Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Showing posts with label resipi. Show all posts
Showing posts with label resipi. Show all posts

Thursday, August 12, 2010

Mihun Goreng Udang


Keluarga K.An memang suka mihun goreng.. (banyak kali dah sebut ni..hihik) tak jemu dan selalu buat untuk sarapan mahupun minum petang.. Kali ni mihun goreng versi udang pulak. Bahan pun senang je...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 peket mihun- direndam 15 minit dalam air biasa
sementara tu sediakan bahan lain;
1 labu bawang besar dihiris membujur
2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 cawan udang putih, dibuang kepala dan ekornya (boleh ganti dengan udang harimau)
2 biji telur
1/2 cawan taugeh- jika tak suka ganti dengan kobis
3 tangkai daun sawi dipotong 1 inci panjang
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar cili kisar
3-5 sudu besar kicap manis
1 sudu teh garam
1 cawan air rebusan kulit udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan 4 sudu besar minyak di dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan udang. Tumis seketika.
2. Masukkan sos cili, garam, kicap, sawi dan air rebusan. Didihkan. Masukkan telur. Biar separa masak, baru dikacau.
3. Masukkan mihun dan tambahkan air jika perlu. Masak hingga mihun lembut (tambah air jika perlu lagi)dan masukkan taugeh. Rasa dan tambahkan kicap jika belum cukup rasanya. Gaul sebati dan tutup api. Sedia dihidang.

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Masak Lemak Jantung Pisang dengan Udang

Mesti ramai yang tak pernah makan masak lemak jantung pisang macam ni apa lagi memasaknya..

Masakan kampung begini, mudah sangat cara memasaknya.. bahannya pulak datang dari keliling rumah sahaja. Jantung pisang ni pun K.An ambil dari belakang rumah.. kat Putrajaya ni, jantung sulung daripada pokok pisang yang k.An tanam setahun setengah yang lalu. Puas hati tengok buahnya menjadi elok.. tak lama lagi dapat la merasa buahnya pulak.

Hari ni kita 'cilok' jantungnya dulu dan buat masak lemak dengan udang. Kalau kat kampung, mak K.An masak dengan ikan darat seperti ikan sepat, haruan atau puyu... tapi kat sini tak ada, k.an 'taruk' je udang.. sedap juga..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

1 biji jantung pisang- buang kulit luar berwarna gelap belah dua dan hiris 1 sm lebar. Rendam dalam air 10 minit untuk menghilangkan getah

udang harimau- banyaknya ikut citarasa
1/2 labu bawang besar dihiris
3 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih dihiris halus
sedikit serbuk kunyit
1 keping asam keping
2 cawan santan sederhana pekat
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan jantung pisang dan rebus dalam air hingga mendidih. Kacau seketika. Biar mereneh lebih kurang 5 minit agak-agak jantung lembut. Padamkan api dan toskan.

2. Masukkan semua bahan ke dalam periuk termasuk jantung pisang. Masak dengan api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api, kacau seketika dan rasa garamnya. Kalau dah cukup bolehlah diangkat dan dihidang.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Daging Goreng Kunyit

Lauk yang dimasak ketika malas menguasai diri...heheh... ringkas, tapi sedap. Kalau letak depan Abang Azam, kena awasi sebab kalau tak, tak sempat le orang lain merasa.. dia suka sangat..




Bahannya sama dengan masak goreng kunyit yang lain cuma ganti dengan daging.

Bahan-bahan:

300 gm daging, kalau dapat batang pinang paling bagus.- hiris nipis melawan urat, basuh bersih dan toskan

garam dan kunyit secukupnya
1 biji cili merah dihiris serong
1 urat kacang panjang dipotong 1 inci panjang
1/2 labu bawang besar kuning-hiris membujur
1 ulas bawang putih dihiris
3 biji cili api diketuk
sedikit bunga kobis dipotong kecil
minyak untuk menggoreng

Cara memasak:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Gaulkan daging dengan garam dan kunyit. Masukkan daging. Goreng seketika. Masukkan bawang besar, bawang putih, cili api dan cili merah. Goreng lagi hingga wangi.masukkan kacang panjang. Tambahkan sedikit air.Perlahankan api. Tutup kuali dan biar daging empuk.

