Oleh ROSMAH DAIN
Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN
Farahirda Mohd. Tahir (depan) bersama rakan-rakan di CPPTS.
MELIHAT bentuk fizikalnya yang kecil molek, ditambah dengan kelembutan seorang wanita, siapa sangka gadis genit ini sebenarnya seorang pengawal peribadi yang tangkas dan digeruni.
Farahirda Mohd. Tahir, baru berusia 23 tahun, namun minatnya terhadap kerja-kerja lasak membawanya kepada kerjaya yang jarang diceburi anak-anak gadis sebayanya.
Berasal dari Puchong, Selangor, Farahirda atau lebih senang disapa Farah mengakui cita-citanya terawal ialah untuk menjadi seorang anggota polis.
Namun apabila dia memilih untuk menjadi seorang pengawal peribadi nyata profesion itu cukup serasi dengan jiwanya.
''Ayah saya bekas tentera. Dari kecil saya sebenarnya minat dengan aktiviti lasak dan saya mengotakan cita-cita saya sekarang. Apa yang penting keluarga saya menyokong kehendak saya untuk menjadi seorang pengawal peribadi," tambah anak sulung daripada empat adik-beradik itu.
Farah yang agak pendiam mengakui, tugas sebagai seorang pengawal peribadi tidak memerlukan dia bercakap banyak agar senang menyimpan rahsia prinsipal (majikan) yang diwakili.
Ditambah dengan sosok fizikalnya yang kecil dan ada ketika mengenakan baju kurung, menyebabkan ramai orang tidak tahu dia sedang bertugas sebagai pengawal peribadi. Situasi itu memudahkan dia melakukan penyamaran (undercover).
Berkemahiran menggunakan senjata api termasuk pistol, gadis ini juga berkebolehan dalam seni pertahanan diri tae-kwando dan terlatih dalam teknik-teknik tindak balas wanita atau women response techniques (WRT).
Semua kelebihan itu membolehkan dia sebagai tenaga pengajar teknik WRT kepada peserta kursus terdiri daripada golongan wanita anjuran CPP Training & Services Sdn. Bhd. (CPPTS).
Mendapat pendidikan akhir dari Sekolah Menengah Rawang Utama, Selangor, Farah tidak pula pernah terfikir bahawa kerjaya yang diceburi ini sebagai satu yang luar biasa bagi wanita.
''Saya memilih satu bidang yang menuntut komitmen saya sepenuhnya ditambah pula kerjaya ini dimonopoli oleh golongan lelaki.
''Namun sepanjang penglibatan dalam bidang ini, rakan-rakan memberikan bantuan yang diperlukan dan menyokong saya,'' jelasnya yang mengakui tugas seorang pengawal peribadi memerlukan seseorang itu bukan sahaja kuat fizikal malah mental.
Farah mengakui tugas yang dipikul bukanlah mudah. Selain perlu peka, berkemahiran dan bersedia, dia perlu berwaspada terhadap apa sahaja kemungkinan yang tidak dijangka berlaku terhadap prinsipal.
Bukan itu sahaja, dia juga perlu berhadapan dengan kerenah prinsipal yang dilindungi.
''Sebagai pengawal peribadi wanita, saya selalu ditugaskan untuk melindungi isteri-isteri dan anak-anak orang-orang kenamaan serta mereka yang 'berada'," tegasnya.
Mengimbau kenangan sewaktu menjalani kursus intensif pengawal peribadi di CPPTS selama lima hari, katanya, ketika itu hanya Tuhan sahaja yang tahu peritnya kursus latihan ala-komando yang dijalani bersama rakan-rakan lelaki lain.
''Direndam dalam kolam yang sejuk selama 12 jam adalah perkara yang saya tidak boleh lupa sampai sekarang. Namun Alhamdulillah, segala dugaan itu saya dapat tempuhi dan saya selamat menamatkan kursus dengan cemerlang," katanya.
Apabila ditanya adakah dia tidak takut dengan kemungkinan buruk apabila berlaku kecemasan yang menjadikan nyawanya sebagai taruhan, gadis ini memberitahu, itu semua sudah sedia dimaklumi.
Namun dari segi prinsipnya, apa-apa sahaja kecemasan yang berlaku, prinsipal perlu dilindungi waima dengan apa sahaja oleh seorang pengawal peribadi termasuk menghalang dengan tubuhnya sendiri.
No comments:
Post a Comment