Business", "Playing God", "Ignorance" dan "Brick By Boring Brick" kini sedang sibuk dengan siri jelajah dunia bagi mempromosikan album terbaru mereka yang dijangka rilis pada 9 April 2013.
Kemunculan album terbaru ini bakal menyaksikan Paramore tampil dengan imej yang lebih segar, lebih-lebih lagi selepas dua ahli kumpulannya, Josh dan Zac Farro membuat keputusan untuk mengundur diri dari kumpulan tersebut pada Disember 2010.
Persembahan mantap dari vokalis Paramore, Hayley Williams ketika mereka mengadakan konsert buat pertama kali pada 2010. |
"Proses menghasilkan album ini secara keseluruhannya membuka mata kami sebagai sebuah kumpulan dan juga kawan. Ia adalah satu proses yang membenarkan kami untuk menjelajah perkara baru secara artistik, sekaligus membebaskan diri kami sebagai seorang pemuzik, penyanyi dan juga manusia.
"Secara jujur, kami merasakan ia adalah perkara terbaik untuk memberikan nama kumpulan kami sebagai judul album terbaru ini. Album ini adalah kami," ujar Paramore dalam satu pengumuman menerusi blog.
Pengurus Besar Tune Talk, Jason Lo, menganggap The Return Of Paramore Live In Kuala Lumpur adalah konsert pembukaan untuk tahun 2013 dan menjangkakan lebih banyak nama besar bakal dibawa ke Malaysia sepanjang tahun ini.
"Kami teruja dapat bekerjasama sekali lagi dengan kumpulan berbakat besar dan kreatif ini. Malah Paramore juga cukup terkenal dengan persembahan mereka yang mantap.
"Kami sedang berusaha untuk membawa lebih banyak kumpulan muzik terkemuka bagi mengadakan persembahan di Malaysia.
'Orang kuat' penganjur konsert The Return Of Paramore Live In Kuala Lumpur. |
"Muzik dianggap sebagai makanan. Jika ia enak, pasti kita mahukan lebih lagi. Begitu juga dengan Paramore. Berdasarkan sambutan yang diterima ketika konsert pertama mereka, ramai yang menginginkan mereka kembali," jelasnya dalam satu sidang media yang diadakan di Bangsar baru-baru ini.
Pengarah Research In Motion (RIM) Malaysia, Annamalai Muthu dan Pengarah Live Events dari Livescape Asia, Rahul Kukreja turut hadir ketika sidang media tersebut.
Kumpulan tempatan One Buck Short dan kumpulan rock bebas dari Amerika Syarikat, MewithoutYou bakal menjadi aksi pembuka tirai ketika konsert tersebut.
Harga tiket untuk The Return Of Paramore Live In Kuala Lumpur adalah RM270 (Zon Red), RM200 (Zon Rock), RM150 (P1), RM130 (P2) dan RM110 (P1). Tiket boleh didapati di kaunter Ticketpro. Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi 03-78807999 atau layari laman web Ticketpro.
The Return Of Paramore Live In Kuala Lumpur dibawakan oleh Livescape Asia dengan kerjasama Tune Talk dan BlackBerry.
No comments:
Post a Comment