2. Apabila daging empuk, masukkan bunga kobis dan rasa masinnya. kalau belum cukup, tambah sedikit garam. Kacau rata dan sedia dihidang.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Nyonya Kerabu Telur

Sangaaaat sedap...!!!


Inilah komen yang K.An beri kepada resepi Nyonya Kerabu Telur ni... resepi oleh Mat Gebu yang sangat mengancam semua masakannya tu... Tak pernah, K.An rasa kerabu macam ni... Masa dok menggaul bahannya pun dah kecur liur.. baunya saaangat sedap. Tak sabar nak makan.
Bila siap je, ngap sesudu...waaah memang secantik rupa, rasanya.... cuma bagi yang perut nipis tu, boleh kurangkan cili padinya.. Masa K.An dan Abg.Azam makan...fuah..fuah... kepedasan.!!!

K.An close-up rupa kerabu ni, sebab di Dapur Tanpa Sempadan Mat tayang pinggan antik dia yang cun melecun tu.. sampai tenggelam rupa kerabu...heee...

Bahan-bahan: (K.An kurangkan sikit daripada resepi asal- hidangan cukup untuk 5 orang)

3 biji telur
1 biji bawang besar Holland (kuning)
1 biji tomato
1 kuntum bunga kantan
3 biji cili padi
sedikit daun kesum (K.An tak ada stok, ganti dengan 3-5 tangkai daun selom)
1 biji besar limau nipis diperah airnya (mat guna limau kasturi)
garam dan gula secukup rasa

Bahan ditumbuk Halus:

1 biji cili merah
3 biji cili padi
1 ulas bawang putih
1/2 inci belacan dibakar

Cara membuatnya:

1. Dadar nipis telur satu persatu seperti buat ketayap. Gulung dan gunting 1/2 sm lebar.
2. Tomato dibelah 4 dan buang bijinya. Hiris nipis-nipis. Hiris kecil bunga kantan, daun selom, cili padi, cili merah dan bawang besar.
3. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan ditumbuk , garam, gula dan perahan limau nipis. Gaul rata dan sedia dihidang.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Sambal Goreng Tempe


Bahan-bahan:

4 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus
segenggam ikan bilis siap kopek, dibasuh dan toskan. seeloknya yang agak halus
1 keping tempe peket- k.an suka yang dalam peket plastik. Nampak isi putihnya.- hiris nipis, gaulkan dengan sedikit garam, kunyit dan 1/2 sudu teh air.
sedikit kacang tanah
1 biji kentang dikupas kulit dan hiris nipis
4 sudu besar cili kisar pekat
2 sudu besar gula
2 sudu teh air asam jawa -jika guna pati asam jawa Adabi, guna 1/2 sudu teh je

Cara membuatnya:

1. Goreng tempe, ikan bilis, kacang tanah dan kentang berasingan hingga garing. Gunakan api sederhana. Ketepikan dahulu.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

3. Masukkan 1/4 cawan air dan air asam jawa. Didihkan. Masukkan gula dan sedikit garam. Kacau hingga sambal pekat dan berwarna gelap. Tutup api dan masukkan semua bahan siap digoreng tadi. Gaul sebati dan sedia dihidang.

*** dalam gambar tu, k.An sengaja buat agak berkuah atas permintaan anak-anak. Makan sekaligus habis. Kalau nak simpan, kena masak sambal hingga pekat baru dicampur bahan gorengan.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Mesti Cuba....Ketam Bercili

Walaupun baru balik, tanggungjawab memasak tetap dijalankan. Dah le dapat gelaran "Tukang Masak Sejati" (abang Azam bagi).... so hari ni kena masak 'spesel' sikit untuk semua.


Ketam bercili ni adalah kombinasi pelbagai resepi ketam bercili yang pernah K.An tengok, belajar dan baca. Hasilnya alhamdulillah.... abg Azam bagi markah penuh... memang sedap dan mesti cuba...

Bahan-bahan:

1/2 kg ketam- dibersihkan dan potong ikut suka (k.An belah dua dan potong sepitnya)
Gaul dengan garam dan kunyit dan goreng - sekejap je ye puan-puan sebab ketam ni walaupun bercengkerang tapi bila warnanya bertukar merah, masak le tu isi dalamnya.

Bahan dikisar halus:

3 ulas bawang merah-belah 4
2 ulas bawang putih
2 tangkai cili merah -saiz besar

Bahan lain:

2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar cuka
1 sudu besar sos ikan (namphla)
1 sudu besar sos tomato
1 1/2 sudu besar gula

Cara membuatnya:

1. Masukkan ketam yang telah digoreng ke dalam mangkuk. K.An pecahkan (ketuk) sepit ketam agar mudah bila nak makan nanti.

2. Panskan 3 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi (3 minit) Kacau rata. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

3. Tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan sos cili, sos tomato, sos ikan dan cuka. Didihkan. Masukkan gula dan kacau kuah hingga pekat. Tutup api dan tuang sos ke atas ketam. Ketam bercili sedia untuk di'kerjakan'....

***K.an tak letak garam sebab namphla dah masin dan ketam goreng juga dah cukup garamnya.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Kerabu Sotong

Kalau nak berselera makan di bulan puasa ni, kalau di tekak K.An anak-beranak, nak kena pedas dan ada masam-masam sikit, terutamanya waktu sahur.... Untuk anak-anak wajib lauknya mesti ada warna merah. Tapi kalau untuk abinya, ada kerabu ni... dah cukup membuka selera.


Sepertimana kerabu siam yang lain, bahannya hampir sama, cuma bahan utamanya kita tukarkan seperti ayam, udang dan sotong. Boleh juga guna isi ikan yang digoreng. Selamat mencuba..!!

Bahan-bahan; (hidangan untuk 5 orang)

200 gm sotong sederhana besar- dipotong cincin
1/2 cawan kelapa putih disangrai sebentar hingga berbau wangi- jangan garing, cukup keperangan sedikit sahaja

Bahan dikisar halus:

2 batang serai dihiris kecil
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
5 tangkai cili api akar- ikut citarasa

2 biji limau nipis diperah jusnya
1 sudu besar rata gula pasir- boleh ganti dengan gula perang
1 sudu teh sos namphla
1/2 sudu teh garam
segenggam taugeh-buang akarnya- jirus air panas sebentar
1 urat kacang panjang dihiris halus
1/2 labu bawang besar dihiris halus
1 biji cili merah dihiris panjang- untuk warna

Cara membuatnya:

1. Kisar bahan di atas hingga halus. Masukkan 1/4 cawan kelapa goreng dan kisar 3 saat, agar kelapa halus. (baki kelapa simpan dalam bekas bertutup dalam freezer untuk buat kerabu lain)

2. Celur sebentar (2 minit) sotong dalam 1/4 cawan air mendidih dan toskan. Jangan buang airnya.
3. Masukkan bahan kisar termasuk kelapa, isi sotong, jus limau dan 2 sudu besar air rebusan di dalam mangkuk. Masukkan sos ikan, cili merah, bawang besar hiris, taugeh, kacang panjang, sedikit garam dan gula dan gaul sebati kerabu.

4. Boleh dihidang segera atau sejukkan dalam peti ais sebelum dihidang.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Daging Masak Merah Berempah

Assalamualaikum... semalam, seharian internet bermasalah... sejuk, sesejuk udara di luar.... tapi alhamdulillah, puasa tahun ni, cuacanya sangat nyaman dengan hujan sekali-sekala di Putrajaya ni. Anak-anak pun tak 'komplen' lapar atau dahaga. Rezeki Allah kan...

