1MEI 2010, Indoor Arena, Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts telah mencatat satu sejarah baru. Sudah lama, mungkin boleh dikatakan hampir pupus kesesakan yang dibikin lautan rakyat tempatan daripada kelompok generasi muda dan tua hanya untuk menyokong pemuzik Malaysia.
Namun, kesesakan tersebut sudah boleh dijangka dengan hampir 20,000 penonton membanjiri lokasi tersebut hanya untuk menjadi saksi kepada kolaborasi dua legenda, Search dan Wings dalam Konsert Double Trouble mereka.
Ada beberapa faktor yang menyebabkan peminat sanggup berasak dan bersesak untuk menjadi saksi konsert tersebut. Ada yang datang untuk mengubat kerinduan melihat kembali gabungan Double Troubleselepas 17 tahun tidak berkongsi pentas.
Untuk generasi muda, mereka datang sebagai sokongan dan 'mendalami' muzik Wings dan Search yang telah berkumandang barangkali sebelum mereka lahir. Lantas, mereka mahu menjadi kelompok yang mempunyai pengalaman untuk dikongsi cerita tentang kolaborasi dua grup tersebut.
Kehadiran generasi tua pula adalah kelompok yang datang untuk mengimbau nostalgia dan membuktikan bahawa usia tidak memamah mereka untuk menghindari muzik bawaan Search dan Wings.
Juga, ada yang hadir untuk melihat kemantapan vokal Awie dan Amy. Mahu menjadi saksi padunya permainan setiap anggota Search seperti Kid, Din, Nasir dan Yazit. Begitu juga mahu melihat kentalnya rock Wings dengan permainan Joe, Eddie dan Black.
Lebih daripada itu, semua yang hadir mahu menzahirkan aprisiasi serta cinta mereka terhadap dua grup tersohor tanah air ini. Lantas berbondong-bondong mereka datang untuk merasakan fenomenaDouble Trouble pada malam tersebut.
Sebuah pentas dibina pada hujung stadium tertutup yang boleh memuatkan sehingga 20,000 orang. Tepat pukul 9 malam stadium yang memang sudah bingit dengan semangat lebih 18,000 orang itu bergema sebaik melihat kelibat Wings dan Search di atas pentas.
Tidak menunggu lama untuk membuat malam yang sudah hangat itu menjadi 'panas' mereka bergabung melontar Gemuruh. Sepantas itu juga, satu stadium bergemuruh dengan paduan suara peminat yang tidak segan menyanyi sama.
Bermula dengan Gemuruh, konsert diteruskan dengan lebih 25 lagu hit mereka yang disampaikan secara solo juga bergabung tenaga. Ini termasuklah untaian lagu hit daripada album Double Trouble sepertiParanoid, Puisi Merdeka, Gema Di Inderaloka dan Puisi Merdeka.
Tidak terlepas Search memainkan lagu Wings, begitu juga sebaliknya apabila Awie memilih lagu hit Seacrh, Balada Pemuzik Jalanan dan Amy mendendangkan Opera Hidup dengan caranya tersendiri.
Harus diakui, pada pertengahan konsert, momentumnya sedikit menurun apabila Search memilih beberapa lagu yang kurang digemari peminat.
Malah ada yang mengeluh kerana kehebatan sistem bunyi yang disediakan masih tidak dapat menutup cela anggota Search memainkan sebuah persembahan yang padat. Bagi peminat yang datang dan begitu mementingkan kualiti permainan, sedikit perasaan kecewa terpalit dalam jiwa apabila merasakan permainan Search pada malam itu kurang padu.
Berbeza dengan persembahan Wings yang disifatkan lebih padu dan bertenaga, untaian lagu pilihan grup yang sudah berusia 25 tahun ini lebih relevan dan memicu adrenalin peminat untuk larut dalam konsert mega itu.
