Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Wednesday, January 19, 2011

Juliana Evans, Zain Saidin sudah lama lepak bersama

Foto
ADA apa dengan gandingan B*POP kali ini? Fotografi membabitkan dua pelakon berdarah campuran ini ada alasan tersendiri. Juliana Evans, 21, dan Zain Saidin, 26, boleh disifatkan antara selebriti yang terus menyemarakkan persada seni tempatan.
Berbanding Zain, Juliana Evans atau nama sebenarnya Juliana Sophie Johari Evans lebih dulu meneroka dunia seni. Pembabitan seninya sudah hampir mencecah tahun kelima sedangkan Zain pula mula berjinak-jinak dan serius sebagai pelakon sejak tahun lalu.
Malahan tanpa diduga, fotografi julung kali ini turut membongkar memori lama yang pernah dilalui mereka. Kenangan melepak di sebuah kedai dipanggil Pink Shop mengimbas kembali nostalgia mereka ketika sama-sama menuntut di Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Tapi jangan salah sangka, sorotan cerita itu bukan bermaksud mereka pernah bermadu kasih. Sebaliknya, mereka hanya kawan melepak. Lucunya, di awal perkenalan, Zain langsung tidak mengetahui bahawa Juliana sebenarnya bergelar selebriti.

Kata Zain atau nama sebenarnya Mohamad Zain Mohd Saidin, dia hanya mengetahui perkara sebenar selepas terpandang sebuah laman web yang menyiarkan gambar Juliana atau lebih mesra disapa Sophie. Adik kepada bekas penyanyi kumpulan Elite, Sasha Saidin ini juga mengagumi Juliana dalam diam.

“Dia boleh saya katakan sebagai seorang artis yang mempunyai otak. Dia sangat komited dalam apa yang dilakukannya dan tahu dia tidak pernah ponteng kelas macam saya. Dia sangat disiplin, cantik dan menarik semestinya. Siapa yang tidak mahu berdating dengannya?” seloroh jejaka kacak yang semakin digilai ramai ini.
Persahabatan mereka tidak berpanjangan di kolej universiti itu. Di saat Juliana sudah masuk tahun ketiga dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa pada tahun depan, Zain atas sebab tertentu hanya belajar separuh jalan dalam bidang grafik.

“Kalau ada duit, saya boleh sambung balik belajar di situ. Lagipun, kesihatan bapa saya lebih utama. Untuk itu, sebagai anak saya perlu berkorban untuk mencari kerja. Bapa menghidap diabetes dan serangan jantung. Sekarang ini bapa saya perlu mendapatkan rawatan susulan,” katanya sambil memberitahu kesihatan bapanya semakin stabil.

Bahagia solo

MENERJAH sisi peribadi, bekas pengacara Remaja dan Era TV ini juga tak lekang dengan gosip cinta. Kamar hatinya pernah diketuk penyanyi Adam dan vokalis Bunkface, Sam. Namun akui Juliana, sekalipun sudah berpisah, dia masih baik dengan Adam dan Sam.

“Selepas enam bulan solo, saya masih belum terdesak mencari pengganti. Saya bahagia hidup solo. Jadi masa saya dengan keluarga dan kawan pun banyak. Lagipun saya sibuk dengan kerja. Lalu, soal pintu hati itu saya belum terbuka lagi buat sementara waktu.

“Pengalaman putus cinta yang lalu banyak mengajar saya supaya tidak mengulangi lagi kesilapan. Saya ini jenis manusia yang apabila bercinta akan memberi sepenuh hati hingga ada kalanya ia melalaikan diri saya sendiri.

“Selepas ini, saya tak kisah kalau ditakdirkan bertemu pengganti di kalangan artis ataupun orang biasa. Mungkin bercinta dengan orang biasa akan kurang sedikit perhatian khalayak. Saya pun masih muda dan masih jauh lagi perjalanan saya,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem Puteri Kayangan mengisi slot Cerekarama TV3 tidak lama lagi.

Berbicara lanjut mengenai dunia seni, Juliana yang pernah dicalonkan dalam kategori Pengacara TV Wanita Popular ABPBH 2009 mengharap kerjayanya akan terus bersinar pada tahun ini dan mendatang.

“Saya berlakon dan mengacara ini pun secara sambilan. Ia demi pengalaman dan di samping menambah wang saku. Tapi saya tidak menyangka, saya ada mempunyai kelompok peminat. Malah ada yang peka dan terus memberi saya harapan untuk meneruskan kehidupan selepas putus cinta.

“Tapi apa yang boleh saya katakan, secara kebetulan selepas putus cinta, kerjaya saya semakin bersinar. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
Masa putus dengan Sam, saya akui jadi lemah dan memilih pergi bercuti menenangkan jiwa dengan kawan seperti ke Singapura, Melaka, Pulau Langkawi dan Pulau Perhentian,” katanya yang sudah berlakon empat buah filem iaitu Kami, Hopperz, Adik Manja Returns dan Hantu Boceng.