Tak perlu cerita panjang (sebab dah berderet entry tertangguh) K.An terus ke menu hari ni. Dah pernah K.An siarkan resepi Daging Masak Merah Berempah ni, tapi kali ni ada bahan yang diubah sikit bagi menambahkan keenakannya. K.An tanya K.N (kakak sulung K.An) resepi abg Mie (abg ipar) sebab hari tu makan masak merah yang dia buat, memang lebih sedap dan pedas.

Bagi yang tak suka pedas, boleh tengok resepi K.An kat sini.

Resepi kali ni: (hidangan untuk 5-10 orang)

****K.N bagi bahan je, sukatannya k.An buat sendiri dan hasilnya sangat memuaskan.

500 gm daging- seperti biasa K.An hiris nipis dan rebus dalam pressur cooker dulu- kalau tak ada, boleh masak seperti biasa tapi ambil masa 1-2 jam hingga daging empuk.

Bahan A
3 sudu besar rempah kurma ayam/daging Baba's
3 sudu besar cili kisar/ cili boh
1/2 cawan tomato puri
5 biji badam direndam air panas, kopek kulit dan tumbuk halus *** kalau tak ada boleh ganti kacang tanah
1 sudu besar sos cili
1 sudu teh serbuk kas-kas
1 cawan air

Perap daging bersama bahan A selama 15 minit. (gaul rata)

Bahan B: tumis

*5 ulas bawang merah dan*2 ulas bawang putih dikisar/ tumbuk halus
sedikit halia dihiris
2 ulas bawang merah dihiris
1 batang kulit kayu manis, 1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga

Bahan C

1/2 cawan susu cair
1 labu bawang besar dihiris gelang
2 tangkai cili merah dibelah 4

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis semua bahan B hingga wangi. Masukkan daging yang diperap bersama kesemua bahan perapan kedalam periuk. Tambahkan sedikit lagi air jika agak kering. Biar mendidih.

2. Perlahankan api dan kacau daging sekali-sekala. Tutup periuk dan biar hingga daging empuk. Tambah 1 cawan air jika perlu.

3. Apabila daging empuk, masukkan susu cair dan biar mereneh hingga kuah cantik berkilat. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Masukkan cili merah dan bawang besar. Didihkan lagi
dan tutup api apabila kuah nampak pekat.


*** daging masak merah ni lebih sedap apabila dipanaskan berulang-kali. Makan keesokan harinya laaagi sedap sebab rempahnya sudah sebati dengan daging yang makin lembut.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Kari Udang Belimbing Buluh


Minta ampun banyak-banyak ye... Bukan nak menggoda keimanan orang berpuasa tapi nak meniup semangat agar ke dapur petang nanti....hihih... Masak sendiri lebih sedap, bahan
digunakan terjamin halal, bersih dan segar dan... bila sedap, suami dan anak-anak maaakin sayang.
Tapi kalau dah balik kerja, sampai rumah dah 6.30 ptg.. terpaksalah buat yang paling mudah je agar diri tak terbeban dan ditimpa tekanan perasaan pulak.

Sebut mudah, kari udang nipun tak susah sangat.. boleh cuba. Resepinya k.An dapat dari keratan resepi dari suratkhabar lebih 20 tahun dulu..heheh( kegemaran mengumpul resepi dari zaman sekolah) Walaupun gambarnya hitam-putih dan tak nampak langsung rupa kari udangnya, tapi melihatkan bahannya yang nampak 'spesel' , K.An cuba resepi ni.

