Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, January 21, 2012

Tania Hudson Dihendap Peminat Fanatik

DI sebalik ketenangan dan kejelitaan yang terpancar pada wajah milik pelakon Tania Hudson, rasanya tidak ramai yang tahu dia pernah menjalani pembedahan otak akibat menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) tiga tahun lalu.

AVM adalah sejenis gumpalan urat yang tidak normal tertumbuh di otak dan penyakit yang dialami pelakon berusia 26 tahun ini menjadi serius apabila berlaku pendarahan dalaman.

Syukur kerana masih lagi dapat bernafas dan menjalani aktiviti harian seperti biasa, penderitaan lalu banyak mengajar anak kacukan Melayu-Inggeris ini menjadi seorang yang cekal dan berfikiran positif.

“Saya pernah melalui saat-saat sukar dimana penyakit yang dihidapi berlaku sejak kecil lagi. Keadaan itu membuatkan jiwa saya kosong dan kemurungan.

“Bagaimanapun, selepas pembedahan tersebut, barulah saya sedar dan bersyukur Tuhan masih memberi peluang baru serta harapan untuk saya terus hidup. Malah penderitaan yang dilalui itu memberi pengajaran besar buat diri sendiri.

“Saya mula belajar kerana jangka hayat manusia sebenarnya amatlah pendek tanpa kita sedar dan ia berlalu dengan pantas. Maka bersiap sedialah bahawa nyawa kita boleh diambil pada bila-bila masa sahaja. Justeru itu, terimalah dugaan hidup yang sudah atau bakal dilalui dengan pemikiran yang positif. Gunakan peluang yang ada dengan melakukan perkara-perkara yang berguna.

“Yang penting, percayakan pada diri, seperti perumpamaan ini, bila kita ubah cara pemikiran maka kita boleh mengubah dunia,” katanya yang bakal menyambung pengajian di bidang fesyen pada tahun depan.

Tambah pelakon yang pernah membintangi drama Tiramisu ini, pemikiran yang positif juga perlu dimulakan dengan mengikis perasaan negatif dan pada masa sama membina semula keyakinan diri.

Bagaimanapun tambahnya, untuk menjadi seorang yang berfikiran positif bukannya mudah dan sokongan daripada keluarga serta teman-teman rapat amat diperlukan.

Cabaran

Bakal muncul dengan filem terbaru, Ngorat, arahan Prof. A. Razak Mohaideen, tahun depan. Tania akui, perjalanan kerier lakonannya tidaklah selancar kakaknya, Natasha Hudson yang pantas meraih perhatian khalayak.

Namun, dia tidak pernah berkecil hati apatah lagi cemburu dengan apa yang diraih kakaknya, malah Tania tidak kisah jika namanya sering dikaitkan dengan Natasha.Faham dengan situasi diri yang perlukan masa rehat lebih sejak menjalani pembedahan, Tania akur dengan tawaran yang kurang itu.

“Selepas pembedahan tersebut, saya bersyukur kerana dapat hidup dengan lebih normal. Cuma masa rehat dan tidur yang diperlukan agak lama sedikit berbanding orang biasa. Kalau tak, mulalah penyakit asma menyerang, tak pun kepala saya akan sakit.

“Hal tersebut membuatkan kerjaya lakonan saya sedikit terganggu dimana pihak produksi perlu bertoleransi dengan masalah saya lebih-lebih lagi mengenai masa kerja contohnya, tak bolehlah sampai ke Subuh.

“Alhamdulillah, setakat ini mana-mana pihak produksi yang pernah bekerjasama dengan saya memahami keadaan ini.” tuturnya yang juga tidak tahan dengan asap rokok.


Peminat fanatik


Walaupun populariti tidak sehebat kakaknya, Tania tetap dikenali masyarakat malah mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Jika tidak, tak adalah sampai dia menjadi mangsa hendap oleh seorang peminat fanatik lelaki selama seminggu.

Kata Tania, lelaki yang berusia 20-an itu telah mengikuti Tania tidak kira di mana saja sama ada ketika di luar atau pulang ke rumah.


“Lelaki tersebut mula mengganggu hidup saya selepas terserempak di sebuah bengkel kereta dan memberitahu bahawa dia merupakan peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan saya. Tak sangka pula selepas itu dia muncul di hadapan rumah dan mengganggu saya dan ibu dengan menekan loceng rumah dengan kerap.


“Tindakan lelaki itu menimbulkan perasaan takut dan bimbang tentang keselamatan diri. Saya turut diberi buah-buahan dan telah bercakap dengannya supaya pulang. Selepas beberapa hari melalui keadaan yang sama, saya terus membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,” katanya.

Kejadian tersebut membuatkan Tania lebih peka dengan persekitaran dan memastikan dia sentiasa ditemani seseorang setiap kali keluar rumah, lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Sekarang ini saya lebih berhati-hati dengan keadaan persekitaran. Harap pengalaman yang dilalui ini dapat menjadi pengajaran buat semua terutamanya wanita yang pulang dari kerja pada lewat malam,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment