Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 86, berasa janggal ketika ditemu bual penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 31, pada rakaman program bual bicara yang berjudul Siti, di studio Filem Negara Malaysia, di sini, Rabu. Menurut Mahathir, kejanggalan itu disebabkan beliau sering menyaksikan persembahan nyanyian Siti dan apabila penyanyi itu menemu bualnya, beliau berasa sedikit pelik.
“Saya selalu dengar Siti menyanyi dan terasa ganjil pula bila saya ditemu bual. Walaupun pertama kali menjadi pengacara, dia agak cekap dan mahir dalam persediaan menyediakan soalan.
“Dia juga lancar dalam berdialog, jadi saya rasa tenang ketika ditemu bual,” katanya selepas ditemu ramah oleh Siti pada rakaman program Siti.
Rancangan temu bual ini akan bersiaran bermula 12 Februari 2011 menerusi Astro Ria, pukul 9 malam selama sejam. Ia terbitkan sebanyak 13 episod oleh Global Station Sdn Bhd.Dalam pada itu, Mahathir juga memuji program itu selain berkeinginan memanggil beliau sebagai tetamu undangan yang dapat mendengar pengalaman hidupnya untuk dikongsi.
“Bagi saya, program ini merupakan salah satu cara untuk saya sebarkan pengalaman dan pada masa yang sama saya dapat menceritakan apa yang patut diberitahu kepada umum.
“Pendapat-pendapat yang diberikan itu mungkin berguna kepada mereka,” katanya yang ingin hadir untuk menyaksikan pementasan teater muzikal Tun Mahathir yang akan berlangsung hujung Januari ini.
Sementara itu jelas Siti pula, dia tidak sangka Mahathir sudi menerima jemputannya sebagai tetamu undangan untuk program itu.
Baginya, pengendalian program temu bual itu merupakan fasa baru buat dirinya sebagai seorang pengacara.
Tambah pula, program yang bukan sekadar hiburan semata-mata itu turut menguji dirinya menjadi seorang pengacara yang cekap dalam menyediakan soalan-soalan berbentuk ilmiah.
“Sebelum ini memang saya tidak bersedia bila banyak produksi menawarkan saya menjadi pengacara program, tapi kini saya sudah bersedia dan bersiap sedia untuk bersaing dengan pengacara-pengacara profesional yang ada.
“Pengendalian program bual bicara ini ternyata satu pengalaman yang sangat berguna buat saya. ia agak berbeza kerjanya berbanding menjadi seorang penyanyi. Malah saya turut turun padang untuk melakukan penggambaran.
“Rasa macam nak pecah kepala kerana saya perlu menggunakan bahasa-bahasa yang sesuai ketika bercakap. Ada kalanya saya perlu formal dan ada kalanya santai.
“Memang agak penat mengendalikan program ini, tapi ia ternyata berbaloi kerana pada masa yang sama juga saya turut menimba ilmu dan pengalaman,” katanya yang menjadikan pengacara Hollywood popular, Oprah, sebagai inspirasinya.
-Mstar
No comments:
Post a Comment