Dah diubahsuai sikit, tapi rasanya abang Azam kata sedaaap.. dan tak berat sangat.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5-10 orang bersama lauk lain)

500 gm udang harimau- buang ekornya
10 biji belimbing buluh- yang besar K.An belah 2
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2-5 biji cili hijau (ikut citarasa)
1/2 inci halia
1 batang serai
3 tangkai daun kari
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar cili kisar- pekat
***boleh tambah cili padi yang diketuk jika suka pedas
garam secukup rasa
1 cawan santan sederhana pekat
Cara membuatnya:

1. Ambil bawang merah, bawang putih dan halia dan ditumbuk hingga halus (dalam resepi, giling sebab resepi lama)
2. Hiris halus serai. Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan ditumbuk halus hingga wangi. Masukkan serai, daun kari dan serbuk ketumbar (yang dibancuh dengan 1/2 cawan air). Tumis hingga berbau wangi.... (memang wangi)

3. Masukkan santan dan biar mendidih. Kemudian masukkan udang, belimbing buluh, cili hijau dan biar mereneh selama 3 minit dengan api sederhana besarnya.

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Kue-Teow Goreng Sayur


K.An pernah janji nak kongsi resepi kue-teow goreng ala-ala vegetarian yang Abg.Azam pelajari masa dia bermesyuarat di sebuah hotel di Melaka... (macam K.An, dia tengok chef tu masak, balik rumah dia praktis dan jamu K.An... sedaap)

Bagi yang alahan kepada makanan laut terutamanya udang dan kerang, tak perlu risau untuk menikmati kue-teow yang sedap, kalau tahu resepi ni... Boleh cuba sendiri nanti.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 4 orang)

1 bungkus kue-teow
2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
3-5 sudu besar kicap manis
sedikit garam
1 biji telur
aneka sayur seperti sawi (pak-choy pun sedap), bunga kobis, karot, jagung muda dipotong kecil.
sedikit minyak untuk menumis dan sedikit air

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Basuh kue-teow dengan air biasa dan toskan. Tumis bawang yang ditumbuk hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis seketika.

3. Masukkan sayuran dan sedikit air. Biar sayur sedikit layu. Masukkan sos tiram, kicap dan garam (sedikit je). Masukkan telur dan kue-teow. Gaul rata dan sedia dinikmati.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Mee Rebus Udang Tradisi


Resepinya... lepas tarawikh nanti K.An sambung...

Alhamdulillah selesai tarawikh tapi...., tak sempat taip resepi sebab baby 2 orang tu.. ajak main macam-macam.. Ayahnye pulak out-station, kakak-kakak buat kerja sekolah, jadi ummi le kena melayan main 'puzzle', 'wipe-out', doktor dengan pesakit... nyanyi2... haaa sampai tertidur semuanya...

Dah sahur pagi ni 3 beranak... buat nasi goreng kampung, telur mata.. makan dengan sambal goreng ikan bilis.. Alhamdulillah

Ok, kita terus ke resepi mee rebus udang ni... seperti biasa resepi asal daripada ibu tercinta..Hjh Selamah yang dimasak turun-temurun oleh anak-anak perempuan dalam keluarga.. Bezanya, dulu-dulu (sekarang pun rasanya) mak gunakan udang laut yang memang banyak di kampung sana... Kita di bandar ni semuanya guna udang harimau bela..

Malahan di bulan puasa ni, bekalan udang putih kecil pun langsung tak ada di Putrajaya ni... Jadinya masak je apa yang ada..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

A)
2-3 peket mee kuning- celur air mendidih, toskan dan segera lalukan air sejuk

B)- kuah

250 gm keledek- kupas kulit, potong kecil dan rebus hingga empuk
1/2 cawan udang putih, buang buang kepala dan kisar halus. (kalau tak ada, guna isi udang harimau)
1/2 cawan kacang tanah yang siap disangrai, buang kulit dan kisar halus
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus
3/2 cawan cili kisar (pekat)- tambah jika suka lebih pedas
10 cawan air rebusan kulit udang
2 sudu besar sos tomato
3 sudu besar gula
10 ekor udang harimau
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan sedikit air
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih dan halia hingga wangi dan keperangan. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan air rebusan kulit udang. Sementara mendidih, kisar keledek hingga halus(+ sedikit air agar mudah hancur)

3. Apabila rebusan mendidih, masukkan keledek, kacang tanah, sos tomato dan udang yang dikisar. Masukkan tepung jagung, garam dan gula. Biar mereneh dan kacau kuah agar sebati dan agak pekat.

