|
“JANGAN terlalu selesa dengan situasi sekarang.” Demikian peringatan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kepada anak-anak buahnya meskipun sudah memperoleh bekalan selesa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Selangor pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2011, malam kelmarin.
Irfan secara sinis mengakui dua gol yang diperoleh di Stadium Shah Alam itu bukanlah modal besar sehingga membolehkan para pemainnya bermain sambil lewa pada aksi kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.
“Memang kami menang 2-0, tetapi permainan belum lagi berakhir. Masih ada 90 minit lagi yang perlu kami lalui dan dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku," katanya kepada Kosmo! semalam.
Justeru, kata pengendali kelahiran Kelantan itu, komitmen amat ditagih daripada kesemua pemain dalam misi mereka memburu tempat ke final Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.
Jelasnya, kejayaan menumbangkan Kelantan pada suku akhir dan mendahului Selangor dengan kelebihan dua gol menjadi bukti terhadap kehebatan Terengganu ketika ini.
“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk berpesta dan kami perlu mengelakkan diri daripada bersikap terlalu angkuh serta sombong. Kami perlu cekalkan hati kerana perjuangan kami masih belum selesai.
“Selangor akan hadir di Kuala Terengganu tanpa sebarang tekanan kerana mereka tahu kami memiliki kelebihan besar. Tetapi, situasi inilah yang membimbangkan saya kerana takut pemain akan leka sehingga membahayakan kedudukan pasukan,” jelasnya.
Pada perlawanan di Stadium Shah Alam kelmarin, kesebelasan utama Terengganu sekali lagi menampilkan kelas tersendiri apabila mudah menjerat Selangor dengan dua gol menerusi sentuhan Abdul Manaf Mamat.
Kejayaan itu sekali gus mengulangi skrip yang sama di Kota Bharu minggu lalu apabila anak-anak buah Irfan mampu menyerap tekanan ribuan penyokong Gergasi Merah Kuning yang membanjiri stadium.
“Bukan mudah sebenarnya beraksi di Shah Alam kerana Selangor sama seperti Kelantan mempunyai kelompok penyokong yang sangat hebat. Namun, kami berjaya lepasi kesukaran ini dengan keputusan yang positif,” katanya.
Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan menjelaskan gol seawal minit pertama yang dijaringkan Manaf berjaya menaikkan semangat para pemain untuk terus bertahan mengekang asakan lawan.
Jelasnya, kehadiran Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin di bahagian tengah juga perlu diberikan pujian termasuk jentera tengah yang dikemudi Marzuki Yusof.
“Saya pilih Manaf sebagai pemain terbaik pada perlawanan semalam dan memberi kredit kepada Reshafiq dan Ahmad Nordin atas kesungguhan mereka membantu jentera tengah dan pertahanan.
“Inilah barisan terbaik saya dan pemain telah mempamerkan satu mutu permainan luar biasa sejak kebelakangan ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment