Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Thursday, December 9, 2010

Adira Perjelas Isu Bersekedudukan

Sejak mula menyertai program realiti paling popular, Akademi Fantasia musim kelapan, Siti Adira Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Adira tidak pernah terpalit dengan sebarang gosip atau kontroversi. Dia bijak menjaga namanya serta selesa ditemani ahli keluarga terdekat.

Namun entah di mana silapnya, tiba-tiba nama penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu Ku Ada Kamu itu dikaitkan dengan kontroversi panas. Gadis berusia 19 tahun itu dikatakan tinggal sebumbung dengan teman lelaki serta sering menghabiskan masa bersama-sama.

Bagaimanapun anak kelahiran Sabah yang terkenal dengan sikap rendah diri dan peramah itu tidak mudah melatah. Sebaliknya dengan tegas memberitahu perkara tersebut tidak benar sama sekali. Ini kerana dia tinggal bersama tiga orang kakak serta seorang sepupunya di Ampang.

"Saya tidak pernah dengar tentang isu ini. Tetapi apabila beberapa orang wartawan bertanyakan kepada saya tentang perkara yang sama, saya mula merasa pelik. Tetapi saya tidak pernah risaupun kerana ianya tidak benar.

"Lagipun saya tinggal bersama kakak-kakak saya. Tetapi mungkin ada orang yang salah faham kerana saya mempunyai dua orang abang. Kedua-dua abang saya itu memang selalu datang ke rumah saya apabila mereka bercuti. Malah mereka juga kerap menggunakan kereta saya.

"Mungkin ada orang yang ternampak abang-abang saya keluar masuk ke rumah saya dan salah faham dengan situasi tersebut. Maklumlah, mereka pun bukannya kenal dengan abang-abang saya.

"Sebenarnya kalau boleh saya tak mahu perbesarkan mengenai isu ini, tetapi kalau ada orang yang bertanya, saya akan beritahu perkara yang sebenar," jelasnya ketika ditemui di majlis Santai Bersama Adira Frenz di The Junction Bistro, Cheras baru-baru ini.

Ditanya mengenai perhubungannya dengan rakan seangkatan AF8, Iwan yang dikatakan begitu rapat kini, Adira dengan tenang mengakui hubungan rapat yang terjalin di antara mereka. Namun dia menafikan dakwaan yang mengatakan dia dan Iwan menjalinkan hubungan cinta seperti didakwa.

"Saya memang rapat dengan Iwan. Ini kerana kami sama-sama di uruskan oleh syarikat yang sama dan bukan ramai bekas pelajar AF8 yang bernaung di bawah bumbung yang sama dengan saya. Selain itu kebanyakan persembahan yang saya jayakan turut melibatkan Iwan.

"Contohnya seperti persembahan di Shah Alam baru-baru ini. Mungkin oleh kerana kami pergi bersama-sama dan tiba-tiba orang melihat saya dan Iwan berdua, maka peminat mula melabelkan kami berdua sebagai bercinta.

"Hakikatnya kami hanya kawan biasa. Keluarga kami berdua juga saling mengenali antara satu sama lain kerana sudah selalu berjumpa.

"Memang sesekali selain atas urusan kerja, kami ada keluar makan atau membeli belah, tetapi bukan kami berdua sahaja sebaliknya turut disertai oleh ahli keluarga yang lain. Selain Iwan, saya juga rapat dengan Maulana, Shahir, Anum dan Alif," ujar Adira yang mengakui selesa berkawan dengan Iwan.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya seninya, Adira yang layak melangkah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu 2010 memberitahu, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran klip video single terbarunya, Ilusi.

Katanya klip video itu sungguh istimewa kerana dia perlu berlakon di dalamnya. Tambah manis apabila Ilusi terpilih sebagai lagu tema drama bersiri Awan Dania musim ketiga yang kini sedang hangat ditayangkan di Astro.

"Saya bersyukur kerana respon peminat terhadap lagu ini sangat memberangsangkan. Selain Ilusi, saya juga kini sedang buat persediaan untuk pertandingan akhir AJL.

"Memang rasa berdebar namun sebagai penyanyi, saya akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik agar peminat berpuas hati dengan persembahan saya. Saya juga menaruh harapan untuk menang pada malam itu, namun saya serahkan segala-galanya kepada penilaian juri.

"Apa juga keputusan yang akan diumumkan kelak, saya akan terimanya dengan hati terbuka," ujarnya yang berpendapat AJL merupakan platform terbaik untuk menonjolkan kebolehannya.

No comments:

Post a Comment