4. Akhir sekali, masukkan udang harimau dan tutup api sebaik sahaja udang masak. Siap dihidang bersama mee dan bahan taburan.

C) ditabur di atas mee

2 biji tomato dihiris halus
3 biji telur direbus dan belah 4
2 biji kentang, rebus empuk dengan kulit sekali, kupas kulit dan hiris nipis
tauhu digoreng- hiris nipis
bawang goreng secukupnya
daun sup dan bawang dihiris halus
limau kasturi

Taburkan bahan C di atas mee sebelum dicurahkan kuah di atasnya. Mee rebus udang sedap dimakan dengan kuah yang banyak... selamat mencuba.

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Mee Hailam

Istimewa atas permintaan Nurul, K.An kongsikan resepi Mee Hailam Periuktanah- hasil gabungan pengalaman merasa aneka mee hailam di gerai, restoran, rumah terbuka dan sebagainya... Ada pengalaman enak dan banyak yang kurang enaknya...


Antara mee hailam yang masih K.An ingat kesedapannya, ialah di Cafe Kolam Renang UiTM Shah Alam (zaman K.An kerja 8 tahun lepas), mee hailam di Zai Tomyam dan mee hailam yang kakak K.An, K.t buat masa 'open-house' harijadi anaknya Firzanah beberapa tahun lepas...

Yang lain... belum ada dalam ingatan kerana kebanyakannya hanya mee kuah berperisa sos tiram dan kicap.. tiada yang istimewa.
Versi periuktanah adalah gabungan perkongsian rasa dan maklumat antara kawan-kawan dan pelbagai cubaan... insyaAllah, ini yang paling sedap di tekak kami sekeluarga..
Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 bungkus mee kuning (450 gm)- celur sebentar dalam air mendidih, lalukan air sejuk dan toskan

Bahan kuah:

100 gm daging tetel (banyak pun tak apa)- hiris nipis dan rebus empuk dengan 4 cawan air dan sup bunjut / bunjut sup tulang
5 ekor udang harimau
3 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
2 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih- ditumbuk halus
1 sm halia- diketuk
serba sekuntum bunga cengkih, lawang, kulit kayu manis dan pelaga
1 sudu besar sos tomato

minyak untuk menumis
sayuran seperti jagung manis, karot, bunga kobis dan sawi serba sedikit
1 biji telur
1 sudu besar rata tepung jagung- dibancuh dengan sedikit air
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.

3. Masukkan sos tiram, dan air rebusan daging dan daging. Biar mendidih. Masukkan sos cili, kicap, sos tomato dan sayuran. Biar mereneh hingga sayuran lembut.

4. Masukkan udang, garam dan gula. (sedikit sahaja kerana sos dan kicap dah ada rasa). Masukkan tepung jagung dan kacau rata. Pecahkan telur dan biar seketika sebelum api dipadamkan.

5. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atasnya. Taburkan bawang goreng, daun sup dan perahkan limau kasturi sebelum dimakan....

*** boleh tambah sotong dan lebih telur ikut citarasa.
*** hasilnya mungkin tidak 100 % seperti yang K.An buat, tapi insyaAllah boleh ikut resepi ni sebagai panduan sebab air tangan ni memainkan peranan juga... (bak kata Cik Mat Gebu..)
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Serunding Pedas Kupang

Assalamualaikum semua.. tak sempat cerita panjang, hari ni kita masak yang bahannya main campak-campak je... lepas tu bagi nama.. Dah puas makan daging dengan ayam, kita pergi cari kupang kat pasar atau pasaraya.. yang dah siap kopek tu.. Balik rumah masak..

