Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Tuesday, May 18, 2010

Gegaran dua legenda



DUA vokalis legenda tanah air duduk di hadapan saya dengan semangat keterujaan yang meluap-luap. Hal itu boleh dilihat dalam bola mata dan pergerakan setiap kali menjawab soalan yang diajukan.

Mereka, Suhaimi Abdul Rahman atau popular dengan panggilan Amy Search dan Mohd. Azhar Othman atau sinonim dengan nama Awie Wings nyata tidak sabar untuk menggegar ibu kota dengan konsert gergasi mereka, Konsert Double Trouble.

Dibawakan oleh Adepnet Sdn. Bhd. selaku penganjur, konsert yang menggabungkan semula grup Wings dan Search selepas 17 tahun berkongsi pentas itu akan diadakan pada 1 Mei ini di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort bermula pukul 8.45 malam.

Kurang seminggu konsert berlangsung, Amy dan Awie berkongsi rasa tentang penggabungan semula mereka di atas panggung. Mereka turut menyorot nostalgia saat bercerita tentang kembara Double Trouble, projek khas yang diwujudkan pada tahun 1992 dan menyaksikan album tersebut terjual sebanyak 180, 000 unit di seluruh negara.

"Masa projek ini jugalah isu kami kena potong rambut terjadi. Banyak kenangan tentang Double Trouble dan apabila kami kembali bergabung selepas 17 tahun, ini adalah satu tanda aras terbaik untuk kami kembali mencetus momentum terhadap industri," ujar Amy serius.

Ditanya tidakkah sepanjang 17 tahun mereka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk membikin konsert ini, Awie mengambil alih bicara dengan memberitahu sepanjang 17 tahun, bukan tidak pernah mereka mempunyai agenda untuk membikin sebuah konsert gabungan semula ini.

Malah, faktor kewangan dan hal-hal berkaitan membataskan keinginan tersebut. Maka sebaik peluang dibuka kepada mereka lebih kurang empat bulan lalu, mereka tidak mahu ia berkubur begitu sahaja. Lantas kini, projek Double Trouble 2010 hampir terlaksana. Oleh itu, mereka giat mempersiapkan diri untuk menjadikan konsert tersebut sebagai satu konsert legenda buat para peminat mereka.


AWIE (kiri) akan mendendangkan beberapa lagu hit Search, begitu juga Amy yang akan menyanyikan beberapa lagu terkenal Wings.


"Berbanding 17 tahun lalu, kami pada waktu itu masih muda dan kini saya boleh katakan, kami sudah menjadi matang. Jadi corak permainan pada malam itu nanti dengan susunan muzik baru dan stamina yang baik akan membuatkan konsert ini berbeza daripada persembahan kami dahulu.

"Ini juga bukan konsert untuk membuktikan siapa lebih bagus. Tetapi ia adalah kolaborasi Search dan Wings. Saya boleh katakan, 70 peratus lagu-lagu yang dipersembahkan kelak adalah kolaborasi kami bersama. Paling penting, inilah konsert julung kalinya khalayak akan saksikan gabungan dua grup menjadi satu," ujar Awie penuh teruja sambil memberitahu tidak akan ada segmen gitar hero atau sebagainya pada malam tersebut kelak.

Begitu berpuas hati dengan sistem bunyi dan krew belakang tabir yang disediakan penganjur, Amy dan Awie saat ditanya apa yang ditakutkan menjelang konsert, serentak berkata, mereka bimbang tahap kesihatan menurun.

Sebagai penyanyi, terang mereka, instrumen yang digerakkan dalam pementasan adalah suara, maka mereka harus memastikan tahap kesihatan yang konsisten sehingga konsert berlangsung.

Namun mereka optimis, konsert tersebut akan berjalan dengan sukses atas sokongan peminat dan keterujaan mereka bertemu fanatik yang selama ini menjadi tulang belakang buat mereka bertahan dalam industri.

Legenda

Kehebatan yang bakal ditonjolkan pada malam konsert itu kelak tidak harus dipertikaikan. Search sudah 30 tahun harum dalam industri.


GABUNGAN Search dan Wings akan meninggalkan impak yang besar pada malam konsert kelak.


