Followers

Search This Blog

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Saturday, October 22, 2011

Konsert tiga dekad Search

DARI KIRI: Jerome, Yazid, Amy dan Nasir pada sidang akhbar Konsert Fenomena Search 30 Tahun di Kuala Lumpur baru-baru ini.

DALAM kebanyakan kumpulan rock yang ada di negara ini, ternyata Search merupakan salah satu kumpulan yang sememangnya berada di satu kelas yang tersendiri dengan himpunan lagu-lagunya yang masih malar segar sehingga ke hari ini.

Ditubuhkan pada tahun 1981 di Johor Bahru, Johor, kumpulan yang dianggotai oleh Amy (vokalis), Kid (gitar utama), Nasir (gitar bass), Nordin (gitar irama) dan Yazit (dram) masih mampu mengekalkan momentumnya sebagai sebuah kumpulan rock legenda yang sudah bertapak dalam industri seni selama 30 tahun.

Kini dengan usia yang sudah mencapai tiga dekad, Search akan tampil dengan sebuah konsert istimewa yang bakal menggegarkan peminat rock tanah air menerusi Konsert Fenomena 30 Tahun Search.

Menariknya tentang konsert yang dianjurkan oleh Oracle Accord, ia akan diadakan di tiga buah lokasi utama iaitu di Stadium Batu Kawan Pulau Pinang (19 November), Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru (3 Disember) dan kemuncaknya di Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember).

Pada satu sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini, Amy selaku vokalis berkata, konsert sempena ulang tahun Search yang ke-30 itu adalah sebagai satu penghargaan kepada para peminat mereka.

“Sudah tentu kami amat berbangga kerana masih dapat bertahan sehingga ke hari ini serta dapat mempertahankan muzik rock di Malaysia. Ini semua adalah disebabkan sokongan berterusan yang diberikan kepada peminat.

“Pada masa yang sama, kami juga sangat menghargai sokongan peminat yang terdiri generasi hari ini, di mana ibu dan ayah mereka yang terlebih dahulu sinonim dengan kumpulan ini terutama pada era 80-an,” ujarnya.

Seorang lagi anggota kumpulan itu, Nasir Daud menyatakan, 30 tahun adalah satu tempoh yang lama dan antara faktor utama kumpulan Search masih terus bertahan kerana mereka dapat meletakkan genre muzik rock ke persada muzik Malaysia sehingga ia diterima ramai.

Ujarnya lagi, ketika awal penubuhan kumpulan itu suatu ketika dahulu, kebanyakan kumpulan rock yang diwujudkan sekadar membuat persembahan di majlis kenduri kahwin dan tidak ramai pihak yang yakin sesebuah kumpulan akan mampu bertahan dalam tempoh yang lama.

“Bagaimanapun dengan usaha kami yang berterusan akhirnya genre muzik yang kami bawakan semakin diterima peminat dan terus kekal. Malah, sekarang ini sudah ada badan korporat yang turut tampil untuk menjadi penaja dalam penganjuran konsert sebegini,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Oracle Accord Sdn. Bhd., Jerome Lee ketika ditemui berkata, konsert yang diadakan nanti turut menjurus kepada sebuah festival kerana penonton akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu rock selama tujuh jam.

Menurutnya, pada seawal pukul 5 petang penonton yang datang akan disajikan persembahan beberapa buah kumpulan rock tanah air terlebih dahulu sebelum acara kemuncaknya iaitu konsert kumpulan Search yang dijangka akan bermula pada pukul 9 malam.

“Untuk konsert kali ini, pihak kami turut menggunakan khidmat jurutera bunyi terkemuka iaitu Yamaguchi yang sebelum ini pernah terlibat dengan konsert di peringkat antarabangsa bagi memastikan ia menjadi konsert terhebat untuk tahun ini,” ujarnya.

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert tersebut sudah mula dijual di beberapa cawangan stesen Petronas terpilih, Rock Corners dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my dengan harga RM59 untuk konsert di Pulau Pinang dan Johor Bahru dan RM69 untuk konsert di Kuala Lumpur.

Tiada medley

Selain menggunakan khidmat jurutera bunyi terkenal untuk konsert berkenaan, kumpulan Search juga memberitahu mereka akan menampilkan satu persembahan yang mantap sebagai hadiah kepada peminat.

Menurut Amy, konsep untuk ketiga-tiga konsert itu nanti masih belum ditentukan lagi buat masa ini. Namun, mereka akan tetap mempersembahkan lagu-lagu yang popular di kalangan peminat.

“Sudah tentu kami akan mempersembahkan lagu-lagu wajib kami kerana ia adalah permintaan peminat sendiri. Sebagai sebuah konsert sempena sambutan ulang tahun, kami mahu memastikan peminat yang datang akan berasa puas dan berbaloi,” ujarnya.

Menurut Nasir pula, sebanyak 18 sehingga 20 lagu yang akan dipersembahkan dalam tempoh dua jam. Menariknya, berbeza dengan konsert-konsert sebelumnya, mereka sudah sepakat untuk tidak menyanyikan lagu yang berbentuk medley.

“Bagi kami, tidak perlu sampai menyanyi sehingga 30 buah lagu termasuk menjadikan beberapa buah lagu dalam persembahan medley. Biar lagu yang dinyanyikan sedikit, asalkan peminat yang datang rasa puas hati,” jelasnya.

Kosmo

No comments:

Post a Comment