KESEMPATAN perbincangan dengan Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali semalam berhubung penganjuran himpunan rakyat membebaskan Anwar (Gerakan 901) pada 9 Januari nanti , diambil peluang sepenuhnya untuk pihak polis mempromosikan pasukan itu sebagai entiti yang menghormati undang-undang bila bercakap tentang perhimpunan aman.
Penulis tidak pasti dengan orang lain tapi penulis sendiri ragu-ragu polis akan membiarkan himpunan itu berjalan dengan aman seperti mana yang dijanjikan.
Sepanjang pengetahuan penulis, ada sahaja helah untuk memastikan perhimpunan dipenuhi dengan kekecohan kerana itu akan membantu menjatuhkan reputasi pembangkang dan memberikan alasan kepada polis dan BN untuk menghalang perhimpunan seumpamanya di masa hadapan.
Justeru, penulis begitu yakin pada Isnin nanti akan berlaku insiden-insiden yang tidak diingini yang menjurus kepada kekecohan tidak terkawal, apatah lagi apabila ratusan ribu peserta perhimpunan dipadatkan dalam kawasan tempat letak kereta mahkamah yang terhad – yang mana bukan pilihan yang kita mahukan pada asalnya.
Kalau boleh, kita mahukan kawasan perhimpuan terbuka, tidak dihadkan kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Idea untuk menghadkan kawasan ini dibuat oleh pihak polis sendiri, kononnya mematuhi Undang-Undang Perhimpunan Awam 2011 yang baru diluluskan parlimen.
Kepimpinan PKR yang hadir terpaksa akur kerana matlamatnya ialah mengadakan himpunan bagi menyokong Datuk Seri Anwar.
Apa pun, memandangkan Anwar adalah seorang pemimpin suci yang berbaloi untuk dipertahankan, penulis yakin jumlah yang hadir nanti akan melebihi jangkaan awal sebanyak 100 ribu orang. Itu sahaja menjadikan keadaan itu begitu tidak selesa untuk haiwan sekalipun, apatah lagi untuk manusia.
Penulis bimbang jika keadaan ini boleh mencetus suatu keadaan yang tidak selamat kepada peserta perhimpunan, silap-silap nyawa mereka menjadi taruhan.
Melihat kepada keadaan ini disamping perjuangan mulia Anwar untuk membebaskan negara ini daripada penindasan regim sedia ada, penulis rasa ada keperluan untuk kepimpinan tertinggi PAS terutama Datuk Nik Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi mengeluarkan fatwa bahawa perhimpunan itu adalah perjuangan mulia dan maka itu, sesiapa pun yang akan terkorban dalam perhimpunan pada 9 Januari nanti, dia akan termasuk dalam golongan yang mati syahid!!
Ingin penulis tegaskan, ini bukan bermaksud meminta yang tidak baik berlaku tapi sebagai persediaan dan jaminan kepada yang akan terlibat.
Lagipun, sejarah sudah membuktikan, sejak 1998 tidak ada pun sesiapa dari kalangan pemimpin dan penyokong PKR yang terkorban atau cedera parah kerana menyertai himpunan mempertahankan Anwar.
Kalau ada pun peserta Bersih 2 yang terkorban pada Julai lepas, Allahyarham Baharudin Ahmad, itu adalah disebabkan oleh serangan jantung.
Dengan adanya fatwa ini, penulis yakin ia mampu menambahkan semangat peserta perhimpunan pada hari tersebut. Tidak ada apa yang mampu menahan kita daripada menyatakan sokongan kepada Anwar dengan yakin tanpa takut kepada apa-apa pun – cuaca atau provokasi yang mungkin dicetuskan pihak-pihak tertentu.
(Soal provokasi ini telah penulis bincangkan dalam satu entri pada minggu ini).
Fatwa ini juga menjadikan Anwar selari dengan apa yang pernah disebutkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah pada satu ketika, yang Anwar adalah pemimpin anugerah tuhan.
Sumber: suarapakatanrakyat.com
No comments:
Post a Comment