Wings pula sudah memahat sayap-sayap mereka selama 25 tahun sebagai rockers sejati. Kredibiliti dan integriti mereka inilah yang telah menjadikan mereka sebagai dua grup rock legenda tanah air.

Disogok tentang pengiktirafan legenda, Amy dan Awie masing-masing mempunyai definisi tersendiri terhadap jolokan yang diberikan kepada mereka itu.

Kata Amy ringkas: "Kami tidak mendapat pengiktirafan tersebut daripada mana-mana akademi atau persatuan. Sebaliknya ia datang daripada masyarakat sendiri."

Awie pula berpendapat, pengiktirafan legenda itu adalah satu tanda aras yang besar dalam kerjaya mereka. Biar tiada cop khas bahawa mereka adalah legenda, namun jolokan yang diberi fanatik mereka itu disambut dengan tangan terbuka.

"Sewaktu kami bermain muzik dulu, kami tak fikir untuk jadi legenda. Kami bermain dengan ikhlas dan jujur. Namun selepas lebih 20 tahun, banyak generasi yang telah membesar bersama muzik kami dan menganggap kami adalah legenda. Ia terjadi secara semula jadi dan kami berbesar hati dengan pengiktirafan tersebut.

"Malah saya percaya, kami menjadi legenda melalui lagu-lagu kami. Begitu juga dengan Search. Kadang-kadang kami fikir lagu kami tidak memberi kesan, tetapi ia adalah sebaliknya.

"Lagu-lagu malar segar yang menjadi kegemaran itulah menjadikan kami legenda," katanya yang begitu berterima kasih dengan pihak penganjur untuk merealisasikan Konsert Double Trouble tersebut.

Rock bukan trend

Kebanjiran banyak band baru berpaksikan indie pada masa kini kata Amy dan Awie adalah sesuatu yang sihat dalam industri. Namun apa yang mereka takutkan adalah generasi baru yang berpotensi besar ini akan hanyut dibawa arus sebaik trend indie pupus.

"Saya tidak bercakap daripada konteks muzik, kerana muzik itu terlalu subjektif. Saya juga tidak cakap kami hebat. Cuma pada pandangan saya, sesebuah band baru harus punya konsep yang betul untuk diketengahkan dalam populasi peminat muzik kita.

"Ini yang saya maksudkan, kita ada banyak bakat baru yang bagus, namun sayangnya, kerana semua memilih untuk menjadi indie, apabila trend ini habis, bakat-bakat ini ikut sama tenggelam. Ini merugikan industri kita," ujar Awie yang menyeru agar masyarakat juga memainkan peranan untuk membantu memberi sokongan kepada pemuzik tempatan.


AMY dan Awie kini giat menghafal lirik-lirik lagu yang telah lama tidak mereka dendangkan.


Menurut pandangan Amy pula, hal yang membuatkan banyak bakat baru masa kini terbantut adalah kekurangan promosi daripada segi kembara antara negeri. Katanya, pada zaman mereka dahulu, setiap kali album dilahirkan, ia disusuli dengan kembara dan daripada situ peminat dapat mengenal muzik mereka dengan lebih dekat.

"Tapi fenomena itu kurang berlaku sekarang, sekali gus membuatkan nama grup dan album akan sukar diingati. Satu lagi masalah bakat baru kita susah nak berkembang sekarang kerana terlalu banyak persembahan percuma sehingga menyekat rezeki mereka sebagai seorang ahli perniagaan yang bermodalkan muzik," kata Amy yang berharap agar pihak bertanggungjawab tidak membuat terlalu banyak konsert percuma demi kepesatan pasaran muzik tempatan.

Disogok jika indie adalah satu trend, bagaimana pula dengan muzik rock? Bukankah rock itu juga satu trend? Namun Amy dan Awie pantas menjawab. Kata mereka, rock bukan trend atau muzik yang singgah dan pergi.

"Rock sudah bertapak sejak berkurun lamanya, malah sebelum kami lahir lagi. Kami hanya menyambung legasi rock dalam acuan sendiri," kata Awie bersungguh.

No comments:

Post a Comment