Bahan-bahan: (hidangan untuk3-5 orang)

200 gm kupang siap dikopek kulit
3 sudu besar cili kisar (pekat)
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, sedikit halia dan 2 batang serai dititik- kisar halus
1 sudu besar kerisik
garam dan gula secukup rasa

sedikit daun sup dan bawang dihiris halus

Cara membuatnya:

1. Lalukan air ke atas kupang dan toskan. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan isi kupang dan kerisik. Gaul rata sebentar. (2 minit) masukkan garam ,gula dan daun sup juga bawang. Gaul sebati dan tutup api. Sedia dihidang

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Kerapu 3 Rasa Dengan Epal

Dah lama juga tak berjumpa dengan ikan kerapu segar di pasar Presint 8 Putrajaya ni... kalau ada pun dah lembik dan pucaaat matanya. Nak beli pun tak sampai hati. Nak dijadikan rezeki, minggu lepas.. dapat yang agak berkilat matanya dan mantap isinya. K.An sambar seekor.. boleh buat 3 rasa, kukus atau sweet sour... sedap kan..?


Kali ni K.An sengaja cuba bahan tambahan yang lain sikit daripada biasa. Ada separuh epal kat dalam peti yang dah tak berapa rangup, k.An dadukan dan campur dalam masakan... hmmm tak rugi mencuba..
Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang)

1 ekor ikan kerapu berat anggaran 500 gm

**2 ulas bawang merah, 1/4 labu bawang besar, 2 ulas bawang putih, sedikit halia, 1/2 biji tomato, 1 biji cili merah, 2 tangkai cili padi- **dikisar halus

2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos ikan namphla
sedikit sayuran seperti karot, bunga kobis dan jagung muda
1/2 biji epal fuji didadu kecil
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng ikan hingga separa garing. Letakkan dalam pinggan besar. ketepikan dahulu.

2. Ambil 3 sudu besar minyak gorengan tadi dan panaskan di dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga naik baunya. (3-5 minit)

3. Masukkan sos cili, 1/2 cawan air, sos ikan, dan sayuran termasuk epal yang didadu. Biarkan mendidih dan sayur lembut. Masukkan garam dan gula secukupnya. Kacau rata dan tutup api. Tuang kuah ke atas ikan dan sedia dinikmati panas-panas.
* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Mushroom Soup


Beberapa hari lepas, ada permintaan daripada Sharifah (kawan adik ipar K.An) yang inginkan resepi mushroom soup ala-ala pizza hut tu..

K.An ada beberapa resepi, tapi K.An paling suka versi ni yang mudah dan kurang menggunakan bahan perisa.. Sedap dan digemari suami, anak-anak dan tetamu yang merasa.. Resepi asal daripadaminami133@myresepi.com.. Tq banyak-banyak minami... sup ni lebih sedap daripada yang dibeli di dalam tin..

Bahan-bahan:( hidangan untuk 6-10 orang)

1 keping dada ayam- potong kecil
1000 ml air
500 ml susu segar kotak (boleh guna juga susu low fat/ full cream dalam kotak)
1 ketul kiub ayam
1 tin kecil cendawan butang
1 cawan tepung gandum- dibancuh dengan 500 ml air- kacau sebati guna whisk

garam dan serbuk perasa (k.an letak garam je)

Cara membuatnya:

1. Didihkan air di dalam periuk. Masukkan potongan kecil isi ayam dan didihkan hingga isi ayam masak.
2. Kemuadian masukkan susu dan kiub ayam. Perlahankan api. Kacau sentiasa dan kemudian masukkan cendawan yang dipotong kecil-kecil.
3. Masukkan bancuhan tepun gandum dan kacau hingga pekat. (guna api kecil ye... supaya sup masak rata...). Tambah garam secukup rasa dan siap dihidang bersama roti bakar atau roti bawang putih... hmmm.. yummmy..