Namun, momentum diselamatkan dengan kolaborasi medley lagu hit Wings dan Search yang diletakkan kira-kira setengah jam sebelum konsert melabuhkan tirai. Pemilihan medley yang cukup tepat seperti lagu Misteri Mimpi Syakilla, Gadisku, Semalam Yang Hangat, Taman Rashidah Utama dan Nur Nilam Sari telah membuat hampir semua peminat bagai dirasuk untuk menyanyi bersama Search dan Wings.
Turut terselit dalam susunan lagu pilihan mereka termasuklah Isabella, Isi Atau Kulit, Immenuelle, Mabuk 7 Lautan, Kau Masih Berdegildan Meniti Titian Usang.
Secara keseluruhannya, seharusnya Konsert Double Trouble anjuran Adep Net Production ini tidak menjadi medan perbandingan kehebatan salah satu grup. Ironi, baik Search atau Wings, masing-masing telah membuktikan kredibiliti.
Search pada usia kerjaya 30 tahun dengan hampir semua anggota sudah mencecah usia lebih 40 tahun, menyaksikan mereka masih ligat di atas pentas, Amy berusaha memberi lontaran vokal dan persembahan menguja, Search tidak kalah kepada Wings sebenarnya.
Hanya kerana Wings tampak lebih solid dan kental malah begitu konsisten dalam setiap lagu yang dimainkan, maka terbit sedikit perbandingan yang seharusnya tidak wujud.
Seperti kata Awie: "Search dan Wings tidak berkongsi pentas untuk berlawan atau membuktikan siapa lebih hebat. Tapi kami menonjolkan kolaborasi dua grup untuk menjayakan sebuah konsert."
Double Trouble Jejalah Malaysia
Suksesnya konsert ulung itu pada malam Hari Buruh yang lalu telah membuka jalan untuk Search dan Wings meneruskan konsert mereka dalam sebuah siri jelajah.
"Insya-Allah, jika tiada aral,Double Trouble akan bermain di Johor Bahru pada 5 Jun depan di Stadium Larkin. Konsert jelajah ini dibuat kerana pihak penganjur berpendapat konsert sulung kami sukses di Malaysia," ujar Awie yang sudah menjangkakan Konsert Double Trouble memang akan meraih sukses berdasarkan kelompok peminat Search dan Wings yang memang ramai.
Tambah Amy yang begitu berpuas hati dengan konsert pada malam tersebut, mereka akan menukar susunan lagu untuk konsert di Johor Bahru kerana percaya setiap peminat di negeri mempunyai cita rasa muzik yang berlainan.
Bagaimanapun vokalis Search itu berjanji persembahan di negeri kelahirannya itu akan dilaksanakan dengan lebih baik berbanding di Kuala Lumpur.
"Pada setiap konsert, kita selalu mahu melakukan yang terbaik. Pada pandangan saya, selain persembahan yang mantap daripada pemuzik, faktor kejayaan sesuatu konsert itu terbukti sukses apabila ia mampu menarik penonton yang ramai. Dan itulah yang terjadi pada konsert ini," kata Amy penuh semangat.
Apa yang dinyatakan Amy memang benar. Walaupun tanpa penajaan daripada syarikat-syarikat korporat yang lebih senang menaja konsert artis luar, Konsert Double Trouble telah memahat sejarah tersendiri. Dengan hanya dijayakan oleh pihak penganjur dan pasukan promosi yang bertungkus-lumus menjadikan konsert ini satu realiti, nampaknya lelah mereka berbaloi dengan kehadiran lebih 18 ribu penonton.
Bayaran RM70 yang dirasakan agak murah untuk menyaksikan dua pemuzik gergasi tempatan ini beraksi nyata menjadi pancing paling relevan untuk semua peminat mereka. Paling penting, dengan harga yang berbaloi, dilaksanakan pada hari cuti umum dan awal bulan, siapa saja yang sanggup melepaskan peluang menjadi saksi KonsertDouble Trouble kembali beraksi selepas 17 tahun.
No comments:
Post a Comment