Followers

Search This Blog

Loading...

JOM LAYAN " OMBAK RINDU".

Wednesday, August 11, 2010

Keenakan ikan sungai

Ikan sungai dari Temerloh, Pahang; patin, baung, temoleh dan tapah, dihidangkan secara segar di Restoran Ikan Sungai di Kuala Lumpur.


SAYUR kampung seperti rebung, jantung pisang dan nangka sungguh sedap dipadankan dengan ikan sungai goreng.


Gambar ikan patin, baung, temoleh, tapah dan jelawat terpampang di dinding restoran. Melihatnya saja sudah membuatkan anda terbayang keenakan sajian ikan sungai yang menjadi signatur restoran ini.

Terletak di Desa Melawati, Kuala Lumpur, Restoran Ikan Sungai menyediakan suasana makan-makan seperti di kampung.

"Hiasan dalaman restoran ini sengaja mewujudkan suasana seperti makan di kampung," kata Pengarah Urusan Besta Corporation Sdn. Bhd., Jasmay Shah.

Obsesnya kepada ikan sungai membuatkan Jasmay membuka restoran ikan sungai yang pertama di Malaysia yang memperkenalkan masakan ikan sungai segar seperti patin, baung, temoleh tapah dan jelawat.

"Ramai sebenarnya peminat ikan sungai. Kini mereka tidak perlu pergi jauh ke kawasan pedalaman untuk menikmati ikan sungai segar.

"Sebenarnya ikan sungai liar lebih lazat dan segar berbanding ikan yang dibela dalam sangkar," ujarnya yang berasal dari Temerloh, Pahang.


RESTORAN Ikan Sungai baru saja dilancarkan minggu ini.


Katanya lagi, ikan patin sangkar warnanya lebih hitam berbanding ikan patin sungai yang agak keputihan, tidak berasa seperti lumpur dan isinya tidak terlalu berlemak.

"Bekalan ikan banyak kami ambil dari peraih di Temerloh, Pahang tetapi penyimpanan yang baik di dalam peti sejuk dengan suhu yang sesuai membolehkannya bertahan berbulan lamanya," katanya.

Restoran ini menyediakan kepelbagaian makanan untuk pagi, tengah hari dan malam

"Harga ikan mengikut harga semasa. Memang mahal sikit tetapi tidak salah berbelanja lebih untuk makanan yang lazat. Semua masakan disediakan oleh chef berpengalaman terutamanya masakan kampung," katanya.

Menu lain yang disediakan termasuk nasi lemak berlauk, rendang ayam, mi rebus dan laksa Pahang.

Sambal belacan, air asam dan sambal tempoyak bakal membuatkan deria rasa kepedasan peringkat tertinggi apabila dipadankan dengan gabungan ikan sungai sama ada dibakar, digoreng atau masakan gulai.

Alam tradisi dan kekampungan bergabung dengan ulam pegaga, petai, pucuk ubi, pucuk mengkudu membangkitkan selera. Tidak dilupakan pencuci mulut seperti tapai pulut dan bubur kacang.


IKAN patin masak asam boleh mengejutkan tunas rasa.


Kenangan menikmati makanan kampung bermula di sini. Bau masakan dari dapur yang terletak kurang 50 meter dari meja makan begitu menjolok deria rasa.

Di satu sudut, Ketua Chef, Kamarul Arifin sibuk mengacau-ngacau kuali.

Chef berusia 32 tahun ini mula belajar memasak daripada arwah bapanya, Hamzah Kanain, semasa berumur lapan tahun lagi ketika keluarganya membuka restoran di Temerloh.

"Semasa kegemilangan restoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah makan di situ iaitu pada tahun 1998 selain kerabat diraja Pahang.

"Ada juga orang putih yang merah muka kerana kepedasan makan gulai masam ikan patin. Mereka hot!, hot!, " kenang Kamarul yang terkilan restoran itu kini terpaksa ditutup.

Menurut beliau, untuk memasak ikan patin terutamanya gulai masam, tidak perlu terlalu banyak menggunakan tempoyak dan cili.

"Masukkan secukup rasa, anda akan menikmati kelazatannya. Terlalu banyak tempoyak akan menjadikannya berlemak. Terlalu banyak cili akan menyebabkannya terlalu pedas. Sederhana sudah cukuplah," katanya.


RESTORAN Ikan Sungai baru saja dilancarkan minggu ini.


Beliau turut berkongsi rahsia bahawa ikan sungai tidak perlu diperam dengan perahan air limau untuk membuang bau hanyirnya, sebaliknya cukup dengan basuhan air paip sahaja.

No comments:

Post a Comment