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Buttered Prawn


Resepi mudah, tapi menyelerakan.... dah banyak kali buat tapi ini kali pertama K.An masukkan dalam periuktanah... Asalnya dulu-dulu, tak berapa menjadi kuning telur tu, sebab dalam resepi yang k.An baca, tak disebut teknik yang tepat ketika memasaknya... sehinggalah K.An terjumpa di blog Nita- sudipkayu.blogspot.com.... maka cantiklah rupa 'Buttered Prawn' ini bersama kesedapan rasanya.... cuba jangan tak cuba... tq Nita untuk tips berguna..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

500 gm udang -ikut citarasa masing-masing, nak buang kepala ke, nak tinggal ekor ke, tapi kalau udang saiz besar elok sangat kalau dibelah belakangnya supaya cepat masak

2 biji kuning telur gred A
3- tangkai daun kari- dilurut daunnya
5 ulas bawang putih dicincang halus- K.An ketuk sahaja
5 biji cili api (akar) dihiris halus

sedikit garam, kunyit dan 1/2 sudu teh lada sulah

2 sudu besar mentega
1/2 cawan minyak untuk menggoreng udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Gaulkan udang dengan garam, kunyit dan lada sulah. Goreng udang selama 3-5 minit (bergantung kepada saiz udang) dan angkat. Toskan.
2. Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja. Panaskan dan goreng daun kari, cili padi dan bawang putih hingga wangi. (baunya sungguuuuh... sedap) Angkat dan taburkan di atas udang goreng tadi.

3. Campurkan mentega ke dalam minyak dalam kuali tadi. Sediakan acuan roti jala. Pukul sedikit kuning telur dengan garpu. Panaskan kuali. Masukkan kuning telur ke dalam acuan roti jala. Lalukan acuan roti jala mengikut arah jam di dalam kuali sambil sebelah tangan lagi mengacau telur tersebut. Apabila telur nampak garing... cedokkan dengan sudip berlubang. Taburkannya di atas udang goreng tadi. Sedia dinikmati..

* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com

Mee Bandung Muar- versi ekspress

Assalamualaikum.. salam penuh kesegaran dan keceriaan daripada K.An sebab beberapa hari ni cuaca sungguh nyaman di Putrajaya ni... hampir setiap petang hujan dan menyebabkan perut sentiasa lapar minta diisi... heheh...


Kali ni K.An nak kongsi kesedapan mee bandung muar versi ekspress. Sebenarnya pes ni adalah antara siri buahtangan rakan K.An, Linda selain pes soto dan set Beriyani Gam Johor yang telah k.An siarkan lama dulu.

Memang ada pelbagai jenis pes segera dalam pek mudah bawa yang dipasarkan sekarang tak kira di 'kiosk' IKS ataupun di pasaraya besar
... Namun tak semuanya sedap dan asli rasanya. Tapi bila k.An cuba pes ni, alhamdulillah memang sedap dan tak mengecewakan.... Malahan lebih sedap daripada yang dibeli di restoran yang menyajikan Mee Bandung Muar di dalam menu mereka yang pernah K.An cuba.


Maklumlah, yang ini dah diuji tahap mutu dan 'standard' rasanya. Jika ikut sahaja arahan yang diberi pasti tidak silap... Kepada yang ingin mencuba boleh beli terus daripada K.An juga...

Resepinya mudah sahaja:
*** disertakan juga resepi pada pek, tapi K.An buat yang asas sahaja... tupun dah sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 8-10 orang)

1 pek pes Mee Bandung Muar
2 peket mee kuning dicelur dan toskan
100 gm sawi hijau- dipotong 1 inci panjang
50 gm udang
50 gm daging- hiris nipis dan rebus empuk
5 biji telur
sayuran lain ikut citarasa seperti bunga kobis, jagung muda dan karot
bawang goreng dan limau nipis untuk dihidang bersama mee

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1.2 liter air di dalam periuk. Masukkan daging + 1/2 cawan air rebusan, sayuran dan udang.
2. Apabila mendidih masukkan telur sebiji, demi sebiji. Jangan biar kuningnya pecah. Apabila telur nampak masak (ada juga yang suka telur separa masak) padamkan api.
3. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atas mee. Taburkan bawang goreng dan perahkan limau kasturi. Sedia dinikmati.


* Resipi dari http://periuktanah.blogspot.com