Selepas selesai menjalani penggambaran Hantu Boceng arahan Ahmad Idham bersama Zizan Raja Lawak, Juliana tidak menafikan keserasiannya dengan pelawak terkenal itu semakin bercambah. Malah di laman Twitter, masing-masing gemar berseloroh seperti pasangan bercinta.

“Kami boleh ngam tapi bukanlah sampai ke tahap bercinta. Perangai gila-gilanya itu memang cukup kelakar. Zizan seorang pelawak yang bijak. Kalau bercakap memang mengalahkan pakar motivasi dan penceramah. Senang cerita, dia memang menggembirakan hidup saya. Kami juga rajin lepak, kalau ada masa terluang,” katanya yang kelihatan anggun dalam busana rekaan Wanpa for Suteramas.

Hero pelapis

BERALIH cerita kepada Zain, drama Suraya yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 tahun ini antara penampilannya yang menarik perhatian ramai. Watak lelaki mualaf bernama Steve yang dipegangnya di dalam drama itu pada mulanya hanya watak pembantu yang kemudiannya dikembangkan menjadi watak penting.

Difahamkan semua berpunca daripada watak utama yang sedia ada seperti Fizo Omar dan Remy Ishak yang terpaksa ‘dihentikan’ kerana kedua-dua pelakon itu terikat dengan komitmen produksi lain. Lalu, tuah sekali gus menyebelahi Zain.

Sebelum Suraya, Zain pernah berlakon watak tambahan dan itu satu proses biasa sebelum diketengahkan sebagai watak utama. Kebelakangan ini, sudah mula yang menyedari kehadirannya hingga memberi jolokan sebagai hero pelapis. Zain bermula sebagai pelakon iklan.

“Ikutkan sejak kecil lagi, ibu akan membawa saya dan Sasha untuk menghadiri uji bakat berlakon iklan. Proses itu berlarutan sampai saya di tingkatan tiga. Kemudian, saya berhenti berlakon iklan demi memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya pernah bekerja sebagai pelayan dan barista di restoran serta hotel. Saya juga pernah bekerja sebagai jurulatih kecergasan di gimnasium. Dua tahun lalu, saya pernah ditawarkan berlakon oleh MD Fadzil Teh yang juga pemilik Zeel Production Sdn Bhd, tetapi saya terikat dengan kerja di gim.

“Tetapi selepas mengetahui yang saya sudah berhenti kerja sebagai jurulatih kecergasan tahun lalu, Fadzil menawarkan saya peluang berlakon drama Suraya dan ketika itu penggambaran drama terbabit sedang rancak dilakukan. Peluang kedua itu saya gunakan sebaik mungkin,” katanya bersemangat.

Menurut Zain, dunia lakonan yang dulunya dianggap sekadar mencuba dan suka-suka, akhirnya menjadi kecintaannya. Berbanding lakonan, dunia nyanyian sebenarnya lebih dulu diminatinya. Zain pernah merakamkan lima buah lagu bersama Sasha dan bekas kakak iparnya, Hana. Namun projek itu terbantut atas sebab tertentu.

“Insya-Allah pada masa mendatang, kalau ada peluang untuk saya meneruskan minat dalam dunia nyanyian, saya akan memastikan ia menjadi kenyataan. Seiring dengan peredaran masa, saya mungkin akan mengubah aliran muzik saya atau memberi nafas baru,” katanya yang turut berlakon dalam drama Awan Dania musim ketiga.

Kata Zain lagi, untuk tahun ini dan mendatang, dia berharap rezekinya untuk terus melebarkan sayap bukan saja sebagai pelakon, sebaliknya sebagai pengacara, penyanyi dan juga ke layar perak akan menjadi kenyataan.

“Saya mahu mempelbagaikan bakat saya dan tidak mahu terus statik sebagai pelakon saja. Saya akan manfaatkan peluang yang ada di depan mata sebaik mungkin,” kata jejaka campuran Melayu dan Inggeris itu.

Info Juliana Evans:

Nama Penuh: Juliana Sophie Johari Evans
Tarikh Lahir: 5 Julai 1989
Asal: Petaling Jaya, Selangor
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Drama: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Sayang Cendana, Cheritera, Cornetto Inikah Cinta, Natrah
Filem: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Halilintar Pengacaraan: E-Zone, Majalah Moral, Bintang Kecil Raya, Remaja dan Era TV (setiap Khamis, jam 11 malam di Astro Ria)
Komersial: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear

Info Zain Saidin:

Nama penuh: Mohamad Zain Mohd Saidin
Tarikh lahir: 23 Februari 1984
Tempat lahir: Hospital Pantai, Bangsar
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Drama: Suraya, Kiah Perkasam, Awan Dania 3, Duyung Aridinata
Komersial: Hitachi, Vicks, KFC, Kodomo Lion, Kellog’s Choco

No comments:

Post a Comment